Metafora.
Andai angin dan oksigen itu fizikalnya dapat dilihat pada pandangan mata, pasti bumi ini akan dipenuhi dengan nikmat Allah yang satu itu. Dan mungkin juga manusia akan lebih bersyukur dengan nikmat yang masih terjangkau pada pandangan mata mereka.
Ya. Sifat manusia yang hanya tahu bersyukur dan menghargai apa yang tersedia dan yang nyata didepan mata. Jika tidak, yang tersembunyi bagi mereka adalah tetap tidak wujud. Padahal ia ada, cuma tersembunyi dari pandangan mata.
Sama halnya dengan Laila.
Selalu saja dia berkeluh kesah, mengatakan bahawa yang buruk buruk itu sajalah takdir hidupnya. Dia buta, kerana nikmat tuhan itu masih kabur didepan matanya.
Sehinggalah nikmat itu terbentang nyata, barulah dia dapat menerima hakikat hidupnya sebelum ini.
Hakikat hidup yang sangat dia benci.
Dunia yang amat dibenci olehnya suatu ketika dulu, adalah dunia yang sama yang saat ini sangat berat untuk dia tinggalkan. Laila dapat apa yang dia mahukan, peluang dan nikmat dari Allah itu masih terbentang luas buatnya.
Namun begitu, masih ada perkara yang mengganggu fikirannya.
"Kau dah kemas semua barang kau?" Ibunya menyapa dari bingkai pintu bilik Laila.
Tersentak Laila dari lamunan panjangnya. Beg lusuh yang dia beli dari bundle dipasar malam, sudah kemas terisi dengan barangan yang hendak dibawanya. Berbulan lamanya Laila menyiapkan diri untuk semua ini. Akhirnya, hari yang dinanti sampai juga.
Tapi, Ibu..
"Tak payah buat muka sedih macam tu lah. Kau yang nak blah dari hidup aku. Kau jijik nak duduk sebumbung dengan pelacur ni kan? Makan duit haram hasil dia melacur, kau jijik ada mak macam aku."
Laila menunduk sambil menyeka air matanya. Jari jemari halusnya menggenggam erat kain bajunya. Sebak.
"Ibu, Ila tak tinggalkan ibu. Ila cuma pergi sambung belajar sekejap saja. Nanti Ila dah habis belajar, Ila datang dekat ibu ya? Kita mulakan hidup baru." Dalam sebak, bersusah payah Laila cuba menuturkan itu.
Azizah sudah berpeluk tubuh mendengar kata kata anak gadisnya. Bukan itu yang mahu dia dengar.
"Eh tak payah. Tak payah susahkan diri berangan nak mulakan hidup baru dengan aku bagai." Suaranya menyinis memasuki gegendang telinga Laila.
"Aku ni kan, memang hidup dengan dosa. Duit aku, duit haram. Yang jahat jahat semua aku, tak payah cakap banyak. Memang tempat aku dekat neraka."
"Astaghfirullah. Apa ibu cakap ni? Ila sayang ibu!" Tanpa sedar Laila sudah meninggikan suara pada ibunya.
Tidak. Bukan itu yang Azizah ingin dengar. Bukan kata sayang dan maaf dari Laila yang dia tuntut.
"Aku jahat, neraka lah tempat aku. Kau baik, syurga tu memang untuk kau. Dah tak payah banyak cakap, ambil beg kau tu. Pergi cepat dari rumah aku ni."
"Apa ibu nak sebenarnya? Ila nak pergi jauh dari ibu pun, ibu tetap nak layan Ila macam ni. Ibu.."
Laila memberanikan diri bertentang mata dengan wanita yang bertanggungjawab melahirkannya kedunia ini. Lama mata sayunya menikam anak mata si ibu.
"Ibu memang betul betul dah tak sayang Ila ke?" Suaranya pecah, serak menahan hiba.
Badan Azizah mengeras mendengar luahan hiba si anak gadis cantiknya.
Bukan.
Jangan.
"Kita tak sama. Tak akan pernah sama. Aku ni neraka, kau tu syurga."
YOU ARE READING
EMPTY CAN
Teen Fiction▪ Dalam tempoh pengeditan. Maaf kalau ada yang keliru di tengah pembacaan.▪ Re-edit Empty Can. Di dalam dunia ini terlalu banyak perkara yang mengelirukan. Dan tiada penjelasan untuknya. Kadang ketika kau tersenyum, terasa lebih perit dibanding ket...