Jerit tak bersuara
Laung tak bergema
Halilintar yang bergemuruh
Dalam hingar-bingar
Jurai airmata
LESAP
Sejauh mana kuheret kaki...
Yang diinjak masih hati sendiri
Waktu rindu padamu masih menjentik------------------------------------------------------------------
"TAHUN ni awak dah jadi senior Syafi. Kenalah tunjuk contoh kepada junior. Student perempuan lain semua pakai tudung. Kenapa awak degil tak nak pakai. Awak tau tak berdosa buka aurat," suara Zati, Ketua Badan Perwakilan yang baru dilantik menusuk gegendang telinga aku.
Aku hanya terkelip-kelip memerhatikan wajah Zati tanpa menunjukkan sebarang reaksi sedangkan semua mata terarah kepada aku ketika itu. Hari ini Badan Perwakilan Pelajar memanggil semua pelajar berkumpul di dewan bagi membincangkan agenda pendaftaran pelajar tingkatan satu yang baru pada hari esok.
Aku seperti biasa selesa memilih untuk duduk di barisan paling akhir bersama Fairus, Che Nah dan Aya. Ketiga-tiga rakan sebilik aku itu berpandangan sesama sendiri. Wajah Che Nah yang terkenal agak kasar sudah mula berubah.
"Eh, mulut dia sedapnya nak hukum orang. Tahulah ahli surau, confirm masuk syurga. Tak perlulah aibkan orang macam tu," ujar Fairus perlahan.
"Dia cakap sekali lagi memang aku maki juga nanti. Sejak jadi budak BWP ni bukan main lagi celupar mulut tu," ujar Che Nah pula.
Aku hanya diam, masih tekun memerhati wajah Zati yang berdiri di podium. Wajahnya sudah cukup cantik, suara pun lemak merdu dan popular di kalangan pelajar baik lelaki juga perempuan. Aku cuma senyum dan kemudian tunduk. Malas terlalu ambil pusing dengan kata-kata dan sikap Zati. Lagipun bukan semua kata-katanya salah.Zati masih membebel dan menyebut-nyebut nama aku tetapi apa yang diperkatakan olehnya seperti angin lalu. Aku masih juga duduk mendengar tanpa sebarang reaksi. Mungkin kerana itu agaknya Zati rasa tercabar dan semakin meninggi suara. Habis itu mahu aku jawab dan bertikam lidah ke? Gila!
"Sudah-sudahlah kecam orang sangat as if kita confirm masuk syurga," tiba-tiba satu suara dari barisan pelajar lelaki terdengar menyindir.
Semua yang hadir berpaling ke arah suara tersebut. Aku juga. Cuma aku tidak terlalu ambil pusing lantas membiarkan sahaja. Che Nah, Aya dan Fairus juga tertinjau-tinjau. Aku kembali senyum. Perjumpaan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan berkenaan urusan pelajar baru bertukar menjadi perbincangan tentang aku. Absurd!
Satu. Dua. Tiga. Aku bingkas bangun, tanpa menghiraukan mata yang memandang, terus melangkah keluar dari dewan. Untuk apa ada di situ menjadi mangsa kritikan dan menjadi objek perbincangan serta pertelagahan. Aku bosan. Lebih baik menjauhkan diri agar agenda perjumpaan tersebut berjalan normal.
Aku terus ke taman di bahagian belakang makmal yang betul-betul mengadap ke arah laut. Duduk santai di gazebo yang tersedia sambil termenung.
"Syafi, ada budak kelas B nak kenal kau. Dia ajak datang bilik dia," ujar Dura, gadis tomboy yang belajar di kelas F dan sama-sama berada dalam Kelab Taekwando. Kami tidak berkawan rapat cuma saling kenal atas urusan kelab.
Aku pandang ke arah Dura yang masih bersandar dan tersengeh di tepi rak buku menunggu jawapan aku. Ruang perpustakaan hari itu agak sunyi. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja yang kelihatan tekun mengulangkaji.
"Dia ada kat meja hujung sana. Jomlah join," ujar Dura lagi.
"Tak apalah aku nak buat ulangkaji. Lain kali saja," jawab aku, menolak pelawaan Dura dengan hormat.
Gadis itu mengangguk-angguk kemudian beredar semula ke mejanya manakala aku kembali menumpukan perhatian kepada apa yang aku baca sebelum ini. Kadangkala aku terfikir, akukah yang sebenarnya pelik atau manusia sekeliling aku ini yang pelik? Sudah arif tentang sikap aku yang suka menyendiri dan tidak suka berkawan pun, masih juga datang dan mahukan apa yang tidak selesa untuk aku berikan.
YOU ARE READING
JELAGA
Romance1. Cerita ini tentang siapa? ANGGAP SAJA TENTANG KAMU 2. Cerita ini tentang apa? ORANG PATAH HATI YANG MAHU HIDUP 3. Cerita ini untuk siapa? DIA ATAU KAMU Hak memilih hidup ada pada diri kamu. Mahu jadi manusia yang bagaimana? Mahu berhenti mengharu...