Buku-buku dihempas di atas meja batu. Kelas pada hari ini sangat memenatkan minda Faiha Aleeya. Sudahlah kerja khususnya masih banyak yang bertimbun.Tambah lagi masalah dengan ayahnya dan si ustaz tak guna itu. Mahu pecah otak dibuatnya.
Menungannya dihentikan oleh bunyi deringan telefon. Panggilan dari nombor yang tidak dia kenali dipandang dengan penuh tanda tanya. Siapa pula ni?
Malas mahu berteka-teki, dijawab juga panggilan itu.
"Hello?"
"Assalamualaikum." Kedengaran di sebelah talian memberi salam.
Faiha Aleeya sudah menjulingkan matanya ke atas. Acah-acah pula si pemanggil ini.
"Waalaikumsalam, ni siapa ya? Ada apa telefon saya?" Faiha Aleeya malas berbasa basi.
"Ini Faiha Aleeya ke? Anak Haji Rosli?"
"Ya saya. Ni siapa ni? Dari tadi saya tanya." Faiha Aleeya mula hendak marah. Entah kenapa akhir-akhir ini, angin puting beliungnya cepat benar datang.
"Saya Ustaz Faliq, boleh kita jumpa?"
Faiha Aleeya mendecit. Ohh si berlagak alim ni.
"Ohh USTAZ. Ada apa nak jumpa? Saya sibuk." Faiha Aleeya memberi alasan. Sengaja dia menegaskan perkataan 'ustaz' itu.
"Semua orang sibuk cik, saya pun tak akan cari cik kalau tiada kepentingan. Nanti saya hantar location. Asssalamualaikum."
Faiha Aleeya merengus. Gedik betul mamat acah ustaz ni. Dia fikir dia hebat sangatkah? Ergh!
Seperti yang dijanjikan, Faiha Aleeya pergi juga ke lokasi yang dihantar Umar Faliq. Jus epal disedut sekali, kepala ditoleh ke kiri dan kanan. Mana pula hamba Allah ni? Dia yang nak jumpa, dia yang tak kunjung tiba. Awas saja kalau menipunya. Aku potong kepala ustaz ni karang.
"Assalamualaikum. Maaf saya lambat sikit. Dari kuliah masjid tadi." Ujar Umar Faliq kelam kabut mengambil tempat duduk sambil mengelap peluh di dahi.
Faiha Aleeya memandang jengkel. Macamlah aku tanya kau dari mana.
"Huh! Nama je ustaz, tapi tak tepati masa." Getus Faiha Aleeya perlahan. Lebih kepada bercakap dengan dirinya sendiri.
Meskipun perlahan tapi Umar Faliq masih dapat mendengar butir bicara gadis itu. Hanya saja dia tidak membalas. Malas mahu bergaduh dengan manusia bodoh sombong seperti ini.
"So, ada apa nak jumpa saya ni?" Malas mahu berlama-lama, Faiha Aleeya terus pada tujuan utama pertemuan ini.
"Haji Rosli ada datang jumpa saya." Beritahu Umar Faliq.
Faiha Aleeya tergelak halus dengan baris pertama ayat lelaki itu. Lebih kepada sinis reaksinya. Sudah dia tahu ini soal apa.
"Saya tahu, ini mesti pasal dia paksa ustaz untuk kahwin dengan saya. Betul tak? Ustaz tak payah risaulah, saya pun tak nak. Ustaz ingat saya nak ke disatukan dengan ustaz?"
Berkerut dahi Umar Faliq dengan ucapan bongkak gadis itu.
"Cik Aleeya, boleh tak dengar dulu apa yang saya nak cakap? Kalau diikutkan, saya pun tak nak jadikan perempuan macam awak ni isteri. Lelaki mana je yang nak? Sudahlah panas baran, cepat melenting, kuat melawan, berlagak, bodoh sombong pula tu." Selamba Umar Faliq mengutuk Faiha Aleeya di hadapan mukanya.
Membulat biji mata Faiha Aleeya. Meja ditepuk kuat.
"Hey! Ustaz yang tak berapa nak ustaz. Ingat kau tu bagus sangat ke? Baguslah kalau kau pun tak nak. Aku seribu kali lagi tak hingin." Hilang sudah panggilan 'saya' dan 'awak'. Hilang rasa hormat sebagai seorang manusia, panas hatinya melihat wajah lelaki ini.
Umar Faliq tergelak kecil dengan amukan gadis itu. Baru cakap sedikit, dah melenting. Belum dia keluarkan yang lebih pedas lagi.
"See? Betul tak apa saya cakap? Cik Aleeya ni kuat melenting, cepat marah-marah. Kenapa? Tiub fallopio tersumbat ke sampai 24 jam nak angin?"
Apa?! Hey, ustaz ni memang cari nahas betul. Kecil besar kecil besar je aku tengok tau.
Umar Faliq sembunyi senyum. Rasa mahu tergelak pun ada bila melihat muka Faiha Aleeya yang sudah seperti udang bakar. Tinggal keluar asap saja dari telinganya yang bertindik sana sini.
"Cuba cik bawa beristighfar, istighfar ni dapat memadam kemarahan seperti air yang dapat memadamkan api."
"Tak ada padamnya api tu, lagi menyala ada. Kau ni memang annoying sejak azali ke?" Faiha Aleeya memandang lelaki dihadapannya itu tidak puas hati.
Umar Faliq tersenyum nipis. Tidak mengendahkan soalan Faiha Aleeya, dia terus memberitahu apa yang mahu disampaikan.
"Saya dah bincang hal ni dengan keluarga saya. Diaorang akan datang sabtu ni untuk merisik dan sekaligus tunang. Saya bagitahu ni pun supaya awak tak terkejut."
Terbuntang mata Faiha Aleeya mendengarnya. Mamat ni sakit ke apa? Kalau tak sakit, hilang akal.
"Saya masuk meminang saja, jawapan ada di tangan awak. Awak fikirlah dulu, saya pun tak paksa."
"Kejap kejap kejap, kau ni betul ke tak betul? Kenapa kau setuju pula nak kahwin dengan aku?" Tanya Faiha Aleeya penuh dengan rasa sangsi. Matanya memicing pada Umar Faliq yang kelihatan tenang.
"Saya pun tak tahu. Mungkin awak adalah jawapan pada istikharah saya." Jujur Umar Faliq.
Terpempan Faiha Aleeya mendengar jawapan lelaki yang dia benci itu. Tidak pasti sama ada ianya ikhlas atau hanya lakonan yang dibuat-buat. Untuk beberapa ketika, dia hilang menatap mata Umar Faliq sebelum tuan badan mengalihkan pandangan dan menunduk.
"Tapi- "
Faiha Aleeya masih tidak berpuas hati, namun ayatnya dipotong.
"Okaylah, saya pergi dulu. Assalamualaikum." Pamit Umar Faliq. Meninggalkan Faiha Aleeya yang masih terpinga-pinga dalam mencerna apa yang diperkatakan.
Bukan niat Umar Faliq mahu menyombong, tapi dia tidak selesa berduaan lama-lama. Meskipun di khalayak umum, tetap saja. Umar Faliq cuba elakkan dari perbuatan yang tidak Allah sukai. Takut merosakkan hatinya.
YOU ARE READING
Telunjuk Takdir
Romantik📌 unedited Kadang kau menyangka dialah jodoh yang dicari, tapi kuasa tuhan tak mampu ditandingi. Hati itu milikNya. Maka Dia jugalah yang berkuasa untuk membolak-balikkan isinya. Yang dibenci sepenuh hati kian ditatapi separuh mati. Yang disayang b...