Bab 1

2.4K 57 0
                                    

MEMANDANG wajah tua papanya, ada sejuta rasa muncul dalam dada Zehra. Sukar untuk dihuraikan rasa itu. Tapi yang paling banyak ialah rasa sayang yang tak pernah ada tepiannya.

Lelaki inilah bapa dan juga ibu buat mereka tiga beradik sejak berpuluh tahun dulu. Pengorbanan dan kasih sayang yang ada pada lelaki di depannya ini buatkan Zehra rasa tak pernah kekurangan apa-apa.

"Betul ke apa yang papa dengar dari mulut Tan Sri?"

Zehra angguk perlahan mendengar soalan papanya.

"Sejak bila?" Soalan lagi keluar dari bibir Encik Zamri. Wajah tenang anaknya dipandang tepat. Sejak kecil, wajah Zehra memang begitu. Orang kata, wajah tiada emosi. Sedih pun begitu, sakit pun begitu, gembira pun begitu. Itulah Zehra Adriana.

Jarang benar mahu mendengar Zehra ketawa. Jarang benar mahu melihat riak yang pelbagai di wajah manis anaknya ini. Paling banyak yang terlukis hanya senyum. Ya! Zehra selalu gunakan senyuman untuk menutup rasa di hatinya.

"Papa kenal dia dan keluarganya dah lama, kan?"

"Itu papa tahu. Dan papa juga tahu, dia tak cintakan anak papa."

Nafas panjang Zehra hela. Kalau sebut tentang cinta, teorinya bercabang dan berselirat. Untuk menghuraikan, bukan boleh dengan hanya kata-kata. Melibatkan hati dan rasa. Memakan masa yang bukan seketika.

"Jangan beritahu papa yang Tan Sri paksa Zehra."

Kali ini Zehra geleng kepala. Manafikan telahan papanya dengan cara paling mudaj dan selamat.

"Zehra buat keputusan sendiri."

"Tanpa berbincang dengan papa? Dengan abang?" Pantas Encik Zamri membalas bicara si anak.

Sungguh dia sangat pelik. Selama ini, dalam banyak perkara, Zehra akan berbincang atau meminta pendapatnya terlebih dahulu. Tapi dalam hal yang penting begini, sepatah kata pun Zehra tak bersuara. Itu yang dia pelik.

"Bukan ke anak Tan Sri tu dengan anak Dato Akhtar? Satu bangunan pejabat tu pun tahu yang Tan Sri akan berbesan dengan Dato Akhtar. Papa yakin Zehra pun tahu." Masih memandang tepat ke wajah Zehra, Encik Zamri mahukan penjelasan.

Ya! Zehra tahu. Itu jawapan yang mahu Zehra berikan. Tetapi hanya terlafaz di hati saja. Dia tak mahu merumitkan lagi keadaan.

"Jangan cakap dengan papa, Zehra jadi orang ketiga." Meneka sesuatu yang tidak enak didengar, kening Encik Zamri berkerut.

"Pa, macam ni..." Zehra berjeda. Mencari ayat yang sesuai untuk menjelaskan pada papanya. Mencari rasa yang boleh menenangkan hati juga. Hati yang sudah mula tidak tenteram sejak hal ini ditimbulkan. Bukan saja hari ini, malah sejak dia relakan diri untuk bersetuju dengan rancangan ini.

"Tan Sri beri cadangan. Zehra kata setuju, itu aje."

"Abang tak setuju!" Tiba-tiba ada satu suara mencelah. Dan empat mata terarah pada lelaki kacak bergaya dengan seragam polis melangkah ke arah mereka.

Haih! Kalau dah tuan inspektor masuk campur. Memanglah makin rumit.

Mata Zehra memandang papanya. Dari wajah itu dia yakin, yang memberitahu si abang adalah papanya. Mana mungkin abangnya yang sentiasa sibuk itu boleh tahu cerita ini sebegitu cepat kalau bukan dari sumber terdekat.

"Kenapa tak bincang dengan abang dulu?" Sambil duduk, Ammar menyoal. Gaya seperti selalu, seriaus bak pesalah di meja siasatan.

"Tuan Inspektor, ini bukan masalah negara."

"I'm serious, Zehra."

Zehra garu pelipis. Nafas ditarik panjang. Berdepan dengan dua lelaki dan disoal siasat untuk hal yang dia tak mahu kongsikan, sangat menekan perasaannya. Tapi dia masih cuba untuk bertenang.

"Zehra fikir, masalah negara sudah terlalu banyak membebankan abang. Lagi pun, ini bukan kes jenayah berat. Tak perlulah nak buat report bagai."

