MIKAYLA cuak. Lebih-lebih lagi apabila Cikgu Hidayu pandang dia macam nak telan.
"Bangun," arah Cikgu Hidayu. Matanya sudah merah, mencerlung memandang Mikayla di hadapannya. Dia sangat pantang sekiranya ada pelajar yang tidur sama ada di dalam kelas mahupun ketika aktiviti sekolah.
Mikayla sekadar menurut. Kang melawan tak pasal-pasal dia kena terkam. Dia mengekori langkah Cikgu Hidayu dari belakang.
"Cikgu Rosmah, saya calonkan Mikayla sebagai naib pengerusi." Cikgu Hidayu berkata sambil menarik Mikayla lengan ke hadapan dewan.
Kala itu, semua mata tertumpu ke arah Mikayla. Ada yang tersenyum sinis, ada juga yang tidak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Aduh, malu! Mahu saja dia berlari sejauh-jauhnya dari situ. Rasa gelisah melanda dirinya akibat menjadi tumpuan para pelajar di dewan itu.
Najwa sedaya upaya menahan tawa apabila Mikayla sudah berdiri betul-betul di sebelahnya. Ketiga-tiga calon naib pengerusi kelab koperasi di minta menunggu di belakang pentas dewan. Sebaik sahaja undian selesai dibuat, mereka bertiga keluar dari situ.
"Berdasarkan undian yang telah dibuat, naib pengerusi kelab koperasi tahun ni adalah Syarifah Najwa. Naib bendahari, Wan Anisa. Nur Mikayla, AJK tingkatan 4." Suara Cikgu Hidayu mula kedengaran.
Mikayla terkebil-kebil. Dia? Jadi AJK? Habislah.
NAJWA terkekek-kekek ketawa sambil menekan-nekan perutnya. Adoi, senak! Namun, tawanya tidak berhenti malah bertambah kuat.
"Hah, gelaklah puas-puas. Gelakkan aku kuat lagi, biar dengar sampai ke blok A." Mikayla menarik muka masam.
"Sorry lah weh, lawak sangat ni. Tak tahan." Najwa mengesat air mata yang bergenang di pelupuk matanya akibat terlampau banyak ketawa.
"Ini semua salah kau! Siapa suruh kau gatal sangat nak jadi naib pengerusi!"
"Hehe sorry lah, pengerusi kita tu mengancam kalbu sangatlah. Itu yang aku rela nak jadi penolong dia. Nasib baik dapat." Tawa Najwa sudah reda akhirnya.
"Lagipun kau sendiri yang angkat tangan undi dia tadi," sambung Najwa.
Dahi Mikayla berkerut.
"Aku? Aku undi siapa?"
"Sah, kau mamai time tu. Kau undi Wafiy."
"Wafiy?" Mendengar nama itu disebut, kejadian yang berlaku tadi kembali terlayar di kotak memorinya.
Usai mesyuarat agung kelab koperasi tamat, Mikayla terus menyusun langkah menuju ke kantin. Perutnya sudah berkeroncong minta diisi.
Najwa sewaktu itu masih berlagak selamba. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku tadi. Mungkin control ayu, tidak mahu sesiapa mendengar tawanya yang ala-ala cik Ponti itu.
Mikayla lantas mengeluarkan dompet dari poket seluar berwarna biru lautnya. Beberapa keping duit syiling 20 sen dimasukkan ke dalam vending machine.
"Wa, biskut Oreo tu nombor berapa?"
"25," jawab satu suara.
"Okay thanks. Dua pul..." Mikayla kematian kata sebaik sahaja terlihat manusia di sebelahnya itu.
"Wah!" Mikayla terkejut beruk. Nasib baik dia bukan spesies melatah bukan-bukan macam Najwa.
"Hish kau ni, asal nampak aku je terkejut. Asal terkejut je nampak aku. Dah kenapa? Buruk sangat ke muka aku?" Wafiy merungut sambil berpeluk tubuh.
"Tak kau handsome." Mikayla menekan punat 2 dan 5.
Eh? Apa aku cakap ni?
"Apa? Ulang balik apa kau kata tadi?" Wafiy mengangkat sebelah keningnya.
"Hah? Err... tak ada apa-apa pun." Bungkusan plastik berisi biskut Oreo dicapai. Bebola matanya mula meliar mencari kelibat Najwa. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.
"Nah!" Wafiy menghulurkan not RM4 kepada Mikayla.
"Apa ni? Sedekah amal jariah?"
"Bukan. Tu duit yuran kelab koperasi."
"Tapi aku bukan bendahari," jawab Mikayla, pelik.
"Oh lupa, jawatan lagi rendah. AJK paksa pulak tu."
Membulat mata Mikayla apabila sindiran Wafiy menyapa cuping telinganya. Dia ni kan! Aku cepuk mulut tu dengan kasut baru tahu!
"Kau pass lah sendiri kat bendahari ataupun cikgu. Malas nak layan! Huh!"
"Kay, kau dengar tak apa aku tanya tadi?" tegur Najwa sambil memetik jarinya di hadapan muka Mikayla.
Mikayla tersentak dari menungannya. Terkelip-kelip mata Mikayla saat wajah Najwa menyambar pandangannya.
"Hah, apa dia?"
"Aku tanya, kau kenal Wafiy ke?"
"Kenal sangat," cebiknya.
"Kalau kau nak tahu, mamat yang kau kata mengancam kalbu sangat itulah pengawas yang sound kita tengahari tadi!"
"Eh, iya ke? Tak cam pun." Najwa menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mindanya kini sibuk memutar kembali raut wajah pengawas yang berada di pondok pengawal tengahari tadi.
"Itulah kau. Spec tu kejap pakai kejap tak. Aku bagitahu Nazril kau puji lelaki lain." Sempat Mikayla menyakat Najwa.
"Eh, janganlah! Aku main-main je. Janganlah bagitahu Nazril!"
Mikayla menghamburkan tawa melihat Najwa yang sudah kalut. Gelabah tak tentu pasal.
"Eh, cakap pasal Nazril ni kan, tadi dia ada bagi surat. Aku tak baca lagi." Najwa bangun menuju ke mejanya. Diselongkarnya barang-barang dalam beg hijau gelapnya.
"Weh, Kay! Cuba kau baca ni!" Najwa menyerahkan surat itu kepada Mikayla.
"Kau buang tabiat ke? Belum pernah kau bagi baca surat kau," ujar Mikayla sambil membuka lipatan surat tersebut.
Sebaik sahaja mindanya mentafsir isi surat itu, satu jeritan meletus dari mulutnya, "Gila!"
YOU ARE READING
Aku, Dia dan Ferrero Rocher [COMPLETED]
Teen FictionKisah persahabatan yang penuh dengan kasih sayang. Insiden di depan pagar sekolah itu membuatkan dua orang manusia saling bertelagah. Adam Wafiy dengan sikap gila kuasanya. Mikayla pula dengan sifat nakalnya. "Musyrif si ketua pengawas tu pun tak ki...