Bab 2

1.9K 54 0
                                    

MATA saling bertentang. Namun hanya tiga saat, Zehra tundukkan pandangan. Jemari yang bertaut sesama sendiri menjadi tatapan. Renungan mata lelaki di depannya ini sangat tajam untuk dia tentang.

"Apa semua ni, Zehra?" Orang di depanya bersuara.

Syed Haqeef Zahri, satu-satunya anak lelaki Tan Sri Syed Khalid dan satu-satunya lelaki yang Zehra rasa tak logik langsung untuk menjadi calon suaminya. Tapi siapa menduga, yang tak logik di fikirannya itu, menjadi takdir yang terlakar di depannya saat ini.

"Apa yang kau cuba nak buat sebenarnya?" Soalan ditanya lagi. Nada betul tak puas hati.

Tidak menjawab soalan, Zehra angkat pandangan mata. Dari atas hingga ke bawah, dia meneliti penampilan Haqeef.

Lama tidak bertemu, sudah banyak yang berbeza pada lelaki ini bagi pandangan mata Zehra terutama sekali bentuk fizikalnya.

Kalau dulu wajah Haqeef sangat bersih tetapi kini sudah ditumbuhi jambang yang terjaga rapi. Nampak maskulin.

Kalau dulu, badan Haqeef biasa-biasa saja tetapi sekarang nampak berketul-ketul. Walau dilindungi baju, mata Zehra bagai menelanjangi tubuh tegap di depannya itu. Dari lengan, dada dan perut, semuanya nampak jelas di sebalik T-Shirt putih bodyfit yang dipakai Haqeef.

Tiba-tiba permukaan meja diketuk-ketuk oleh jari jemari Haqeef, mengejutkan Zehra. Mata jatuh pada jemari yang mengetuk itu. Seksi!

Zehra telan liur. Apa dah jadi dengan dia? Takkan jari pun seksi?

"I'm asking you, Zehra." Kali ini nada Haqif agak tinggi. Aura tegasnya terserlah.

Mengenali lelaki ini sejak kecil, tegas dan serius seorang Syed Haqeef memang tak boleh dibawa bincang. Muka ketat sentiasa. Dahi asyik berkertu tak kira masa. Apatah lagi kalau sedang marah.

"Kegilaan apa yang telah kau lakukan ni?" Sinar mata Haqeef tajam menikam.

Ya! Zehra tahu Haqeef sedang marah. Hanya mungkin kesabaran masih ada membuatkan bicaranya masih tidak sekasar orang yang sedang marah.

"Kenapa kau setuju dengan rancangan gila ni?" Soalan demi soalan diajukan Haqeef. Walau tiada sepatah jawapan pun dari bibir Zehra, dia tetap mahu bertanya juga.

Lama, Zehra tetap diam. Bukan dia tak mendengar apa yang Haqeef soalkan. Bukan dia tak ada jawapan untuk semua soalan tersebut. Tapi, kalau dia katakan yang benar sekali pun, Haqeef tak mungkin akan percaya. Kemungkinan juga dia akan dikatakan gila.

"Kau tahu kan aku dengan Liana?" Rendah kembali suara Haqeef ajukan soalan. Kalau dengan mendesak tidak memungkinkan dia mendapat jawapan, dia akan gunakan cara berlembut pula.

Zehra angguk perlahan. Mana mungkin dia tak tahu. Tak mungkin dia lupa yang dia pernah menjadi posmen tak bertauliah buat Liana yang mahu memikat Haqeef. Dialah orangnya yang menghubungkan Haqeef dan Liana di zaman sekolah dulu.

Mana mungkin dia lupa, dialah orangnya yang berusaha keras menyatukan Haqeef dan Liana sehingga hubungan mereka menjadi merpati sejoli dan kekal hingga ke hari ini.

"Jadi, kau setuju dah kenapa?" Panjang hela nafas Haqeef lepaskan.

"Okey! Katakan Daddy aku yang rancang. Tapi, kau boleh menolak, kan?"

"Kau juga boleh tolak selagi belum tiba masanya." Baru terkeluar suara Zehra. Masih tenang walau diasak bertubi-tubi.

"Yang akan memegang tangan tok kadi tu, kau. Bukan aku." Zehra menyambung kata, nada perlahan.

"Huh!" Haqeef mendengus kasar.

"Kau jangan cakap yang kau tak tahu apa yang daddy aku boleh lakukan untuk buat semua orang ikut cakap dia." Bicara tentang dadddynya, Haqeef jadi sesak dalam dada.

