BAB 4

834 32 9
                                    

KEJADIAN dua malam lepas terus menjadi tanda tanya. Entah bila dia larut sehingga tidak menyedari Iqbal meninggalkan bilik. Ketika terjaga kepala beralas bantal dan badan berselimut.

Kopi kau sedap tapi sejuk. F.I

Nota yang ditulis pada sehelai tisu yang diletakkan di tepi cawan yang tidak bersisa dan mangkuk yang berisi kulit telur. Sempat menjamu telur separuh masak yang sengaja dibuat oleh Aireen. Alah, rendam dalam air panas je pun.

Iqbal pergi tanpa mengejutkannya. Bagaimanalah keadaan dia sewaktu sedang lena. Harap-harap masih kekal ayu. Tak ada liur basi sememeh keluar. Laju sahaja jari dilarikan sekeliling bibir. Manalah tahu ada kuping-kuping kering yang tidak diingini melekat di situ. Memalukan sahaja.

Katil yang ditinggalkan berkemas kecuali satu bantal dan selimut beralih tempat di sofa tempat dia tidur. Tentu dah sihat. Kerana malam tadi ketika dia membilas tuala muka untuk kali ke berapa, Iqbal sudah mula berpeluh.

Aireen mengoyak senyum. Hebatnya dia menjadi jururawat bidang terjun. Dalam beberapa jam sahaja Tuan Sombong sudah sihat. Nasib baik tak ada tragedi naik ambulans pada malam itu.

"Semoga hari ini baik-baik sahaja." Terjungkit kening Aireen. Hari ini dia tidak ada kelas pagi. Dan, dia sudah bersiap untuk mulakan larian paginya.

Kutlah selepas kejadian menjadi jururawat kepada empunya treadmill kesukaan,  treadmill tidak lagi ditolak ke dinding dan dilipat seperti sebelum ini. Sebagai membalas jasa baiknya.

Treadmill itu, besar dan luas. Lebih stabil jika dia hendak berlari di atasnya. Malah sudah diprogramkan pada alat senaman itu lagu-lagu kesukaannya. Treadmill yang lain di gim tidak canggih.

"Cik Aireen..." Tegur Alice, bertembung dengan setiausaha Tuan Sombong yang tinggi lampai ketika menuju ke pusat senaman.

"Cik Alice, selamat pagi." Aireen menyapa kembali. Dia pelik melihat kelibat Alice berada di situ awal pagi.

Kebiasaannya dia akan berada di lobi bersama-sama Rafiq, seorang lagi orang kanan Tuan Iqbal. Menunggu ketibaan tuan besar. Mujur sahaja tidak diarak dengan bunga mangga atau paluan kompang sahaja.

Oh! Aireen, kenapa jaki sangat dengan Tuan Sombong.

"Jogging?" 

Teragak-agak Aireen hendak menjawab, khuatir jika Tuan Sombong cari pasal lagi dengannya. Hantar orang suruhan untuk memberi amaran jangan guna treadmillnya lagi. Dasar bakhil.

"Tuan minta saya tunjukkan sesuatu pada Cik Aireen." Bicara Alice terselit senyuman manis membuatkan mata Aireen terbeliak.

Sesuatu? Tiba-tiba rasa menyesal kerana lebat mengata si Tuan tadi.

Yang tak seronoknya, kenapa mesti hantar wakil. Kenapa bukan dia sendiri? Huh! Sombong tetap sombong. Dan Aireen tetap Aireen, tak pernah bersangka baik padanya.

"Mari, you gonna like it." Alice sudah membuka langkah. Ke pusat senaman.

Aireen yang menurut dari belakang memerhati Alice dari atas ke bawah. Rambut ikal mayang terletak cantik. Berbaju kerja dan skirt paras lutut. Sangat tak sesuai untuk bersenam dengannya. Lebih-lebih lagi kasut tumit tinggi yang digayanya.

Cukuplah dia menjadi jururawat tak terlatih. Jangan kejap lagi dia jadi tukang urut pula. Merawat orang terseliuh kaki.

"Tuan minta Cik Aireen guna treadmill ini." Alice berdiri sambil bersilang kaki, persis model treadmill apabila tangan berada bersandar pada pemegangnya.

Speechless! Seronoknya dapat yang hampir sama dengan kepunyaan Tuan Sombong. Tetapi warnanya... Aireen telan liur.

Kenapa warnanya merah jambu?

"Pink?" Dipejam beberapa kali matanya, warna itu tetap tak berubah.

"Cute isn't it? Tuan yang pilih sendiri." Alice tersengih.

Tidak mahu menghampakan Alice, perlahan-lahan Aireen menganggukkan kepala. Mengiyakan sahaja.

Ada pula menatang ni warna merah jambu. Sungguh tak sesuai dengan jiwanya.

"Tak sangka pula Tuan Iqbal ni feminin orangnya." Aireen mengurut belakang tengkuk. Kenapa merah jambu? Masih tidak boleh dihadam oleh kepala.

"Dia kata budak kecik tentu suka warna pink." Alice menggerakkan jarinya mengajak Aireen datang mendekat.

"Budak kecik?" Lambat-lambat Aireen melangkah ke arah Alice sambil mengemam bibir. Memanglah ketinggiannya cukup-cukup tinggi tapi taklah sampai dalam kategori katik. Lagipun, saiz badannya yang kecil memang sesuai dengan ketinggian itu.

Dan merah jambu? Atau pink? Tak ada dalam senarai minatnya dengan warna merah jambu. Ketika kecil mungkin, ya. Tapi sejak usia jejak belasan tahun, warna itu berada di carta terakhir. Corak kain baju kurung pun dielak-elakkan jika ada calitan warna sebegitu.

"Look, all set and ready to use. Tak ada satu lagu pun yang tertinggal. Semua ada di sini." Lancar sahaja Alice menarikan jarinya pada papan digital. Senarai lagu yang dimuat naik pada treadmill hitam sebelum ini sudah berpindah kepada si pink.

"Tapi saya tak suka lari sambil tengok dinding. Yang hitam tu dapat tengok pemandangan luar." Aireen masih berkeras. Itu juga salah satu faktor kenapa treadmill Tuan Sombong menjadi pilihan utamanya dahulu.

"Boleh diatur. Nanti Cik Aireen beritahu sahaja staf kita. Mereka akan alih ikut selera Cik Aireen." Senyuman Alice membuatkan Aireen sudah hilang akal hendak memberi alasan lagi.

Reda Aireen. Cukup baiklah Tuan Sombong gantikan dengan yang pink. Kalau dirantai terus pusat senaman, tak ke dia akan berputih mata. Syukur, Aireen. Syukur...

"Terima kasih." Aireen pasrah. Pink pun pink lah. Selepas ni, dia nak cari pompom untuk diletakkan pada hujung pemegang. Alang-alang dikatakan budak kecik.

Oh! So sweet...

Oh! So sweet

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MELODI HATIWhere stories live. Discover now