BUNYI pintu tertutup kuat menyentakkan Puan Marissa yang kala itu sedang berehat di ruang tamu. Matanya terus tertumpu ke arah pintu utama. Kelihatan kelibat Adhwa yang baru sahaja pulang dari kerja. Melihatkan wajah kusut anaknya itu, menaikkan sedikit kerisauan dalam hati wanita itu.
"Angah, okey tak? Kenapa nampak stres aje tu? Banyak sangat ke kerja kat hotel?" Bertalu-talu Puan Marissa menyoal.
Adhwa berhenti melangkah saat suara Puan Marissa menyapa telinga. Tidak perasan pula mamanya itu berada di ruang tamu. Dia melemparkan seraut senyuman pahit ke arah mamanya.
"Tak ada apalah, ma. Cuma penat sikit. Angah naik dulu," balas Adhwa lalu menyambung semula langkahnya.
"Tunggulah dulu, angah. Mama ada sesuatu nak tanya angah ni." Puan Marissa bersuara lagi. Menghentikan langkah lelaki itu kembali.
Kata-kata yang ringkas itu sudah cukup membuatkan jantung Adhwa mengepam laju dalam diam. Entah-entah nak tanya pasal kahwin? Enggan membantah, kaki melangkah lemah menuju ke arah mamanya. Dia melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan Puan Marissa.
"Apa dia, ma?"
Suasana menjadi sunyi seketika sebelum Puan Marissa memulakan bicara.
"Mama dah lama tak jumpa Jasmine. Biasanya setiap hujung minggu dia akan datang sini jumpa mama. Tak pun jumpa kat butik. Dia sibuk sangat ke sampai tak sempat nak jumpa mama sekarang ni? Hai, takkan dah nak kahwin pun busy kot!" Nampak biasa, tapi terselit sedikit sindiran pada kata-katanya itu.
Adhwa hanya sekadar mendiamkan diri. Tidak tahu hendak menjawab apa.
"Angah! Mama tanya ni." Adhwa tersentak dari lamunan. Kemudian,dia berdehem perlahan.
"Mama tanya apa tadi?" soal Adhwa kembali.
"Mama tanya kenapa Jasmine dah lama tak jumpa mama? Mama ada banyak benda nak bincang pasal majlis kamu berdua ni. Nanti angah tolong pesan dekat Jasmine. Suruh dia datang jumpa mama esok dekat butik."
Adhwa terdiam sejenak. Dia cuba menarik nafas. Sekarang, dia tetap harus juga memberitahu mamanya tentang Jasmine. Kalau bukan hari ini, bila lagi?
"Ma. Sebenarnya angah ada sesuatu nak bagitahu mama."
Suara Adhwa bertukar serius. Melihat wajah tegang anaknya itu, cukup membuatkan wajah Puan Marissa bertukar cuak.
"Apa dia angah? Macam serius aje."
Wajah Puan Marissa ditatap oleh Adhwa dengan penuh debaran di dada. Dia harus bersedia menghadapi sebarang risiko yang akan berlaku. Mahu tidak mahu, dia harus juga membatalkan perkahwinan dengan segera. Ya, dia tetap juga harus memberitahu mamanya. Bimbang nanti terlambat, lagi buruk keadaannya.
Puan Marissa masih setia menunggu kata-kata dari Adhwa.
"Angah nak... sebenarnya angah nak batalkan perkahwinan." Terus membuntang mata Puan Marissa, dan automatik dia berdiri dari sofa.
"Hah?!"
Adhwa mengeluh sejenak. Sudah dia agak, mamanya akan terkejut besar.
"Maafkan angah, ma. Tapi angah terpaksa buat macam ni." Adhwa berkata lemah.
"Astagfirullah-al azim. Apa masalah lagi sebenarnya ni? Bukan ke haritu cakap belum bersedia nak kahwin. Ni apa pula alasan, angah? Dah putus tunang ke?"
