Ada masa kasih sayang pun terkadang
dilihat jelek dan dianggap picis
Apatah Lagi Cinta
bagi sesetengah manusia,
begitu MURAH untuk dihargai
atau MAHAL untuk dimiliki.
Malah terkadang,
kasih sayang dan cinta sering di salah erti
menjadikannya...
ASING------------------------------------------------------------------
AKU masih berkira-kira untuk masak apa tengahari nanti dan dalam masa yang sama dikejutkan oleh bunyi grill pintu dapur yang dibuka. Wajah abang terjengul di muka pintu mengejutkan aku. Abang aku yang dulu segak kacak, jadi kegilaan gadis di kampung ini, sekarang keihatan seperti kelonsong yang kosong. Pandangan kami bertaut. Selepas tiga hari aku tinggal sendiri, hari ini aku akhirnya berteman.
"Bila Syafi sampai?" soal abang sambil sesekali terbatuk-batuk.
"Jumaat petang," jawab aku ringkas.
"Mak, abah dan kakak pergi mana?"
"Balik kampung."
"Kenapa Syafi tak ikut sama?"
"Kak Wati cakap mereka balik kampung hari Rabu," jawab aku acuh tak acuh sambil terus minum kopi. Teringat pula Cik Nah selalu komen selera aku macam orang tua sebab suka minum kopi.
"Abang dah sarapan? Tu... Syafi ada masak nasi goreng. Kalau nak telur dadar, Syafi gorengkan," ujar aku sambil melihat tubuh kurus abang beredar ke sinki.
"Abang boleh goreng sendiri. Berapa lama cuti kali ni?"
"Sebulan," jawab aku sepatah. Abang masih membongkok, membasuh mukanya di sinki.
Dulu, waktu aku kecil, abang menggantikan emak dan kakak menguruskan aku kerana emak dan abah keluar bekerja manakala kakak bersekolah sesi pagi. Tinggal hanya aku dan abang. Bangun saja tidur abang akan dukung aku ke dapur, gosok gigi dan basuh muka di sinki yang sama. Diam-diam aku rasa ingin peluk abang dan beritahu, aku rindu dia yang dahulu. Tapi keinginan aku itu terhenti dalam kotak fikir aku sahaja.
Abang datang menghampiri aku lalu. Kopi panas dalam mug aku dihirupnya. Aku biarkan saja. Abang memang begitu daripada dulu. Suka minum satu cawan dan makan satu pinggan dengan aku hingga ada ketikamya boleh sampai bergaduh kerana abang selalunya akan habiskan tanpa tinggalkan sebahagiannya untuk aku. Tiba-tiba abang seluk poket seluar jeans lusuhnya. Dicampak gulungan duit warna biru dan ungu ke meja.
"Ambil tu. Kalau tak larat tinggal sebulan, pergi jalan-jalan. Tak guna berharap orang faham. Cari hidup sendiri," ujar abang sambil kepala aku ditepuk-tepuk sebelum dia beredar masuk ke biliknya. Berkurung seperti kebiasaan. Entah berapa lama pula akan keluar dari bilik itu nanti.
Aku kutip duit yang dicampak abang. Aku kira satu-satu duit kertas yang bergumpal-gumpal itu. Lima ratus semuanya. Mungkin abang baru dapat gaji. Mungkin juga abang 'berniaga barang' yang mampu buat orang tumbuh kepak terbang ke bulan. Aku ambil duit pemberian abang dan masukkan ke dalam poket seluar.
Usai membersihkan pinggan dan mug, aku keluar dari rumah terus ke belakang rumah. Dua ekor lembu dalam kandang aku heret ke kebun dan aku ikat talinya ke pokok. Moga kenyang makan rumput dan lalang yang galak merimbun. Kemudian aku tarik pula tiga ekor kambing dan ikat ke pokok lain pula. Ayam di reban aku keluarkan dan beri dedak.
"Hai, orang bandar balik jadi gembala. Tak geli ke?" tiba-tiba Makcu Bedah tegur aku. Terperanjat juga, mujur dapat cover. Aku cuma sengeh macam biasa. Sengeh itu bagi aku adalah jawapan universal. Mudah.
Aku cepat-cepat sudahkan kerja kemudian berlalu masuk ke rumah. Duduk semula depan sinki sambil fikir nak masak apa. Aku mampu buat reban ayam, baiki atap rumah, baiki paip dan sinki rosak, tapi bila berkaitan dengan memasak, aku sentiasa gagal memuaskan hati sesiapa. Ah! Masaklah ala kadar sahaja. Bukan anak raja pun nak datang makan. Cuma aku dan abang. Silap-silap aku makan sendiri.
YOU ARE READING
JELAGA
Romance1. Cerita ini tentang siapa? ANGGAP SAJA TENTANG KAMU 2. Cerita ini tentang apa? ORANG PATAH HATI YANG MAHU HIDUP 3. Cerita ini untuk siapa? DIA ATAU KAMU Hak memilih hidup ada pada diri kamu. Mahu jadi manusia yang bagaimana? Mahu berhenti mengharu...