Bahagian (15)

805 60 0
                                    

"Kenapa nak bersyarat bagai pula? Kau ikut jelah permintaan mama kau. Itupun susah ke?" Nurra mula memeluk tubuh.

"Kenapa? Kau rasa tergugat?" sengaja Arsyad mencucuk jarum. Sedangkan dia sudah mahu tersenyum menang tatkala melihat keresahan Nurra waktu ini.

"Apa syarat kau?" Malas mahu berbalah lebih lama, Nurra pasang telinga mahu mendengar syarat lelaki itu.

"Syaratnya kau kena ada dengan aku setiap kali aku keluar dengan dia."

"Kalau aku tak nak?"

"Aku tolak calon mama yang ini."

Nurra diam berfikir. Jika Arsyad tolak yang kali ini bermaksud, dialah pilihan terakhir. Tak, dia akan pastikan Arsyad akan tetap bersama dengan pilihan mamanya itu dan bukan dirinya. Wajah ditoleh ke arah ruang dalam rumah. Menyedari pintu terkuak sedikit, dia bimbang jika perbualan mereka ini berjaya dicuri dengar Ibu Maryam mahupun Miya.

"Kau terima atau tolak?"

"Aku terima."

Arsyad senyum. Dia bingkas duduk di kerusi pemandu. Sebelum keretanya mengundur dari halaman rumah itu, sempat Arsyad turunkan tingkap pintu kereta di sebelahnya. "Esok. Pukul lapan aku jemput kau dekat 'kedai makan'."

Belum sempat Nurra bertanya lebih, laju Arsyad menutup cermin tingkap dan mengundur badan kereta. Hanya keluh hampa yang mampu terbit dari celahan bibir Nurra.

"Nurra."

Terkejut dengan sapaan mengejut dari belakang, Nurra menoleh. Sedaya upaya dia melirik senyuman seperti biasa tatkala menyapa pandangan pada wajah Ibu Maryam.

"Ibu ada perkara nak bincang dengan kamu."

Permintaan Ibu Maryam itu, Nurra turuti. Perlahan-lahan dia memapah tubuh Ibu Maryam untuk masuk ke ruang dalam semula. Kelibat Miya sudah tiada lagi di ruang tamu itu. Begitu juga bungkusan dan beg kertas yang dibawa Arsyad tadi. Ruang tamu kembali kosong seperti sediakala.

"Ibu nak cakap pasal apa?" Nurra mulakan pertanyaan setelah mereka berdua duduk di atas sofa bersama.

"Arsyad beritahu yang dia tak jadi bertunang dengan anak Tuan Syed tu, betul ke apa yang ibu dengar?"

Serba salah Nurra mahu mengeyakan tetapi jika perkara itu datangnya daripada Arsyad sendiri, terpaksalah Nurra mengangguk membenarkan.

"Dia cakap yang mama dia ada rancangkan sesuatu untuk kamu. Betul ke?"

Terpana Nurra mendengar soalan seterusnya itu. "Rancang apa? Tak, tak ada apa-apa rancangan libatkan Nurra."

"Betul tak ada apa-apa?" Kali ini kedua belah tangan Nurra selamat dalam genggaman kemas Ibu Maryam.

Nurra hanya senyap. Diam.

"Entah-entahkan ibu, mama Abang Syad tu kan nak satukan Kak Nurra dengan Abang Syad kot?" Muncul Miya mengejut dari laluan belakang.

Nurra sudah memicing mata, memberi amaran kepada Miya supaya tak terus mengatakan segala teori dan prasangka pelik-pelik lagi.

"Kalau kamu tak nak cakap, ibu boleh tanyakan kepada Puan Marina terus."

Cepat-cepat Nurra menggeleng. Tangan yang digenggam tadi sudah dilolos keluar dari pegangan Ibu Maryam lantas kedua belah bahu Ibu Maryam dipautnya kemas. "Jangan. Ibu jangan tanya apa-apa kepada Puan Marina," rayu Nurra.

