"SEBAB aku benci kau."
Berubah wajah Mikayla. Entah kenapa, rasa pedih mula menusuk ke dalam relung hatinya. Bibirnya diketap menahan rasa sedih yang melanda dirinya seketika.
"Aku tahu, kau dah fikir bukan-bukan pasal aku, sebab kau nampak aku malam tu, kan? Kau mesti rasa aku ni perempuan..."
"Oh, jadi kau nak cakap dengan aku, kawan kau tu pakai tak senonoh macam tu sebab nak pergi masjid? Macam tu?" Laju Wafiy memintas. Matanya mengerling sekilas raut wajah Mikayla yang sudah berubah dek sindiran pedasnya.
"Eleh, kau pun ada dekat situ, mesti kau pergi kelab malam tu juga kan?"
"Mikayla!"
"Salah ke apa aku buat? Aku pergi sana bukan nak buat maksiat, bukan nak teguk air haram tu. Aku cuma nak berhibur, tenangkan fikiran aku." Mikayla berkata tenang. Sejujurnya, tak pernah terlintas di fikirannya yang dia akan menjejakkan kaki ke situ. Ini semua berlaku kerana Kelly.
Sungguh, dia tak rela untuk terus berada dalam situasi yang tegang ini. Dia penat berlagak kuat, seolah-olah tidak terkesan langsung dengan sindiran pedas daripada Wafiy.
"Kau boleh jamin ke yang kau tak akan terpengaruh dengan maksiat dekat situ? Kuat sangat ke pendirian kau? Kalau jadi apa-apa pada kau, macam mana?" bidas Wafiy, tegas. Dia tak mahu Mikayla terus terpesong dan jauh tersasar.
"Macam mana apa? Biarlah. Bukannya ada orang yang peduli pasal aku. Dan kau tak payah nak perli-perli aku. Kau tak tahu apa aku hadap, Wafiy. Kau tak faham." Bergetar suara Mikayla menahan tangis. Air mata ditahan agar tidak tumpah di hadapan Wafiy. Biar dia pendam semuanya sendiri.
"Kalau kau nak benci aku sekalipun, aku tak kisah. Kalau kau tak nak ajar aku lagi, aku okey je. Lagipun, bukannya ada orang yang sayang aku." Jelas kelukaan di setiap patah katanya. Biarlah dia hanyut sendirian di dalam lembah kedukaan ini. Tiada siapa peduli.
Pantas, Mikayla menoleh untuk beredar dari situ. Lari. Mungkin ini kali terakhir dia mendengar suara Wafiy. Biarpun kali ini, hanya madah berbisa yang menusuk halwa telinganya.
"Aku tahu ini bukan diri kau, Kay. Aku tahu, ini cuma perasaan kau yang nak lari dari masalah kan?"
Serta-merta, Mikayla kematian langkah tatkala kata-kata itu menerjah gegendang telinganya. Dia menoleh lalu menghalakan pandangan ke arah Wafiy. Saat ini, perasaannya bercampur-baur.
"Apa kau merepek ni?" nafi Mikayla sambil berpura-pura keliru dengan kata-kata Wafiy. Sedangkan dalam hatinya, tersirat seribu rasa yang tidak terluah.
Wafiy melemparkan senyuman sinis melihat lakonan palsu Mikayla. Plastik yang dijumpai dalam beg Mikayla beberapa hari lepas dikeluarkan dari poket. Lantas, dia mencampak bungkusan plastik itu ke lantai simen, betul-betul di hadapan Mikayla.
Membulat mata Mikayla melihat bungkusan plastik kecil itu. Patutlah pil tidur miliknya hilang.
"Mana kau dapat pil ni? Kau tahu tak, kau boleh mati kalau overdose." Wafiy mengerling sekilas ke arah Mikayla yang sudah hanyut dalam kebisuan. Jika Mikayla mengalami insomnia sekalipun, dia tidak rasa pengambilan pil tidur merupakan cara yang terbaik.
YOU ARE READING
Aku, Dia dan Ferrero Rocher [COMPLETED]
Teen FictionKisah persahabatan yang penuh dengan kasih sayang. Insiden di depan pagar sekolah itu membuatkan dua orang manusia saling bertelagah. Adam Wafiy dengan sikap gila kuasanya. Mikayla pula dengan sifat nakalnya. "Musyrif si ketua pengawas tu pun tak ki...