BAB 1

1K 42 20
                                    


NAK membantah, Aireen perlu fikir beribu kali.

Zul telah banyak mengubah perjalanan hidupnya. Jika bukan Zul tak mungkin dia berada di situ. Apatah lagi menyambung pelajaran yang hampir dikuburkan. Ada timbal balik yang adil antara mereka berdua.

Baju 'uniform' yang glamor bersarung di tubuh sebelum ini telah bertukar kepada baju-t oversized dan berseluar jean. Kasut stiletto yang membuatkan dia tinggi lebih 5 inci di pentas bertukar menjadi selipar flippers. Rambut juga sudah bertocang satu.

Cinderella is back! Dengan penampilan begitu, tak ada bezanya dia dengan pekerja lain.

"Hey, sini!" Lambaian tangan Andrew membuatkan Aireen meluaskan langkah. Tidak menolak apabila Andrew menepuk tempat kosong di sebelah. Itu sahaja yang ada.

"Minum?" Zul memandang ke arahnya.

Aireen menggeleng. Dia menayang air botol mineral yang dihulurkan pekerja bar untuknya tadi. Masih ada separuh.

"Makan?" Zul membuka tawaran yang Aireen nantikan. Namun, apabila tangan lelaki itu menuding ke arah meja kopi di hadapan mereka, teruja Aireen merudum.

"Boleh makan?" Tanya Aireen naif. Dia telan liur pahit.

Pastri comel yang disusun mengelilingi di piring tingkat bulat. Alahai! Terlalu indah untuk diusik. Siapalah yang kejam, sanggup makan si comel itu. Dia tak sanggup.

Gggrr...! Lapar! Tak dapat menahan lagi. Nasi goreng berlauk sotong katak yang dimasak oleh Chef Badrul petang tadi melompat di ruang mata.

'Bolehkah kita tangguh perbincangan ni? Esok masih ada'. Aireen hanya mampu berkata dalam hati, mata dilarikan pada abang-abang kawasan yang duduk bersandar.

Azizi, Ayub, Andrew dan Jacob. Mengharapkan ada di antara mereka memesan makanan berat. Nasi goreng, kuetiau goreng, atau mi goreng. Apa sahaja, janji tak comel tapi mengenyangkan.

Ah! Pasti mimpinya indah selepas pekena sepinggan mana-mana hidangan itu.

Malangnya, mereka leka dengan telefon masing-masing.

Dia kalihkan mata pada Zul a.k.a fairy godfather yang meneliti kertas di tangan. Mungkin jadual bulanan mereka. Tiada tanda menunjukkan lelaki itu juga mahu makan. Tak guna buat muka comel kerana dia tidak diendahkan. Huh!

Kroisan dipandang sayu. Tak tega untuk dikunyah, terlalu comel. Satu, celah gigi sahaja. Lima, belum tentu kenyang. Aireen telan liur. Tak makan, dia akan tidur dalam kebuluran.

'Oh, kroisan yang comel lote, maafkanlah diriku yang lemah dengan dugaan ini'. Tangan menganjur ke depan perlahan sambil lidah menjilat bibir.

Belum sempat hujung jari menyentuh sasaran, bunyi seretan kerusi mengganggu momen dia dan pastri comel. Laju Aireen menarik tangan dan terus dilabuhkan ke atas pahanya.

MELODI HATIWhere stories live. Discover now