"Kenapa tak boleh?" tenang Ibu Maryam menyoal.

Liur kesat ditelan Nurra, "Biar Nurra yang cakap sendiri dengan ibu. Nurra tak nak ibu dengar daripada orang lain."

"Apa yang patut ibu dengar?"

Miya sudah menempel di sebelah Ibu Maryam, dia turut teruja mahu mendengar penjelasan daripada Nurra itu.

"Puan Marina pernah tanyakan sendiri kepada Nurra. Dia nak jadikan Nurra menantunya. Tapi, Nurra tak nak. Sebab Nurra baru je putus tunang. Nurra tak nak orang lain kata yang buruk-buruk tentang kita. Lagipun, Nurra tak nak jadi masalah kepada keluarga Puan Marina kalau Nurra terima."

"Kenapa kamu cakap macam tu?"

"Puan Marina kan bekas majikan keluarga kita. Nanti orang kata Nurra sengaja nak ambil kesempatan, kahwin dengan anaknya pula. Sudahlah tak jadi bertunang dengan anak Tuan Syed. Berkahwin pula dengan anak kepada Puan Marina, rakan kongsi perniagaan Tuan Syed. Ibu faham tak? Rasa macam Nurra tak patut dapat semua tu. Nurra tak layak."

Ibu Maryam mengeluh perlahan. "Ibu tak akan paksa anak-anak ibu buat keputusan yang melukakan hati kamu sendiri. Ibu nak kamu cari bahagia kamu sendiri. Jangan fikir tentang orang luar. Sebab kebahagiaan itu perlu datang dari hati dan dalam diri kita sendiri tanpa perlukan kebenaran sesiapa." Ibu Maryam elus pipi Nurra.

"Miya okey je kalau Kak Nurra terima Abang Syad. Dia nampak baik. Kan ibu?" Miya mencelah.

Ibu Maryam tergelak kecil. "Anak arwah Encik Hayyan, mestilah sikapnya sama. Baik. Pandai hormat orang lain. Tak begitu Nurra?"

Nurra akui. Walaupun selalunya dia yang sengaja meniup bara amarah dalam diri Arsyad setiap kali lelaki itu menolak rancangan Puan Marina supaya bertemu calon isteri yang telah dipilih.

"Nurra. Tak salah kalau kamu nak cuba bercinta lagi. Kalau bukan jodoh kamu dengan Hadad. Pasti jodoh kamu dengan orang lain. Mana tahu, Arsyad. Betul tak Miya?"

Laju Miya mengangguk.

"Tapi, ibu bukan tak suka ke kalau Nurra rapat dengan keluarga Puan Marina sebelum ni?" soal Nurra.

Ibu Maryam senyum. "Ibu tak suka kalau kita ambil kesempatan dengan pertolongan orang lain. Tapi, sebab kamu sendiri yang kata Puan Marina yang bertanyakan tentang kamu sendiri ibu yakin pasti ada sesuatu yang menarik dia untuk terima kamu."

Nurra diam. Jika dia bandingkan dirinya dengan calon-calon Puan Marina sebelum ini, bagai langit dengan bumi. Itu yang dia cukup pasti.

"Cinta ni kan buta. Mana tahu Puan Marina dah lama berniat nak jodohkan Abang Syad dengan akak. Siapa tahu kan?" Miya mencelah.

Laju Ibu Maryam mencubit manja pipi Miya di sebelahnya itu. Mengaduh kecil Miya. "Sekolah tak habis lagi, sibuk dengan cinta buta dia!" perli Ibu Maryam.

Meletus tawa Miya. Ibu Maryam turut ketawa bersama.

Nurra belum puas berfikir. Sekarang, hanya diri dia yang mampu mengubah hala tuju hidupnya sendiri selepas ini.

NURRA X ARSYAD (BACAAN PERCUMA)Where stories live. Discover now