"Kenapa diam je dari tadi? Awak tak sihat ke?" Soal Umar Faliq bila Faiha Aleeya hanya senyap sepanjang perjalanan pulang.Soalan Umar Faliq terbiar seperti angin berlalu. Faiha Aleeya hanya senyap.
"Leeya?"
"Tak ada apa."
"Awak tak suka datang rumah keluarga saya ke?" Umar Faliq sedikit terasa dengan sikap Faiha Aleeya, tapi masih menggunakan nada lembut dalam berbicara.
"Apa kau cakap ni?" Faiha Aleeya merengus. Main tuduh-tuduh saja. Sudahlah dia geram dengan mulut pak cik saudara lelaki itu. Sakit dalam hatinya masih belum reda.
Harapkan serban dan mata bercelak hitam, tapi akal serupa tak boleh pakai. Sudahlah gatal semacam. Naik geli tengkuk Faiha Aleeya bila teringat pandangan orang tua itu padanya.
"Habis, cuba cakap kenapa?"
"Kenapa kau kahwin dengan aku?" Spontan Faiha Aleeya menyoal. Teringin juga dia mahu tahu jawapan Umar Faliq. Entah apa ekspektasi lelaki itu sampai sudi mengambilnya menjadi suri.
"Kenapa awak tiba-tiba tanya macam ni?"
"Aku tanya, kenapa?"
"Jodoh tu kan dah ditetapkan, kenapa awak nak persoalkan kerja tuhan?"
"Stop bagi jawapan klise boleh tak Faliq?" Faiha Aleeya sebal. Balik-balik kaitkan agama, apa yang dia mahu dengar adalah dari hati Umar Faliq sendiri.
"Saya cakap benda betul. Leeya, kita dah tiga bulan nikah. Awak masih tak boleh terima kenyataan ke yang saya ni suami awak?" Kesabaran Umar Faliq mula digugat. Wanita ini sering saja mencabar pangkatnya.
"Kau tak malu ke ada isteri yang tak ada lulusan agama? Tak ada hafalan Al-quran dan hadis dalam dada? Tak ikut syariah Islam dan tak terjaga pergaulannya?"
"Kalau macam tu, jagalah mulai sekarang. Islam bukan tentang kesempurnaan, tapi niat dan sandaran. Kalau awak rasa diri tu lompong, kenapa sombong sangat nak terima ajaran dan peringatan. Bila orang lain menilai, tahu pula nak melenting. Tapi diri sendiri tak pernah cuba nak ubah."
Wajah isterinya dipandang sekilas dengan kerutan di dahi sebelum kembali fokus pada jalan raya.
"Saya cuba berlembut, tapi perangai awak betul-betul mencabar kesabaran. Kebudak-budakan. Saya ni suami, tahta paling tinggi dalam pelayaran rumah tangga. Tapi ada awak hormat saya? Ada awak dengar cakap saya? Ada awak layan saya dengan sepatutnya?"
Faiha Aleeya diam seribu bahasa. Wajahnya tak mampu diangkat, sudahnya perjalanan mereka sehingga ke rumah hanya ditemani bunyi pendingin hawa. Senyap, tapi dalam fikiran masing-masing bising.
Sesudah pedal brek kereta ditarik dan enjin kereta dimatikan, Faiha Aleeya bertindak membuka pintu namun perbuatannya terhenti pabila tangannya diraih.
"Saya minta maaf, tertinggi suara." Ucap Umar Faliq lembut. Rasa bersalah pula bila terikutkan emosi dan hati sebentar tadi. Dia tahu dia tak sepatutnya berkeras. Tapi dia juga manusia biasa, yang terkadang punya batas.
Faiha Aleeya berdehem.
"Tak apa, saya dah biasa." Gumam Faiha Aleeya perlahan. Dari kecil, dia sudah mendak ditengking oleh ayahnya. Setakat amarah Umar Faliq yang tak seberapa, apalah sangat.
Sejurus berkata, tangannya ditarik dari pegangan lelaki itu. Belum sempat Umar Faliq membalas, Faiha Aleeya sudah lolos dari perut kereta.
Umar Faliq mengeluh kecil. Mengucap dia beberapa kali bagi menghalang lintasan hati yang cuba ditusuk syaitan. Mukanya diraup kesal. Penat rasanya.
YOU ARE READING
Telunjuk Takdir
Romance📌 unedited Kadang kau menyangka dialah jodoh yang dicari, tapi kuasa tuhan tak mampu ditandingi. Hati itu milikNya. Maka Dia jugalah yang berkuasa untuk membolak-balikkan isinya. Yang dibenci sepenuh hati kian ditatapi separuh mati. Yang disayang b...