"Zehra!" Sekali lagi Haqeef menyeru. Saat itu, dia sudah berada hampir di belakang Zehra.
"Don't play with me, Haqeef." Nada perlahan, Zehra bersuara.
"Aku tak main-main bila aku kata kau cantik, Zehra." Haqeef berpusing badan ke kanan, bersandar punggung di meja solek dengan tangan berpeluk tubuh.
"Kau memang cantik pun." Sambung Haqeef lagi.
Kemudian, dia hela nafas panjang dan diam seketika.
"Haddie kata dia cintakan kau dan kau pun tahu. Betul?" Topik ditukar. Teringat pengakuan Haddie tempoh hari.
Diam, Zehra tidak menjawab. Tangan mula membelek baju yang bergantung di dalam wardrobe.
"Kenapa kau tak pilih dia? Kahwin dengan dia. Tentu kau akan bahagia." Soalan ditanya, mengajak Zehra untuk berbicara. Dan dia juga serius mahu tahu kenapa Zehra sanggup kahwin dengan dia hanya kerana permintaan daddynya.
"Tak ada dalil yang mengatakan manusia hanya akan bahagia dengan adanya cinta saja. Tanpa cinta pun, ramai saja yang bahagia." Zehra balas tenang.
"Tapi bukan dalam situasi kita sekarang. Kau pun tahu kan, aku cintakan Liana?"
Kata-kata Haqeef buat nafas Zehra jadi tertahan. Walau dia melangkah dalam perkahwinan ini secara terpaksa dan tak mengharapkan apa-apa dari lelaki ini, cinta pada Liana yang disebut Haqeef di hari kedua mereka bergelar suami isteri agak menggores perasaannya.
Tak bolehkah kalau Haqeef tidak menyebut nama Liana di depannya buat sementara waktu?
*******
"Lepas ni, kita tinggal kat penthouse aku." Memecah sunyi, Haqeef nyatakan apa perancangannya.
Dia memang tahu Haqeef tak tinggal dengan keluarganya. Lepas daddynya kahwin lain. Tapi yang dia tahu Haqeef menyewa. Itu cerita yang dia dengar dari papanya lama dulu. Mungkin penthouse tu pemberian daddynya. Lagipun, syarikat memang ada projek perumahan mewah. Apa nak susah.
"Kau tinggal kat bilik bawah, aku kat bilik atas." Sambung Haqeef lagi.
Tangan Zehra yang mahu mencapai baju di dalam wardrobe terus terhenti. Perlahan dia berpaling mencari wajah Haqeef.
"Dan aku tak boleh naik tingkat atas tanpa kebenaran kau?" Zehra bertanya.
"Exactly." Kepala Haqeef terus terangguk.
"Kau boleh turun tingkat bawah tanpa kebenaran aku?" Tanya Zehra lagi.
"Kalau aku tak turun tingkat bawah, macam mana aku nak keluar? Takkan nak terjun." Haqeef bergerak ke arah katil. Duduk dilabuhkan di situ. Penat berdiri.
"Kalau aku tak nak?"
"Habis tu, kau nak tinggal kat mana?" Tegak terus badan Haqeef.
"Jangan ajak aku tinggal dengan keluarga kau, mahu pun keluarga aku." Mata tepat memandang belakang tubuh Zehra.
"Ya! Senang sikit kau nak jumpa Yana." Tenang Zehra membalas. Dalam hati, dia menahan rasa yang kurang enak.
Perlahan dia berpusing badan menghadap ke arah Haqeef.
"Kalau aku tinggal kat banglo yang daddy kau hadiahkan..."
"What?" Haqeef terlompat bangkit. Matanya mengecil. Keningnya berkerut merenung ke wajah Zehra.
"Apa kau cakap?" Soalnya, ingin Zehra ulang semula walau kata-kata Zehra tadi memang sangat jelas masuk ke telinganya.
Diam. Zehra masih tenang saat Haqeef sudah kepanasan.
"Daddy hadiahkan kau banglo?"
Masih berwajah tenang, Zehra mengangguk.
"Kenapa aku tak tahu?"
"Sebab dia bagi aku, bukan bagi kau. Dia suruh kita tinggal kat situ." Balas Zehra, masih tenang.
Haqeef sudah mendongak kepala ke atas. Menahan sabar yang tiba-tiba terasa ditarik kuat. Sentap dengan kenyataan yang diterima.
Kemudian, wajah Zehra dipandang dengan ekor mata.
"Apa lagi daddy bagi kau?" Tegas nadanya.
"Kereta." Zehra tetap dengan selambanya.
"Hah?" Dua kali nada terkejut. Mata Haqeef membulat merenung Zehra.
"Cuba ulang sekali lagi? Kereta apa?"
"A.u.d.i" Seperti mengeja Zehra menyebut nama kereta tersebut dengan bersahaja. Seolah apa yang disebut itu seperti kereta mainan. Sepertinya Haqeef tak mendengar apa yang diucapkan kali pertama tadi. Walhal dia tahu saja Haqeef memang dengar.
Kepala Haqeef sudah tergeleng beberapa kali. Sungguh tak boleh diterima akalnya dengan apa yang didengar. Dengan muka Zehra yang selamba, dengan segala maklumat masuk ke otaknya, dia seperti mahu menumbuk dada sendiri. Dada yang terasa sakit dengan rasa yang dia tak suka.
YOU ARE READING
YANG KAU DUSTAKAN
RomanceSyed Haqeed Zahri Tan Sri Syed Khalid, lelaki yang tak pernah terlintas di fikiran Zehra untuk menjadi calon suaminya. Tetapi itulah yang terlakar di depan matanya. Ada sebab kenapa dia terpaksa kata setuju walau hatinya tak pernah berkata yang sam...