Tahu pun! Itu kata hati Zehra. Namun, tak terluah menjadi butir bicara. Siapa tak kenal Tan Sri Syed Khalid? Apa saja yang dimahukan, pasti akan diusahakan dengan apa cara sekali pun. Dia dan Haqeef membesar bersama, mana mungkin dia tak tahu perihal keluarga lelaki ini.

"Aku..." Bicara Haqeef mati. Matanya terarah ke satu arah.

Dan tingkah Haqeef memanggil Zehra berpaling ke arah mata lelaki itu memandang.

Di sana, sedang melangkah ke arah mereka ialah seorang wanita yang dia sangat kenali. Suraya Liana Binti Dato Akhtar atau lebih tepat lagi, kekasih hati si lelaki di depannya.

"Sayangg..." Manja nada Liana menyapa sang kekasih dan tanpa segan silu, seolah Zehra tak wujud di situ, Liana mendepakan tangan, memeluk bahu Haqeef dari arah sisi.

Zehra senyum memandang adegan di depan mata. Mungkin mereka berdua lupa yang sekarang ini mereka sedang berada di bumi Malaysia, bukan di bumi asing. Yalah! Kedua-duanya baru pulang dari luar negara, haruslah lupa.

"Miss you." Liana meluah rasa hati sebelum satu ciuman diberikan di pipi sang kekasih. Wajah terujanya jelas kelihatan.

Entah! Mungkin lama tak bertemu. Yang Zehra tahu, Haqeef sehabis SPM terus melanjutkan pengajian ke bumi UK. Dua tahun selepas itu, Liana ke Aussie. Dia pula, hanya di bumi Malaysia.

"Kau dah kenapa?" Soalan diterjah Liana ke arah Zehra sambil dia melabuhkan duduk di kerusi yang masih kosong.

"Dah tak ada lelaki lain ke atas muka bumi ni sampai kekasih aku kau nak rampas?" Kasar bahasa Liana sekasar nada suaranya. Nampak gaya seperti sudah agak lama menyimpan rasa amarah.

Namun, Zehra masih seperti tadi. Diam mendengar. Kalau tadi diasak oleh Haqeef, kali ini diasak pula oleh Liana.

"Aku takkan mengalah dengan mudah, Zehra. Haqeef milik aku dan akan jadi milik aku selamanya." Angkuh bicara Liana mewartakan yang Haqeef itu miliknya.

Tak mahu komen apa-apa, Zehra tetap diam. Mungkin saja Liana lupa, sebelum wujudnya ijab dan kabul, hak memiliki itu tidak valid. Sedangkan sudah diijab kabul pun masih tiada jaminan untuk kita memiliki antara satu sama lain selamanya, apatah lagi jika belum terikat.

"Seronok ke jadi orang ketiga? Konon kau boleh berbangga sebab boleh rampas Haqeef dari aku?" Masih tak puas hati nada Liana. Sepertinya, maruah Zehra mahu dipijak-pijak di depan Haqeef. Biar Haqeef tahu siapa sebenarnya seorang Zehra Adriana yang dikatakan sahabat ini.

Masih tenang, Zehra hanya membuang pandang ke sekitar restoran tempat mereka bertemu. Restoran mewah pilihan Haqeef.

Ikutkan hati dia mahu Liana imbas kembali waktu dulu-dulu. Dia mahu Liana buka kamus dewan apa ertinya orang ketiga dan apa ertinya perampas.

"Beri aku sebab munasabah kenapa kau nak kahwin dengan aku sedangkan kau tahu aku cintakan Yana?" Suara Haqeef paling mendalam yang pernah Zehra dengar sepajang dia kenal lelaki ini.

Soalannya juga mendalam.

Dan renungan juga mendalam.

Zehra kerling Liana di sebelah kirinya. Nampak mata Liana tak berkelip memandang Haqeef. Nampak wajahnya tak puas hati bila sang kekasih merenung wanita lain di depan matanya.

Tak terus menjawab, Zehra pusing-pusing gelas minuman di atas meja. Kalau ditanya tentang sebab, dia perlu bongkarkan rahsia yang tersimpan. Tapi, dia tak mampu.

"Aku tak ada jawapan untuk soalan kau. Tapi kalau kau rasa kau boleh hentikan semua ni, kau hentikan. Aku bersedia dengan semua kemungkinan." Kata balas Zehra buat Haqeef terdiam lama.

"Aku balik dulu." Terus Zehra bangkit setelah meminta diri.

Baik Liana, mahu pun Haqeef, dua-dua pun jadi terkedu di tempat duduk. Hanya memandang pemergian Zehra tanpa sepatah kata.

YANG KAU DUSTAKANWhere stories live. Discover now