"Hal Zehra ni lebih berat dari jenayah berat."

Terus Zehra geleng kepala. Teruk sungguh pegawai polis ni mengklasifikasikan kes dia.

"Abang pelik. Takkan Zehra jadi pak sanggup kut?"

"Ha ha ha..." Zehra ketawa sepatah sepatah. Namun wajahnya mono tone saja.

"Nikah kahwin bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan lawak, Cik Zehra Adriana?"

Badan Zehra sandar ke belakang kerusi. Diam. Dia tak mahu cakap apa-apa. Sebabnya, dia takut apa yang dia cuba selindungkan akan terselak satu persatu. Bukan dia tak tahu kepakaran si abangnya bila menyoal siasat.

"Zehra dah fikir habis ke?" Encik Zamri yang senyap sebaik anak lelakinya muncul di situ, kembali bersuara.

Sebagai jawapan, Zehra angguk kepala. Mahu saja dia katakan yang dia tak diberi ruang untuk berfikir pun. Dia hanya diberi pilihan untuk setuju. Itu saja. Tapi, dia tak mampu luahkan itu.

"Abang tak setuju!" Lebih tegas nada Ammar menentang keputusan si adik.

"Bawa anak Tan Sri tu jumpa abang!" Tegas juga dia memberi arahan.

"Dia masih kat UK. Tak silap papa, minggu ni balik." Balas Encik Zamri. Pandangannya beralih-alih antara si anak lelaki dan anak perempuan kesayangannya.

Serentak dengan jawapan papanya, telefon di tangan Zehra berbunyi. Nada pesanan WhatsApp yang masuk.

Mata terus mengerling skrin. Melihat nama si penghantar, degup jantung Zehra bagai dikejutkan oleh letupan yang kuat.

You owe me an explanation.

See you on Friday.

Friday?

Maksudnya Lusa?

Liur Zehra tertelan terus.

"Bila kali terakhir Zehra jumpa dia?" Soalan si abang mengejutkan Zehra yang sedang diasak dengan pesanan WhatsApp yang baru muncul.

Bila?

Dia cuba mencongak.

"Entah! Lepas SPM kut." Jawapan kurang pasti diberi.

Dia sendiri lupa sudah berapa lama dia tak bertemu lelaki itu. Lepas alam sekolah, masing-masing membawa hala tuju sendiri. Malaysia-UK, jarak yang sangat jauh telah menjauhkan mereka juga.

"So, macam-mana tiba-tiba timbul nak nikah ni? Tak ada intro tak ada apa, terus nak nikah. Siapa punya idea sebenarnya ni?"

Bibir bawah Zehra gigit. Mata memandang papanya.

Bukan idea sesiapa tetapi syarat yang diletakkan ke atas bahunya. Lebih tepat lagi, dia dijadikan galang ganti untuk menyelamatkan ramai pihak.

"Apa pun, Zehra dah buat keputusan. Kami akan terus nikah. Tan Sri dah uruskan semuanya."

"Dan kami ni apa? Tunggul?" Suara Ammar tiba-tiba meninggi.

"Ammar..." Encik Zamri menegur si anak. Sikap panas baran anak lelakinya ini memang tak pernah berubah sejak dulu.

"Pa... Ammar hanya ada dua adik. Zehra dan Annara. Ammar tak akan benarkan sesiapa pun sentuh adik 'Ammar' dengan cara yang tak sepatutnya." Ammar bangkit berdiri.

Pandangannya jatuh pada si adik yang masih tenang di kerusi.

"Beritahu Tan Sri atau anak Tan Sri tu, kalau abang dengar sesuatu yang tak elok berlaku pada adik abang, semua orang perlu berdepan dengan abang." Langah kaki terus Ammar atur meninggalkan meja perbincangan.

Encik Zamri geleng kepala. Mata kembali menatap wajah Zehra yang masih tidak beriak.

"Papa restu." Itu yang terluah di bibirnya.

"Apa saja yang Zehra pilih, restu papa sentiasa mengiringi. Papa hanya mahu Zehra bahagia. Itu saja." Sambungnya lagi dalam usaha memujuk hati si anak.

Walau tidak ditunjukkan di raut wajah, dia tahu Zehra kecil hati dengan sikap si abang.

"Terima kasih, pa." Perlahan saja suara Zehra.

Zehra juga mahu papa bahagia. Sebab itu, Zehra pilih keputusan ini.

YANG KAU DUSTAKANWhere stories live. Discover now