Setelah pulang dari bertemu Ellyana, Faiha Aleeya menghabiskan masa di depan televisyen. Itulah rutin hariannya sebagai penganggur berjaya. Bukan tak mahu bekerja, tapi Umar Faliq tu cerewet betul. Ini tak boleh, itu tak boleh. Ingin ke temu duga pun tidak dibenarkan, apatah lagi bekerja dalam bidang yang dia minati. Teringat akan hal tersebut, Faiha Aleeya jadi sakit hati. Makin bertambah-tambah rasa tak sukanya pada lelaki itu.Mahu berborak dengan Haifa Alisa pun, wanita itu tiada. Kembarnya itu kini mengajar di sekolah tahfiz khas untuk anak yatim. Hari cuti pula kadang-kala ambil upah ajar mengaji.
Faiha Aleeya mengeluh kecil. Bagus betul kembarnya itu. Hidupnya betul-betul mengabdikan diri pada akhirat. Tak seperti dirinya yang ingin mengejar semua impian bersifat duniawi.
Sedang Faiha Aleeya leka dalam menungan, tiba-tiba Umar Faliq datang menghampiri.
"Leeya, esok umi ajak makan malam dekat rumah." Maklumnya.
Faiha Aleeya yang sedari tadi fokus pada kaca skrin televisyen, mula mengalih pandangan. Wajah Umar Faliq dipandang sekilas sebelum matanya kembali pada drama yang sedang bersiaran.
"Okay."
"Lepas maghrib, kita gerak ya. Nanti isyak dekat sana terus, awak bawa telekung sekali."
"Okay."
Faiha Aleeya sebenarnya malas. Tapi kalau dia tidak ikut, pasti mengamuk ayahnya. Baik dia bersetuju saja awal-awal sebelum telinganya yang bernanah, juga tak kuasa hendak diceramah.
"Errr... awak ada baju ke?" Soal Umar Faliq lembut.
Berkerut dahi Faiha Aleeya dengan soalan yang dikemukan. Apa jenis soalan mamat ni? Ada baju ke? Mestilah ada. Ingat aku sengkek ke sampai baju pun tak ada.
"Maksud saya... baju yang sopan." Sambung Umar Faliq bagai faham apa yang ada di dalam minda si isteri.
Faiha Aleeya memberi pandangan tajam.
Heh dia ni. Ingat aku ni gila ke nak pergi rumah mertua pakai seksi-seksi? Dia pun ada maruah dan nama baik untuk dijaga.
"Ada." Balas Faiha Aleeya sepatah. Jelas dingin bunyinya.
"Baju sopan awak tu baju apa?"
Faiha Aleeya mula berangin. Muka Umar Faliq dipandang tak puas hati.
"Aku kata ada, adalah. Kenapa? Kau ingat aku ni liar sangat ke sampai semua baju aku tu tak elok?"
"Saya tanya, janganlah marah. Asyik marah je, nanti cepat tua." Umar Faliq cuba bergurau. Sengih manis ditayang.
Bukan apa, emosi Faiha Aleeya ini seperti sudah diset untuk meletup setiap kali mereka bersua muka. Asyik bergaduh saja. Kalau tidak bertegang urat, pasti bertikam lidah. Mukanya manjang masam mencuka.
Tidak mahu mengendahkan kemarahan Faiha Aleeya, Umar Faliq cuba menukar topik.
"Sayang tengok cerita apa ni?" Kini, Umar Faliq cuba menarik hati Faiha Aleeya dengan caranya. Ruang kosong di sebelah isterinya diduduki. Agak rapat sehingga bahu mereka bersentuhan.
Faiha Aleeya mendecit.
"Kau ni buang tebiat ke? Dah kenapa tiba-tiba panggil aku sayang? Siapa sayang kau?"
"Awak kan isteri saya, awaklah sayang saya." Jawab Umar Faliq dengan senyum semanis gula.
"Hish, sanalah. Apa dekat-dekat ni, geli." Faiha Aleeya bertindak menolak dada Umar Faliq yang mula merapatinya.
"Apa pula geli dengan suami sendiri. Esok awak dah sayang, kentut saya pun awak igaukan tahu." Tawa kecil terlepas dari bibir Umar Faliq.
"Gila!" Faiha Aleeya merengus kasar sebelum bangun dari sofa dan meninggalkan ruang tamu.
Sakit hati dengan perangai Umar Faliq. Menyampah mahu melayan usikan yang padanya tidak kena tempat. Sudah tahu tuan badan tidak suka, kenapa harus ditambah dengan rasa benci.
Umar Faliq hampa. Susahnya mahu mencuri dan melembutkan hati isterinya itu.
Tak mengapa, sabar Umar Faliq. Dia wanita yang tulangnya bengkok, kau harus bijak dalam mengandalkan. Hatinya cuma keras, belum mati.
Bisik hatinya memberi semangat pada diri sendiri.
YOU ARE READING
Telunjuk Takdir
Romance📌 unedited Kadang kau menyangka dialah jodoh yang dicari, tapi kuasa tuhan tak mampu ditandingi. Hati itu milikNya. Maka Dia jugalah yang berkuasa untuk membolak-balikkan isinya. Yang dibenci sepenuh hati kian ditatapi separuh mati. Yang disayang b...