ADHWA memandang sekujur tubuh yang terbaring di atas katil. Syukurlah mamanya itu tidak apa-apa. Saat Puan Marissa tidak sedarkan diri tadi, dia terus menelefon doktor peribadi mamanya untuk ke sini. Kata doktor, tekanan darah Puan Marissa naik mendadak dan disebabkan itulah mamanya tiba-tiba pengsan. Adhwa mengeluh perlahan. Teringat semula pertelingkahan yang terjadi sebentar tadi. Dan semua itu adalah berpunca darinya. Rasa bersalah mula menyelubungi diri.
"Angah!" panggil seseorang. Adhwa seraya berpaling. Muncul Syed Azham di pintu bilik dengan riak wajah bimbang.
"Mama okey tak? Kenapa dengan mama?" soal Syed Azham lalu duduk di birai katil. Kebetulan tadi, dia dalam perjalanan pulang dari Singapura. Saat mendengar panggilan telefon dari adiknya itu sebentar tadi, dia terus bergegas ke sini. Tidak sempat untuk pulang ke rumah terlebih dahulu.
"Kita cakap dekat luar," ujar Adhwa seraya berdiri dan menapak keluar dari bilik. Tidak mahu mamanya yang sedang tidur itu terjaga. Sempat Syed Azham memandang sekilas ke arah Puan Marissa sebelum mengekori adiknya keluar dari bilik.
"Kenapa, ngah? Apa yang dah jadi?" soal Syed Azham sekali lagi ketika mereka sudah berada di luar bilik.
"Aku serabutlah, long," luah Adhwa. Kedua-dua tangannya naik meraup wajah. Sungguh fikiran dia saat ini sangat bercelaru.
"Kenapa ni? Cuba cerita dekat along."
Adhwa menarik nafas sebelum menceritakan semua yang terjadi. Berharap agar alongnya itu dapat membantunya menyelesaikan masalah ini.
"Jadi apa keputusan kau?" soal Syed Azham usai cerita dihabiskan. Tenang saja wajah itu.
"Tak tahulah. Aku tengah kusut sekarang ni."
"Kalau kau tanya pendapat along, along akan terima cadangan mama." Adhwa terkedu mendengar kata-kata itu. Dia menghela nafas berat.
"Kau tak faham, long. Yang kahwinnya aku. Aku tak kenal pun dia. Macam mana aku nak kahwin dengan perempuan yang aku tak kenal dan aku tak cinta?"
"Dah tu, kau pergilah kenal-kenal dengan dia dulu. Kenapa? Sebab dia tak cantik? Tak hot macam Jasmine?"
"Bukan macam tu. Alah long, kau faham kan hati ni tak boleh nak dipaksa-paksa. Aku cuma nak kahwin dengan orang yang aku cinta sangat-sangat."
"Bercinta bertahun-tahun pun tak semestinya pengakhiran ke jinjang pelamin. Yang tak pernah bercinta sebelum kahwin pun boleh aje hidup bahagia. Macam along."
Adhwa terdiam. Wajah tenang Syed Azham ditatap sejenak. Memang benar, alongnya itu tidak pernah bercinta pun dengan kakak iparnya, Syazlina sebelum berkahwin. Mereka berkahwin pun kerana amanat rakan baik arwah papa mereka.
Tanpa sebarang bantahan, Syed Azham bersetuju sahaja dengan perancangan papanya. Syed Azham sememangnya anak yang mendengar kata. Tidak pernah sekalipun dia melihat alongnya itu melawan kata mama dan arwah papa mereka. Disebabkan itu, dia amat mengagumi sifat Syed Azham. Dan kini, alongnya bakal menimang cahaya mata yang kedua. Tidak bahagiakah mereka?
"Fikir baik-baik, ngah. Takkan kau masih nak kejar perempuan macam Jasmine? Ingat. Pilihan seorang ibu adalah sentiasa yang terbaik. Manalah tahu si dia tu memang betul-betul jodoh kau." Sambung Syed Azham lagi.
Adhwa terdiam lagi. Nampaknya tiada sesiapa yang memihak kepadanya.
PUAN Marissa termenung sambil bersandar di kepala katil. Semenjak sedar dari pengsan, dia tidak banyak bicara. Terakhir dia bercakap pun adalah dengan anak sulungnya yang baru sahaja beredar pulang.
Mulutnya terasa berat ingin berbicara dengan Adhwa. Memikirkan nasib yang menimpa anak bujangnya itu membuatkan kepalanya runsing. Entah bila lah anaknya itu akan menemui kebahagiaan sendiri. Salahkah keputusan dia tadi?
Bunyi ketukan pintu menghentikan lamunan Puan Marissa. Terjengul wajah Adhwa di muka pintu. Saat anaknya itu menghampiri, dia memusingkan wajah ke arah lain.
"Mama masih marahkan angah ke?" soal Adhwa perlahan.
Puan Marissa memilih untuk diam. Selagi kemarahan dalam hati belum reda, dia tidak akan berbicara dengan anaknya itu. Siapa yang tak marah kalau anak sendiri berani melawan dan meninggikan suara kepada ibu kandung mereka?
"Angah minta maaf, ma. Angah tak sengaja tengking mama siang tadi. Sebab angah, mama pengsan. Maafkan angah, mama."
Adhwa mencapai tangan mamanya lalu dikucup lembut. Berharap Puan Marissa akan menerima maafnya. Tindakan itu sedikit mencairkan hati Puan Marissa. Tangan kiri diangkat lalu dia menyentuh bahu anaknya.
"Mama ni cuma nakkan yang terbaik untuk anak-anak mama. Tapi siapalah mama nak atur-aturkan hidup angah kan?" Luah Puan Marissa sayu. Dia kemudian tersenyum tawar.
Adhwa mengeluh perlahan. Dia agak sedikit terasa kerana kata-kata mamanya itu seakan menyindirnya. Dia menarik nafas sejenak sebelum mengangkat wajah.
"Mama, janganlah cakap macam tu. Mama pun berhak atas masa depan angah."
"Dan... angah dah sehabis fikir. Angah akan ikut cadangan mama," tambah Adhwa lagi. Dan ternyata, Puan Marissa agak terkejut mendengar kata-kata itu. Seakan tidak percaya.
"Betul ke ni angah? Angah setuju nak kahwin dengan Isya?" Adhwa diam sejenak sebelum mengangguk lemah. Jelas terpancar riak bahagia di wajah mamanya ketika melihat anggukan itu. Saat ini, Adhwa sanggup membuat apa sahaja demi membuatkan mamanya gembira.
"Demi mama dan keluarga kita, angah setuju."
"Alhamdulillah! Terima kasih, sayang. Terima kasih," balas Puan Marissa. Pantas tubuh Adhwa ditarik dalam pelukan.
"Mama sayang angah," ucap Puan Marissa. Belakang anaknya diusap-usap lembut.
"Angah pun sayang mama," balas Adhwa. Tidak lama, pelukan dileraikan. Dan tiba-tiba, Adhwa terfikirkan sesuatu.
"Tapi ma, Alya Batrisya tu dah berpunya ke belum? Kang nanti tak pasal-pasal angah kena serang dengan boyfriend dia. Tunang dia ke?"
Puan Marissa sekadar tersenyum.
"Tenang, sayang. She's single."