Bahagian (10)

838 68 4
                                    

"Aku hantarkan adik kau dululah macam tu, baru ambil kereta kau." Arsyad bersuara di kerusi pemandu.

Nurra paling ke belakang di mana Miya duduk sambil memeluk kemas beg berisi buku tulis. "Balik nanti akak jemput Miya ye?"

Laju Miya mengangguk. "Kalau akak lewat, Miya boleh je tumpang kawan balik."

"Hari ni akak tak sibuk mana. Kerja dekat kedai makan tu pun tak selalu ada ramai pelanggan. Pandai-pandailah akak curi masa nak jemput Miya."

Miya angguk faham.

Sedang Nurra berpaling memandang hadapan, sempat dia menangkap riak wajah kehairanan Arsyad.

"Kau kerja kedai makan mana?"

Tersentak Nurra dengan soalan spontan Arsyad itu, dia tak balas apa. Hanya diam membisu.

Seketika, laju Miya mencelah di tengah-tengah ruang tempat duduk. "Eh, abang tak tahu ke akak kerja dekat kedai makan selama ni? Lepas ibu dah sihat sikit, akak kata nak cari kerja. Lepas tu akak dapat kerja kat kedai makan. Tukang ambil order. Tukang basuh pinggan. Kak Nurra mana pandai masak," mengekek Miya gelak sebelum dia menyandar tubuh pada kerusi penumpang belakang.

Arsyad tak gelak. Wajahnya cukup serius. Dikerling Nurra yang langsung tiada apa-apa riak bersalah itu. Padahal, selama ini dia tahu gadis itu bekerja di kedai bunga milik mamanya. Mewangi Florist.

Nurra alih wajah. Dia tidak mahu ada soalan-soalan lain pula daripada Arsyad. Setakat ini, biarlah Miya dan ibunya anggap dia bekerja di kedai makan sahaja.

Turun sahaja Miya dari perut kereta, Arsyad tidak teruskan pemanduan. Dia pandang Nurra yang masih belum mengalih wajah ke arahnya sekalipun.

"Kau dah kenapa sampai menipu ni?"

Nurra hanya diam.

"Bukan mama aku bagi kau kerja dekat kedai bunga tu ke? Kenapa pula kedai bunga bertukar jadi kedai makan pula?"

"Kau hantarlah aku ke rumah kau. Lewat sangat dah ni. Nanti ada yang bising."

"Eh, risau pula yang lain tu bising? Aku ni, bising sebab tak puas hati kenapa kau menipu, kau tak risau pula?" bidas Arsyad.

"Tak lama lagi aku carilah kerja kat kedai makan tu betul-betul. Buat masa ni biarlah adik dan ibu aku tak tahu apa-apa pasal aku kerja dengan mama kau."

"Dah kenapa?"

Nurra mendengus perlahan. "Aku dah lewat ni, Syad."

Arsyad hanya mencuka. Dia teruskan pemanduan dengan persoalan yang bertalu-talu singgah ke benaknya waktu ini. "Kalau kau tak selesa kerja dengan mama aku, kau cakap. Aku boleh carikan kau kerja kat tempat lain yang lebih selesa untuk kau."

Semahu-mahunya Nurra abaikan ayat Arsyad itu tetapi selagi lelaki itu tak dengar apa yang dia mahu dengar, selagi itulah bertalu-talu soalan provokasi akan kedengaran. "Aku dah tak nak ada apa-apa kaitan dengan keluarga kau lagi," luah Nurra.

Berkerut dahi Arsyad jadinya. "Kau ada masalah dengan aku ke mama aku? Ke kau rasa malu sebab kantoi jadi mata-mata mama aku? Eh, Nurra. Aku okey jelah. Lagipun aku suka je kalau kau yang selalu skodeng aku." Arsyad sengih.

"Aku serius ni. Lepas ni, aku tak nak terlibat dengan apa-apa hal lagi berkaitan dengan kau ataupun mama kau."

Berubah riak wajah Arsyad. "Okey, baik. Lepas ni, aku tak akan ganggu kau lagi kalau itu yang kau nak."

Nurra diam. Dia menghela nafas sebelum kedua belah tangan naik memeluk kemas tubuh.

NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)Where stories live. Discover now