TUMPAH

1 0 0
                                    

Sunyi cuba membaca
Hela nafas anak Adam
Yang sarat mengusung sendat jiwa
Berseretan dalam langkah
TUMPAH
Dalam bahasa mudah alam
Yang tak pernah menghukum

------------------------------------------------------------------

HAMPIR sebulan selepas aku terima hadiah misteri, hari-hari aku berjalan seperti lazimnya. Hidup aku masih berputar di atas paksi yang sama; kuliah dan kerja sambilan. Tiada yang berubah. Aku masih kekal memilih untuk bersendiri. Bilangan rakan juga masih juga sama.

Yati yang pada mulanya selalu menyarankan aku untuk cuba mendapatkan maklumat daripada Meivin berkenaan lelaki misteri itu, kini sudah tidak lagi meminta aku berbuat demikian. Mungkin dia sedar aku tidak akan berbuat apa-apa. Aku memang tiada rasa untuk mendapatkan maklumat daripada Meivin. Tambah pula gadis itu pernah berkata kepada Yati yang dia sudah berjanji untuk tidak membuka rahsia. Kenapa mesti aku menjadi penyebab orang lain memungkiri janjinya?

"Syafi..." satu suara sayup-sayup memanggil nama aku namun aku biarkan sahaja.

"Syafi... kuliah dah tamat. Awak tak ada kelas lain ke?"

Aku segera berpaling ke arah datang suara dan melihat Profesor Razi berdiri betul-betul di sebelah aku. Terkocoh-kocoh aku mengemas buku dan fail ke dalam beg sandang. Kenapalah sampai terkantoi, nampak sangat aku tidak fokus semasa Profesor Razi memberi kuliah sebentar tadi. Mana nak letak rasa malu dan bersalah ini?

"Awak ada kelas lain ke lepas ni?"

"Er... saya minta maaf, prof. Mengelamun tak fokus dalam kuliah tadi. Lepas ni tak ada kelas lain," jelas aku serba salah.

"Jom, teman saya minum petang. It's on me," pelawa Profesor Razi.

Aku cuba untuk menolak tetapi lelaki di hadapan aku ini tetap berharap aku menemaninya. Pelbagai alasan yang telah aku suarakan, tetap juga gagal untuk menidakkan permintaannya. Akhirnya aku akur. Kami beriringan ke kafe. Aku tidak berasa untuk makan, sekadar memesan kopi panas. Profesor Razi pula mengambil beberapa biji kuih dan memesan teh tarik.

"Tak nak makan ke?" Aku gelengkan kepala.

"Draf lakaran yang awak hantar minggu lepas, saya dah tengok. Ada few things yang awak kena betulkan. Ada masa nanti datang jumpa saya," ujar Profesor Razi sejurus dia duduk. Aku cuma menganggukkan kepala.

Profesor Razi leka menjamah kuih yang dibelinya. Sesekali dia meneguk teh tarik. Aku cuma memerhati. Entah apa yang aku ingin bualkan kerana aku hilang idea untuk mencari topik perbualan. Serba salah juga untuk terus duduk begini tanpa berbual.

"Prof tak ada kelas ke petang ni?" soal aku, cuba untuk menghilangkan rasa canggung ini.

"Tak ada. Tapi ada meeting pukul tiga nanti," jelas Profesor Razi. Aku cuma mengangguk.

"Saya selalu nampak awak tunggu bas setiap petang. Awak ke mana?" Aduh! Adakah dia memerhatikan aku selama ini?

"Er... saya ke KL," jawab aku ringkas. Kalau boleh mahu sahaja aku beredar agar aku tidak diterjah dengan soalan seperti itu lagi.

"Buat apa ke KL setiap hari?"

"Saya ada buat kerja sambilan, prof," jawab aku lagi. Profesor Razi terus melihat ke arah aku.

"Kerja? Pukul berapa awak balik ke sini? Kerja as what?" bertalu-talu soalan itu keluar dari mulut Profesor Razi.

"Just part timer di architecture firm. Saya kena cari duit sampingan, prof. Saya balik ke asrama around 6.00 a.m," jawab aku lagi sambil dalam hati berdoa agar masa cepat berlalu dan aku boleh beredar daripada keadaan canggung ini.

JELAGAWhere stories live. Discover now