BAB 5

798 22 0
                                    

AIREEN tak sabar nak mengetuk kepala Jacob apabila dia sampai di Singapura nanti. Rancangan asal tiba-tiba berubah. Jacob sudah ke sana bersama-sama ahli kumpulan yang lain.

Perjalanan ke Lapangan Terbang Senai bersama Rafiq menggundang seribu tanda tanya. Jika tengok dari biliknya di tingkat 20, berenang pun boleh sampai. Singapura dekat sahaja. Kenapa perlu ke lapangan terbang.

Ada ke yang hilang akal, dari Johor Bahru ke Singapura menggunakan pesawat komersial? Baru sahaja berlepas dan tak sampai seminit di udara, juruterbang menurunkan semula pesawat. Jaraknya amat dekat sekali.

Rasa dah cukup cerdik tapi macam bodoh pula nak bertanyakan hal itu pada Rafiq.

Iya kan aje apabila Rafiq memberi alasan di tempat imigresen dan Tambak Johor sedang sesak ketika ini.

Mungkin betul sesak tak boleh dibawa bincang kerana dia pernah terdengar beberapa pelancong merungut apabila tiba lewat di DW. Dan, Aireen dapat membayangkan wajah-wajah yang bakal membahamnya jika dia muncul selepas majlis berakhir. Nescaya abang-abang kawasan juga tidak dapat membelanya lagi.

Jangan pula Rafiq mengajaknya naik belon panas seperti yang popular di negara Turki. Sepanjang hidupnya belum pernah naik kapal terbang apa lagi naik belon panas. Menjadi penghuni DW di tingkat 20 pun belum pernah sekali dia menjenguk ke luar tingkap.

Dunia sedang berputar laju setiap kali dia memandang ke bawah. Seperti roller coaster berputar laju.

Jika betul naik belon panas, dia akan duduk bersila gaya beryoga sambil memejam mata rapat dan memainkan lagi rock kapak di telinga.

"Jom, Cik Aireen. Pesawat dah sedia untuk berlepas."

"Oh... okey..." Aireen mula kalut. Bukan belon panas, tapi pesawat. Hati mula terdetik, tentu yang kecil sahaja. Pesawat yang dua tempat duduk, depan dan belakang. Yang boleh mendarat di atas air. Tapi masih terbang, kan? Aireen telan liur.

Walaupun tidak pasti arah yang dituju Rafiq tapi untuk bertanya, tak mungkin suaranya dapat didengari kerana bunyi enjin beberapa pesawat yang ada di situ sangat kuat.

Mereka sudah melepasi pesawat komersial Firefly. Bermakna pesawat itu tidak akan membawa mereka melangkah Selat Tebrau. Cuma tinggal pesawat serba putih berlogo kecil di ekornya di hujung terminal. Tak ada yang lain lagi. Kecil dari pesawat yang lain. Berlogo DW dan bendera Malaysia di bahagian ekornya.

Tak kisah lah bak kata Tuan Sombong, dia pun bukanlah besar sangat. Mujur warna putih bukan pink!

Yang pasti lebih baik daripada bakul rotan dan belon besar.

Alice yang tercegat di pintu melambai ke arah mereka. Rafiq membalas lambaian rakan sekerjanya sebelum menoleh ke belakang. Memandang ke arah Aireen yang terkedek-kedek mengejar langkahnya. Budak kecik, haruslah langkah pendek.

'Are you okay, Cik Aireen?' Gerak mulut Rafiq dapat dibaca oleh Aireen. Angguk sahaja walaupun rambut yang sedia diblow bersepah ke semua arah dek hembusan angin dari kipas pesawat.

Ingatkan dapat jimatkan masa untuk persembahan malam nanti memandangkan tiada Liza yang akan membantu menyiapkan dirinya.

Pedulikan hal rambut. Kali pertama menjejak kaki ke dalam kapal terbang, dia harus menikmati pengalaman ini. Bukan sebarang pesawat, jet peribadi DW lagi.

Harus dibukukan untuk generasi akan datang. Aireen tersenyum lebar.

Panjat tangga yang bergayut di badan pesawat pun macam separuh badan sudah terbang. Mujur cuma ada lima anak tangga sahaja. Cepat-cepat sahaja dia melangkah tanpa bernafas.

MELODI HATIWhere stories live. Discover now