Media: Alya Batrisya
KRIM segar diputar sehingga kental kemudian diletakkan ke tepi. Bekas lain diambil untuk memutar butter dan gula halus sehingga kembang dan berkrim. Coklat pahit yang sudah dimasak dicampurkan secara double boil. Kemudian semua bahan digaul rata.
Bibir Isya mula bernyanyi perlahan. Baginya, untuk menghasilkan sesuatu resepi yang sedap haruslah disertai dengan mood gembira. Dek kerana nyanyian itu membuatkan Izzah menapak ke arah dapur.
"Amboi, seronoknya kau menyanyi. Dapat laki tua nanti tak tahu," tegur Izzah.
"Eleh! Mitos tu bukannya betul pun. Jodoh tu dekat tangan Tuhan! Kau tu datang sini kenapa? Nak kerja dengan kuli sekali ke?" balas Isya.
"Tengkorak kau. Aku saja nak jenguk anak-anak buah aku bekerja. Kan nanti ada yang curi tulang pula. Tak pasal-pasal lingkup bakeri aku."
"Ceh. Dah kaunter depan tu siapa jaga?"
"Zara. Kenapa?"
"Tak ada apa. Nanti kalau kau pergi depan, tolong panggilkan sekali budak Elina suruh datang kat dapur ni. Aku nak suruh dia tolong aku decorate kek ni," arah Isya selamba.
"Panggil lah sendiri. Aku banyak kerja nak buat ni. Nak pergi cek stok barang kejap."
"Hampeh punya bos lah kau ni." Gumam Isya perlahan.
"Kau cakap aku apa? Kau cakap aku hampeh? Okey, potong gaji," ugut Izzah.
"Eh tak tak tak! Aku cakap kau bos yang paling humble yang pernah aku jumpa." Isya kemudian ketawa buat-buat. Tajam betul telinga. Semua benda dengar!
KERETA Adhwa berhenti betul-betul di hadapan sebuah kedai kek. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Itu pun gara-gara mamanya yang paksa. Tujuannya hanya satu. Lantak lah apa nak jadi, jadi lah. Yang penting sekarang adalah kebahagiaan mamanya yang perlu diutamakan.
Kaca mata hitam yang terletak elok di atas hidung ditanggalkan. Lengan kemeja dilipat hingga ke siku. Adhwa membetulkan rambutnya supaya kelihatan lebih rapi. Nak jumpa calon isteri kena lah hensem-hensem!
Setelah yakin dengan penampilan sendiri, Adhwa mulai keluar dari kereta. Tanpa membuang masa, langkah segera diatur masuk ke dalam bakeri. Matanya meliar memerhati ke segenap sudut. Mencari susuk tubuh si gadis itu. Tapi dimanakah dia? Kakinya kemudian mengatur langkah ke arah kaunter apabila melihat seseorang di situ.
"Excuse me."
"Yes. Encik nak pesan apa?" soal Zara yang ketika itu sedang bertugas menjaga kaunter.
"No, thanks. Saya datang sini nak jumpa Alya Batrisya," balas Adhwa, ramah. Enggan membuang masa.
"Oh, Cik Isya. Dia ada kat belakang. Sekejap, saya panggilkan," balas Zara kembali. Kemudian susuk tubuh itu menghilang dari kaunter. Selang beberapa minit kemudian, gadis itu kembali semula bersama orang yang dia panggil dari arah dapur.
"Awak?"
Kuat suara itu menegur sekaligus membuatkan Adhwa yang sedang menunggu terus saja berpaling. Dia menghampiri Isya dan tanpa isyarat lengan gadis itu ditariknya.
"Ikut aku."
"Eh, apa hal pula? Saya tak ada apa-apa urusan pun dengan awak lah," balas Isya pula. Ditarik semula lengannya, namun gagal. Kuat betul genggaman monster hensem ini.
"Kenapa ni, Isya? Siapa ni?" Izzah pula datang menyapa tatkala mendengar kekecohan di bahagian kaunter.
"Dia nak suruh aku..."