Bahagian (9)

824 64 0
                                    

"Nurra!"

Nurra yang elok menyangkut baju di almari pakaian segera meninggalkan ruang bilik. Terlihat Ibu Maryam yang elok duduk menyandar pada kerusi rotan. Perlahan-lahan dia menghampiri tubuh berusia ibunya itu. "Kenapa ibu?"

"Miya cerita Nurra balik dengan anak Puan Marina, betul ke?"

Nurra mengangguk.

Ibu Maryam mengeluh perlahan. "Nurra, keluarga kita dah banyak termakan budi dengan keluarga mereka tu. Ibu malu kalau kita masih berharap simpati mereka lagi."

"Kebetulan kereta Nurra ada masalah sikit tadi. Enjin tak boleh hidup. Tu yang Arsyad tumpangkan Nurra balik. Ibu jangan risau. Sikit pun Nurra tak akan susahkan keluarga Puan Marina lagi." Nurra paut lengan Ibu Maryam. Diurutnya penuh kasih sayang. Dia tahu pembohongan tak akan selama-lamanya jadi jalan penyelamat bagi dirinya. Cuma, untuk kali ini dia tak mahu Ibu Maryam tahu yang dia masih bekerja dengan Puan Marina.

"Dengar-dengar Puan Marina nak jodohkan Arsyad dengan anak Tuan Syed. Betul ke apa yang ibu dengar ni?"

Serba salah Nurra mahu menyentuh perihal itu. Apatah lagi dia sudah mendengar ayat penolakan Arsyad. Jika dia bercerita lebih, takut apa yang dia dengar tidak sama dengan maksud sebenar ayat Arsyad di depan Puan Marina tadi. "Masih dalam perancangan, ibu."

Ibu Maryam senyum, "Baguslah. Arsyad nak dijodohkan dengan anak Tuan Syed. Tak adalah kita bermasam muka lepas kamu tak jadi bernikah dengan Hadad dulu."

Lama Nurra telah wajah Ibu Maryam. Dia tahu ibu tak pernah tunjuk apa-apa reaksi selepas Tuan Syed datang ke ruang mereka dan beri kata putus mengenai hubungan mereka berdua. Dia tahu juga diam Ibu Maryam itu, bukanlah diam kosong. Pasti ada banyak perkara bermain di fikirannya.

"Ibu, Nurra minta maaf kalau apa yang ibu harapkan sebelum ni tak jadi kenyataan." Kejap kedua belah tangan Ibu Maryam digenggam Nurra.

"Ibu percaya, semua yang jadi tu ada hikmahnya. Nurra tak payah minta maaf. Nurra tak salah apa."

Nurra sambung mengurut lengan Ibu Maryam.
Seketika Miya muncul di ruang yang sama sambil menatang buku rujukan di tangan. "Tapi kan ibu, Miya tengok abang tu kan macam suka je dengan Kak Nurra. Akak yang jual mahal."

Nurra jeling tajam ke arah Miya. Memberi amaran agar adiknya itu diam dan tak berkata apa.

Tanpa dijangka Ibu Maryam ketawa kecil. "Arwah ayah kamu kan pernah kerja sebagai pemandu kereta keluarga mereka. Mestilah Arsyad tu layan Nurra dengan baik. Tak akanlah nak layan tak acuh pula. Betul tak Nurra?"

Tengadah Nurra yang dari tadi memberi jelingan tajam kepada Miya. Dia sekadar mengangguk perlahan sebelum Ibu Maryam mula bangkit berdiri.

"Ibu dah rasa mengantuk. Nak masuk bilik dulu. Jangan tidur lewat sangat Miya, esok ada kelas tambahan pagi pula kan? Nurra tolong hantarkan Miya ye pagi nanti. Van Pak Kazim tu buat hal katanya, tak dapat nak hantar Miya macam biasa."

Nurra faham. Dia mahu memapah tubuh Ibu Maryam tetapi hanya gelengan yang dibalas ibunya. Perlahan-lahan langkah diatur ke ruang bilik yang berdekatan. Miya turut membantu langkahan Ibu Maryam sebelum dia menoleh ke arah Nurra sambil tersengih.

Keluar sahaja Miya dari bilik ibu, terus Nurra pegang lengan Miya dan tarik tubuh adiknya itu masuk ke bilik tidurnya pula.

"Lain kali jangan cakap apa-apa dekat ibu," tegas Nurra.

"Miya ada cakap apa? Miya cakap akak tumpang Abang Arsyad je."

"Lepas ni, apa-apa yang Miya nampak berkaitan dengan Abang Arsyad ataupun keluarga dia jangan cakap dengan ibu." Nurra hempas tubuh di atas katil.

"Lah, kenapa pula? Akak tak suka ke akak takut ibu marah?" Miya sudah pelik.

Nurra hela nafas berat. "Akak tak nak ada apa-apa kaitan dan dengan mereka lepas ni."

Berubah riak wajah Miya. Dia duduk di sebelah Nurra lalu diletak buku rujukan di atas pangkuannya pula. Lengan kanan Nurra dibawa ke dalam genggamannya. "Ada apa-apa yang akak nak kongsi dengan Miya? Miya boleh jadi pendengar masalah akak."

Nurra geleng. Dia pandang Miya sebelum mengusap wajah Miya. "Tak ada apa-apa. Akak okey je. Miya tak payah risau. Lagi beberapa bulan nak peperiksaan besar kan? Sambunglah ulangkaji. Akak nak masuk tidur dah."

Lemah semangat Miya lihat Nurra seperti sembunyi sesuatu daripada pengetahuannya. "Kalau jadi apa-apa yang buat akak sedih lagi, Miya tak akan lepaskan orang tu! Walaupun Abang Arsyad sekali pun! Miya akan belasah cukup-cukup!" Miya kepal penumbuk tangan kiri. Bibirnya terjuih memuncung.

Nurra hanya senyum sebelum jarinya naik mencubit pipi berisi Miya itu. "Dah, ingat apa yang akak pesan tadi! Jangan susahkan hati ibu lagi. Jangan cerita apa-apa kepada ibu. Boleh?"

Laju Miya mengangguk.

NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)Where stories live. Discover now