Bahagian (19)

891 64 2
                                    

"Jumpa kau, esok."

Nurra menoleh. "Aku bukan mata-mata mama kau lagi."

"Aku nak ajak kau dating, tak boleh ke?"

"Dating? Siapa nak dating dengan kau?"

Arsyad sekadar memicing mata ke arah Nurra. "Jual mahal nampak?"

Nurra berdeham perlahan. "Baru tahu ke?"

Arsyad sekadar menggeleng sendiri. Dia sembunyi tawa sebelum matanya menangkap kelibat Miya yang sedang menilik dari balik langsir tingkap.

"Abang Syad!" Melompat Miya keluar tatkala daun pintu ditolak laju. "Eh, kenapa akak balik awal? Bukan akak kata kerja hari ni sampai malam ke?"

"Kerja apa?" Berkerut dahi Arsyad. Setahunya, Mewangi Forest tutup jam tujuh petang setiap hari. Tak pernah-pernah lagi sampai lewat malam.

"Kedai maka..." Tak sempat Miya bercakap lebih Nurra sudah menerkup mulut adiknya itu.

"Syad, kau baliklah dulu. Aku nak masuk rehat pula ni." Nurra sudah seperti mahu menghalau Arsyad pulang.

"Nurra, kau tak berterus terang dengan ibu dan adik kau lagi? Bukan kau dah kata nak jujur dengan mereka sebelum ni?"

"Kak Nurra tipu pasal apa?" Laju Miya menolak kasar telapak tangan yang mengatup kedua belah bibirnya tadi. Terkebil-kebil dia memerhati wajah Nurra. Begitu juga wajah Arsyad.

"Miya? Kak Nurra dah balik ke tu?" Suara Ibu Maryam kedengaran dari ruang dalam.

Serta merta Miya masuk sebelum memapah Ibu Maryam ke ruang pintu yang sedia terbuka itu. "Abang Syad hantarkan akak pulang, ibu."

"Oh, Arsyad! Eh, masuklah. Masuk. Nurra kenapa tak ajak Arsyad masuk? Masuk. Mak cik ada buat bubur jagung. Mari, makan petang sekali." Ibu Maryam sudah memberi arahan kepada Miya untuk membawa hidangan ke ruang tamu ini pula.

Nurra tak sempat membantah tetapi melihat Arsyad seperti tidak tak kisah, dia mengalah.

"Duduk dulu Syad. Nurra, pergi ke dapur. Tolong Miya apa yang patut. Ibu ada perkara nak cakap dengan Syad."

Terkebil-kebil Nurra tatkala dia seperti dihalau Ibu Maryam daripada terus berada di situ bersama mereka. Nak tak nak, dia menapak ke ruang dapur.

"Miya, Miya!" Bisik Nurra tatkala sudah menempel di sebelah Miya. Kalut adiknya itu mengisi bubur jagung dari dalam periuk ke dalam mangkuk kaca.

"Kenapa?" Hanya itu dibalas Miya sebelum dia beralih ke meja tengah dapur pula.

"Ibu nak borak apa dengan Syad?"

"Entah. Manalah adik tahu."

"Eh, tak akan tak tahu? Miya kan suka pasang telinga."

"Oh, Miya lupa nak pasang telinga kot tadi waktu Puan Marina datang ke sini." Miya senyum senget.

"Eh, Miya cakap apa tadi?"

Miya tak endahkan pertanyaan Nurra itu, laju dia menghayun kaki ke ruang depan sambil ditatang dulang berisi bekas bubur. "Kak, jangan lupa air kopi tu!" Memuncung Miya ke arah dulang bulat di atas meja.

Nurra tak puas hati. Entah kenapa dadanya berdebar-debar rasa tak tenang. Sedangkan mereka baru je bertemu Puan Marina di kediamannya tadi.

Ibu Maryam nampak gelak ketawa bersama Arsyad. Tiada tanda-tanda pelik pada raut wajah lelaki itu. Seperti mereka berbual hal biasa-biasa saja.

"Jemput minum Abang Syad." Miya hulurkan cawan bulat berisi kopi di atas meja berhadapan Arsyad.

"Isi bubur tu Nurra, bagi Syad ni rasa. Jagung tu Pak Kazim berikan. Katanya ada banyak dekat kebun belakang tu. Berlebih. Tu yang dia kasi ibu."

