Nurra langsung tak berganjak dari tempat duduk. Walaupun enjin kereta sudah dimatikan, dia tetap mematung di kerusi penumpang hadapan itu.
Melihat sudah ada ramai tetamu yang memenuhi ruang halaman hadapan villa mewah tersebut, Nurra sudah tekad dia tak akan sekali-kali jejakkan kaki ke sana lagi. Cukuplah keluarganya dimalukan dahulu. Sekarang, dia tak nak dia pula dimalukan lagi.
Cermin tingkap diketuk Arsyad perlahan. Laju Nurra berpaling memandang Arsyad yang sudah membongkok badan itu. Dari celahan tingkap kereta yang terbuka, Arsyad bersuara. "Kau dah terima syarat aku tadi. Sekarang, nak u-turn ke apa?"
"Kau pulang kan jelah buku nota aku tu. Aku janji tak akan ekori kau ke mana-mana lagi. Aku serius ni!"
Arsyad senyum mengejek. "Tak payahlah nak janji-janji bagai. Selagi mama tak puas hati nak tengok aku ni naik pelamin dengan anak Tuan Syed tu, selagi itulah kau akan jadi mata-mata aku. Bukan aku tak tahu."
Nurra mengeluh. "Kalau macam tu, kau kahwin jelah dengan anak Tuan Syed yang mama kau suka. Habis cerita, kan?"
Arsyad kerut dahi. "Gila ke apa aku nak kahwin dengan perempuan yang aku tak cinta?"
"Habis tu, kenapa kau beria-ia minta aku temankan kalau kau bukan nak jumpa dengan anak Tuan Syed?"
Pintu kereta dibuka dari luar. Memaksa Nurra menyandar tubuh daripada tersembam pada pangkuan Arsyad pula. Masakan tidak jika dia memaut lengan pada daun pintu dari tadi.
"Ikut aku." Arsyad beri laluan untuk Nurra turun dari perut kereta.
Tatkala dia mula sedar dengan mata-mata yang singgah memerhati perlakuan Arsyad itu, dengan pantas Nurra loloskan diri lalu berdiri di sebelah Arsyad. "Janji lepas selesai semua ni, kau pulangkan buku aku tu?"
Arsyad tak balas pertanyaan Nurra itu tetapi lengan gadis di hadapannya ini sudah selamat ditarik ke dalam genggamannya. Terdorong tubuh Nurra untuk mengikut rentak langkah Arsyad tanpa sempat berkata apa-apa.
Menapak sahaja mereka di ruang hadapan villa, Arsyad tidak terus menuju ke arah Tuan Syed yang elok berborak dengan kenalan lain tetapi mereka sedang menapak ke halaman sebelah yang menempatkan beberapa buah meja bulat buat tetamu dan hidangan jamuan di atas meja panjang.
"Arsyad, lepaslah." Nurra masih berusaha melepaskan lengannya daripada terus Arsyad genggam kemas.
"Kau Hadad, kan?" tegur Arsyad.
Belum sempat lelaki yang disapa dari arah belakangnya itu menoleh dan menjawab pertanyaan tadi, satu tumbukan tepat mengena pada rahang sebelah kirinya.
Nurra yang sudah terlepas daripada pegangan Arsyad, hanya mampu terkaku menjadi penonton aksi luar jangkaan itu.
YOU ARE READING
NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)
Romance[CERITA PENDEK] ARSYAD AKIL × NURRA ARMANI Puan Marina meminta Nurra untuk menjadi mata-mata tentang kegiatan seharian Arsyad. Tanpa pengetahuan Nurra, lelaki itu sudah tahu siapa dirinya. Hanya dia yang belum mengenali Arsyad dengan selebihnya. Ke...