Semerbak haruman citrus memenuhi setiap ruang bilik tidur utama. Daun pintu yang terkuak sedikit itu ditolak hingga rapat tertutup. Matanya meliar ke seluruh pelusuk bilik tersebut. Memang tiada tanda yang lelaki itu berada di rumah. Dari ruang bawah hinggalah ke tingkat atas, puas sudah dia mencari. Kosong.
Telefon di dalam tas tangan dikeluarkan. Laju jari menyentuh skrin. Ralit dia mencari nombor Puan Marina. Butang hijau ditekan sebelum telefon dirapatkan ke cuping telinga yang berbalut selendang.
"Puan Marina, saya dah ada di rumah..."
"Kau buat apa dekat sini?" suara garau mencelah.
Nurra jatuhkan tangan kiri sebelum talian dimatikan mengejut. Dia tidak mahu kewujudannya di situ buat lelaki di belakangnya kini semakin keliru.
Perlahan-lahan dia pusingkan badan. Memang betul sosok tubuh dan rupa paras lelaki tersebut di hadapannya sekarang. Pelik juga kerana sudah puas dia melilau di ruang bawah. Dari bilik tamu hinggalah ke dapur belakang, tak nampak pun bayang-bayang lelaki ini.
Sekarang, elok pula munculkan diri entah dari mana."Aku tanya, kau buat apa dekat rumah aku ni?" Jika tadi riak wajahnya sedikit terkejut, saat ini sudah dipamerkan wajah penuh curiga pula.
"Aku cari kau." Nurra balas bersahaja. Memang inilah modal yang dia ada untuk loloskan diri nanti.
"Cari aku?" terjongket keningnya. Satu keluhan dilepaskan sebelum dia mula mengurut dahi dan menapak ke hadapan.
Nurra sedikit cemas tetapi dia tak mahu kelihatan sangat lemah pada pandangan Arsyad.
"Syad, mama kau dah lama tunggu." Nurra cuba memujuk. Mustahil lelaki itu termakan pujukannya tetapi dia tetap mencuba. Walaupun cukup tahu tak akan berjaya.
"Kau tak jawab soalan aku lagi." Kali ini Arsyad mengubah laluan. Dia menuju ke almari pakaian sebelum dilurutkan kemeja pada tubuhnya ke lantai.
Nurra kalih pandangan.
Arsyad sedar dengan reaksi spontan Nurra itu. Dia tahu tak akan berlama gadis itu di rumahnya. Lebih-lebih lagi jika dia sengaja tak berbaju, mungkin Nurra akan jadi lipas kudung, melarikan diri.
"Mama kau suruh aku pujuk kau pergi rumah Tuan Syed." Laju Nurra bersuara. Dia masih mengadap dinding kosong. Tidak pasti berapa lama lelaki itu akan siap menyalin baju.
"Oh." Pendek Arsyad membalas.
Nurra merengus perlahan. Dia bukan tak tahu Arsyad sengaja berbuat sedemikian. Berapa kali dah dia dikenakan sebegitu. Tak kira tempat. Jika perkara melibatkan keluarga Tuan Syed Sharuddin memang beginilah perangai Arsyad. Nanti ada saja alasan lain daripadanya.
"Aku malas." Arsyad melangkah pergi.
Cepat Nurra mengalih wajah. Lelaki itu sudah selamat menukar kemeja. Dipandang sekeliling sebelum dia mengintai ke arah CCTV yang ada di sebelah lampu siling. Lega. Mungkin sebab Puan Marina sudah memasang CCTV di bilik itu yang buatkan Arsyad tidak berani buat perangai pelik-pelik lagi.
"Arsyad, boleh tak kau berperangai macam lelaki matang yang umurnya dah nak hampir empat puluh tahun?"
"Kau pun Nurra, boleh tak jangan kacau hidup aku lagi?"
Nurra di belakang merengus lagi. Bukan geram dengan ayat balas Arsyad tetapi perangai lelaki itu yang suka sangat beralasan.
"Aku tak datang sini sebab nak kacau hidup kau. Puan Marina yang suruh aku ke sini."
"Dah, dah... aku tak nak dengar apa-apa lagi." Arsyad rebahkan badan di atas sofa ruang rehat. Kakinya disilang pada hujung sofa sebelum dicapai telefon di atas meja kecil bersebelahan.
"Arsyad."
Arsyad sekadar menuding jarinya ke arah pintu bilik, hanya memberi isyarat tangan supaya Nurra keluar. Nak tak nak Nurra paksa kakinya melangkah juga. Dia sendiri tidak pasti apa lagi alasan yang patut diberi kepada Puan Marina.
Bukan pertama kali, sudah hampir dua puluh kali. Lelaki bernama Arsyad Akil ini sangat degil!
YOU ARE READING
NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)
Romance[CERITA PENDEK] ARSYAD AKIL × NURRA ARMANI Puan Marina meminta Nurra untuk menjadi mata-mata tentang kegiatan seharian Arsyad. Tanpa pengetahuan Nurra, lelaki itu sudah tahu siapa dirinya. Hanya dia yang belum mengenali Arsyad dengan selebihnya. Ke...