Nurra hanya menurut. Waktu dia mahu menghulur mangkuk kecil kepada Arsyad, Ibu Maryam menyoalnya soalan yang langsung tak terlintas akan kedengaran waktu ini.

"Dah berapa lama Nurra kerja dengan Puan Marina?"

Arsyad yang mengambil mangkuk kecil dari tangan Nurra tak langsung menunjuk reaksi wajah berbeza. Masih tenang. Masih bersahaja.

"Mana ibu tahu? Syad yang cakap?"

Naik berkerut dahi Arsyad tatkala namanya dipetik pula.

"Puan Marina ada singgah ke sini pagi tadi. Katanya nak jumpa dengan Miya tapi berbual perihal kamu."

Nurra telan liur. Kesat terasa.

Miya hanya diam. Untuk kali ini dia tak langsung mencelah apa. Sopan dan tenang sahaja.

"Dah lama," pendek ayat balas Nurra.

"Sejak bila?"

"Selepas Nurra putus tunang dengan Hadad."

Ibu Maryam senyap.

"Kan akak cakap akak kerja kedai makan?" Miya mencelah juga.

Laju Nurra menggeleng. "Nurra tak nak ibu risau kalau Nurra cakap Nurra kerja dengan Puan Marina."

"Ibu tak ajar anak-anak ibu berbohong."

Nurra tunduk.

"Mak cik, bukan niat Nurra nak tipu tapi dia buat semua tu sebab Syad juga."

Ibu Maryam kalih wajah ke arah Arsyad. "Maksud kamu?"

"Nurra terpaksa terima tawaran kerja mama Syad. Salah satu sebabnya, Nurra tak nak terima Syad sebagai calon suami."

Ibu Maryam dan Miya terdiam.

"Nurra minta maaf, Nurra tak bermaksud nak bohong ibu dan Miya. Nurra tahu Nurra salah."

Ibu Maryam mengeluh perlahan. "Patutlah Puan Marina minta maaf banyak kali dengan ibu. Katanya dia dah cuba sehabis baik untuk kamu. Sebab semua ni ke? Jadi, Nurra terima ke tak Syad sekarang ni?"

Naik berkerut dahi Nurra. Sukar untuk dia jelaskan apa yang sudah dia luahkan kepada Arsyad tadi. "Nurra nak kenal dengan Arsyad lebih lagi."

"Ibu tak suka."

Terpana Nurra seketika. Laju dia mendongak wajah, memerhati Ibu Maryam.

"Ibu tak suka Nurra kahwin dengan Syad?"

"Ibu tak suka kalau benda baik, dilengah-lengahkan. Kan, Syad?"

Miya sudah tergelak kecil tatkala melihat Ibu Maryam turut ketawa bersama.

Nurra yang bagaikan mahu tercabut nyawa sudah mengepal tangan tanda geram.

"Itulah kak, jual mahal sangat! Karang melepas. Padan muka!" Miya senyum mengejek.

Laju jari Nurra mengutil pipi Miya. Ditepis-tepis Miya sebelum Nurra semakin galak mengenakan adiknya itu.

"Tengoklah Syad. Macam budak-budak perangainya!" Ibu Maryam turut mengutil lengan Nurra dan Miya. Tak tahu malu bergelut sebegitu di depan Arsyad.

"Jadi, bolehlah Syad beritahu mama tentang tarikh yang mak cik cakapkan tadi?"

"Hah, boleh sangat! Nanti datang bawa rombongan sekali. Kalau boleh terus nikah. Bukan apa, mak cik risau kalau Nurra ni ubah fikiran. Tahu jelah, bukan boleh diusik sikit."

Nurra terdiam. Saat mendengar tentang pernikahan, dia terus menatap wajah Arsyad. Hanya riak wajah yang cukup runsing Nurra pamerkan waktu ini.

"Nanti Syad sampaikan kepada mama." Laju tangannya menyudu bubur jagung lalu disua ke bibir.

Nurra sudah mengambil cawan berisi kopi panas. Dia meneguk air yang masih belum suam itu tanpa hiraukan hangat yang mula menjalar di lidah. Yang pasti, dia cukup gugup untuk lalui perubahan fasa dalam hidupnya selepas ini.

NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)Where stories live. Discover now