Boleh katakan, hampir setiap kali Arsyad keluar berjumpa Falisya pasti Nurra akan dipaksa ikut bersama.
Diikutkan kiraan Nurra sendiri. Pertemuan hari ini adalah kali ke tujuh buat mereka. Namun, amat jarang untuk mendengar apa-apa perancangan Arsyad tentang hubungannya dengan Falisya. Adakah mereka akan bertunang dahulu atau terus bernikah?
Nurra masih bisu di sebelah Arsyad. Sejak mereka duduk di meja makan ini, Arsyad masih belum berhenti membuat jenaka bodoh. Lebih menghairankan elok pula Falisya melayan Arsyad itu.
Nurra berdeham perlahan sebelum dia meminta diri ke ruang tandas seketika. Fikirnya, dia akan keseorangan ke sana tetapi Falisya turut mengekorinya.
"Nurra, sekejap!" Tangkas lengan Nurra ditangkap sebelum dia sempat menjejak kaki ke dalam ruang tandas.
"Kenapa?" Pelik dengan riak wajah tak kena Falisya itu.
"Saya nak cakap dengan awak lepas ni. Boleh?"
"Okey. Tapi, kita boleh je borak dekat meja makan nanti."
Laju Falisya menggeleng. "Kita berdua saja. Tanpa Syad."
Barulah Nurra faham kenapa riak wajah Falisya tak berapa kena semasa dia tiba di sini tadi. "Awak tunggu di sini." Laju Nurra menapak masuk. Tidak senang hatinya tatkala mahu mendengar apa yang Falisya ingin katakan kepadanya selepas ini.
Selang beberapa minit, Nurra kembali mencari kelibat Falisya di ruang laluan luar. Fikirnya gadis itu sudah kembali ke meja makan tetapi matanya tangkas menangkap kelibat Falisya yang menyandar pada dinding ruang laluan bersebelahan.
"Awak nak cakap apa dengan saya?" soal Nurra lebih awal.
Falisya menoleh. "Saya pelik kenapa Syad selalu bawa awak bersama, sedangkan dia kata dia nak keluar makan berdua dengan saya. Awak dengan Syad, ada apa-apa hubungan ke?"
Nurra hela nafas. Jadi, perihal dia selalu ada dengan Arsyad itu yang menimbulkan tanda tanya kepada Falisya. "Saya terpaksa ikut dia."
"Kenapa?"
Nurra diam. Dia tak mahu membalas apa-apa lagi.
"Saya hairan. Syad macam tak serius dengan saya. Lagipun, saya nampak dia lagi tertarik dengan awak dan bukannya saya," luah Falisya.
"Awak jangan salah faham."
"Tak. Saya boleh rasa yang dia lebih suka awak berbanding saya. Mungkin awak tak perasan tapi saya cukup perasan."
"Saya tak ada apa-apa perasaan dengan Arsyad. Percayalah."
Falisya ketawa kecil. "Nurra, setiap kali saya mesej dia. Dia selalu beri alasan yang dia sibuk. Kalau saya cuba telefon dia, operator yang jawab panggilan saya. Tapi, kalau apa-apa hal mesti dia akan petik nama awak. Dia kata dia sibuk sebab nak kena lawat ibu awak. Dia tak dapat jawab panggilan saya sebab dia kena dahulukan hal lain. Dan, saya terfikir. Dia tak pernah serius pun dengan saya."
Nurra jadi serba salah. Dia langsung tidak tahu menahu mengenai alasan Arsyad itu tetapi dia pasti Arsyad sengaja berbuat demikian. Alasannya, mahu menolak calon Puan Marina yang ini walaupun dia sudah setuju dengan syarat yang Arsyad tetapkan sebelum ini.
"Ini bukan kali pertama. Banyak kali dah dia libatkan awak, Nurra. Saya rasa, saya tak nak bazirkan masa dengan hubungan yang tak pasti. Saya akan jelaskan kepada Syad dan saya nak dia jujur dengan hati dia sendiri." Falisya mula membuka langkah.
Terkejar-kejar Nurra di belakang tetapi Falisya terlebih dahulu tiba di meja makan mereka tadi.
"Syad, Isya ada perkara nak Syad tahu." Falisya tidak duduk. Dia hanya berdiri di tepi meja makan.
YOU ARE READING
NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)
Romance[CERITA PENDEK] ARSYAD AKIL × NURRA ARMANI Puan Marina meminta Nurra untuk menjadi mata-mata tentang kegiatan seharian Arsyad. Tanpa pengetahuan Nurra, lelaki itu sudah tahu siapa dirinya. Hanya dia yang belum mengenali Arsyad dengan selebihnya. Ke...