"Tak ma. Er.. angah tak tahu nak explain macam mana. Jasmine..."
"Kenapa dengan Jasmine?" pintas Puan Marissa. Sudah dia agak, puncanya pasti gara-gara si model itu.
"Jasmine... dia dah pergi tinggalkan angah, ma. Dia pergi luar negara. Angah pun tak tahu dia pergi mana. Sekarang ni, angah tak tahu dah nak fikir apa. Angah dah buntu! Jadi angah nekad buat keputusan untuk batalkan aje perkahwinan. Harap mama boleh terima."
"Maafkan angah sebab dah kecewakan mama sekali lagi. Tapi angah terpaksa ma! Maafkan angah." Adhwa segera mengatur langkah meninggalkan Puan Marissa di ruang tamu. Kalau Puan Marissa pun sukar untuk menerima semua ini. Apatah lagi dia. Perempuan yang dicintai pergi meninggalkan dia disini semata-mata ingin mengejar kerjaya?
"Tunggu angah!" Lantang suara Puan Marissa menggegarkan seluruh ruang tamu. Cukup untuk membuatkan gerakan kaki Adhwa sekali lagi terhenti. Dia berpaling ke arah Puan Marissa. Sepertinya, mamanya itu ingin memberitahu sesuatu.
"Mama ada keputusan lain. Keputusan mama adalah mama tetap nak teruskan perkahwinan ni!" Kata-kata tegas dari Puan Marissa membuatkan mulut Adhwa terlopong.
"What? Seriously, ma? Habistu mama nak angah bersanding sorang-sorang ke atas pelamin tu? Are you kidding me?"
Puan Marissa menarik nafas sejenak sebelum kembali meneruskan bicara.
"Mama nak angah kahwin dengan Alya Batrisya." Senafas Puan Marissa menuturkan ayat itu. Dan nyata, Adhwa terus tergamam.
"Apa benda mama merepek ni? Jangan nak bergurau lah, mama."
"Mama tak bergurau. Mama tak merepek. Apa-apa pun, ini keputusan mama. Keputusan mama muktamad! Mama nak angah kahwin dengan Alya Batrisya!" Tutur Puan Marissa tegas.
"My answer is no! Who is she, mama? Angah tak kenal pun dia tiba-tiba nak suruh angah kahwin dengan dia. Mama ingat ni zaman dulu-dulu ke nak aturkan masa depan anak sendiri? No means no. Batalkan aje perkahwinan ni. Senang!" bentak Adhwa.
"Angah jangan nak bantah cakap mama. This is my decision. Sampai bila angah nak biarkan masa depan angah ni tergantung tanpa ikatan sah? Walau apa pun yang berlaku, mama tetap nak perkahwinan ni diteruskan." Tegas Puan Marissa lagi.
"Tak boleh! Angah tak boleh terima. Mama sesuka hati buat keputusan tanpa berbincang dengan angah. Angah pun berhak buat keputusan. Dan keputusan angah tetap sama. Angah takkan kahwin dengan sesiapa pun termasuk Alya Batrisya!" Suara Adhwa naik setingkat. Tidak sedar, dia sudah menengking mamanya sendiri. Lalu dia berpusing membelakangi mamanya. Langkah diatur laju mahu ke tingkat atas.
"Angah tunggu dulu! Mama belum habis cakap!"
"Syed Adhwa!"
Panggilan mamanya tidak diendahkan. Adhwa tetap meneruskan langkah menaiki tangga. Kemarahan yang membuak-buak dalam hati harus segera ditenangkan. Puan Marissa takkan faham akan perasaannya sekarang.
Namun bunyi sesuatu yang jatuh menghentikan semula langkah Adhwa. Hampir luruh jantung Adhwa saat melihat ke tingkat bawah. Puan Marissa sudah terbaring di atas lantai. Terus dia bergegas turun semula mendapatkan mamanya yang sudah tidak sedarkan diri.
"Ya Allah, mama!"