Cepat-cepat Nurra masuk ke dalam rumah. Tanpa berkata apa, melulu dia terjah ke pintu biliknya.
Miya sudah mengetap bibir. Lagipun, bukan salah dia. Baru je dia nak tegur Nurra tadi tapi sudah dipaksa masuk ke dalam rumah semula. "Abang, abang datang ni nak ajak Kak Nurra keluar dating ke?"
Soalan yang ditanya Miya buat Arsyad tergelak kecil. Dia tak mengangguk mahupun menggeleng. "Kak Nurra ada cakap nak keluar dating dengan abang ke?" soal Arsyad pula.
Laju Miya menggeleng sambil menyengih, seketika kedengaran suara Ibu Maryam melaung namanya. Cepat-cepat Miya menapak ke bilik ibu.
Nurra yang kebetulan keluar dari bilik, tak sempat bertanya apa-apa kepada Miya. Pandangan mula terarah kepada Arsyad yang sudah berdiri membelakanginya waktu ini. "Kau tak jawab soalan aku tadi," suara Nurra tatkala dia menapak ke ruang hadapan itu.
Tertoleh Arsyad. Jatuh pandangannya ke arah bungkusan dan juga beg kertas yang dijinjingnya dari kereta tadi. "Aku pun tak tahu kenapa tiba-tiba mama suruh aku hantar semua barang ni ke rumah kau."
Berkerut dahi Nurra. Jaranglah jika Puan Marina mahu sampaikan apa-apa barang kepada ibunya melalui orang lain. Mustahil juga Arsyad ringan tulang memandu ke sini pada waktu awal pagi sebegini. "Kau dah sarapan?" soal Nurra pula sekadar mahu meraikan kedatangan tetamu.
Arsyad menggeleng.
"Betul ke kau datang ke sini sebab mama kau minta kau hantar semua barang tu?" masih belum puas dengan jawapan Arsyad seketika tadi.
"Kenapa pula aku nak buat cerita? Memang betul mama suruh aku ke sini bawa semua barang ini untuk kau sekeluarga."
"Kau jarang tak makan kalau pergi ke rumah mama kau. Jadi, macam pelik sikitlah sebab kau datang ke sini dengan perut kosong." Nurra peluk tubuh.
"Nurra, dengar apa aku nak cakap ni. Aku nak cuba berbaik dengan kau. Itupun salah ke?"
Terjongket kening Nurra. "Kita pernah bergaduh ke sebelum ni sampai kau datang sini nak berbaik dengan aku?"
Arsyad garu dahi sendiri. Hilang akal untuk balas soalan Nurra itu. Nampak seperti kedatangannya tak disambut dengan baik.
"Nurra, kenapa tak hidang tetamu tu dengan minuman?" Ibu Maryam muncul dari dalam bilik ditemani Miya.
Nurra berpaling wajah ke arah Ibu Maryam. Akur dengan permintaan ibunya itu, laju dia membawa langkah ke dapur.
"Anak Puan Marina ye?"
Soalan Ibu Maryam itu dibalas dengan anggukan sebelum Arsyad datang mendekat. "Mak cik sihat?"
Tersenyum manis Ibu Maryam. "Sihat orang tua," bisiknya perlahan.
Miya di sebelah meminta diri usai mengatur langkah Ibu Maryam ke kerusi rotan yang ada. Dia masuk ke ruang dapur di mana Nurra masih termenung di depan singki.
"Kak, kenapa layan abang tu kasar sangat?"
Soalan Miya, Nurra tak endahkan. Laju tangannya mencapai dulang di atas rak.
"Miya tengok, dia layan akak baik je. Akak tak suka dia kenapa? Eh, kalau akak tak suka kan, Miya suka..." menyengih Miya di sebelah.
"Sekolah pun tak habis lagi. Ada hati nak bercinta," bidas Nurra.
Miya katup mulut yang masih tersengih lebar tadi. "Lah, akak ada hati juga eh? Macam ada bau-bau cemburu je ni." Giat Miya mengusik.
"Taklah. Akak tak suka je dia datang sini. Tu je."
"Tak suka siapa datang ke sini?"
Tersentak Nurra dan Miya tatkala suara Ibu Maryam menyampuk perbualan mereka itu. Laju Miya mengangkat kaki. Nurra masih mencuka sambil menyusu cawan di atas dulang.
"Arsyad tu datang sebagai tetamu. Layanlah macam tetamu. Tetamu kan bawa rezeki. Bawa rahmat."
Nurra masih diam. Dia tatang dulang lantas menapak ke laluan untuk ke ruang tamu. Sempat lengannya disauk Ibu Maryam sekejap.
"Kalau Nurra ada masalah dengan dia, jangan sampai mengganggu hubungan keluarga dia dengan kita selama ini. Ibu tak suka kita bermasam muka dengan orang yang dah banyak bagi bantuan dan pertolongan kepada kita."
Nurra yang tadi diam membisu mula membuka mulut, "Nurra bukan benci dia ibu. Nurra tak suka tengok dia ambil berat sangat tentang kita. Padahal Nurra sihat lagi nak bantu ibu dan Miya."
"Dia kata dia ikhlas nak tolong kita. Janganlah sebab rasa tak suka di hati Nurra tu buat dia berkecil hati pula."
YOU ARE READING
NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)
Romantizm[CERITA PENDEK] ARSYAD AKIL × NURRA ARMANI Puan Marina meminta Nurra untuk menjadi mata-mata tentang kegiatan seharian Arsyad. Tanpa pengetahuan Nurra, lelaki itu sudah tahu siapa dirinya. Hanya dia yang belum mengenali Arsyad dengan selebihnya. Ke...