"Kena apa?" Tidak sabar, Kaysa menegakkan duduknya lalu memandang Adwan penuh minat.
Nampak macam best saja perkhabaran yang bakal dikatakan oleh Adwan. Ketuanya itu pun nampak tersenyum bahagia sejak pulang dari rumah agam Toh Puan Zainab. Jadi, dia positif yang perancangan misi mereka menemui jalan mudah.
"Kena jadi..." Adwan melirikkan matanya ke arah Kaysa.
Tergeletek hatinya melihatkan respon tidak menyempat anak cheetah si My Baby Cik Girlfriendnya. Memang terang lagi bersuluh, Cik Kaysa Bussaina pujaan hati dalam diamnya ternanti-nantikan jawapan. Wah, seronok juga kalau dapat menyakat gadis ini.
"Kau kena jadi tea lady," jawab Adwan selamba seraya menahan tawa.
Sumpah, muka Kaysa terus bertukar mendung sebaik sahaja perkataan 'tea lady' yang sengaja ditekankan bunyinya meluncur keluar dari mulutnya. Putus harapan ke, minah brutal? Okey apa, sesuailah jadi teman wanita acah ayu Encik Zafran Dylan.
"Seriously?" Akhirnya, Kaysa bersuara perlahan seraya menarik nafas panjang. Lantas, dia menyilangkan tangannya ke dada.
Seriuslah orang tua itu memberikan syarat yang tidak masuk akal kepadanya? Tolonglah, dia tak suka menjadi tea lady. Apa kelas jadi perempuan Melayu terakhir? Mama dia orang Itali, jadi dia pun nak jadi gadis Itali. Kalaulah nenek itu memberinya tugas yang lebih elok, kan baik...
"Aku seriuslah ni. Memang kau kena jadi tea lady." Bergegar-gegar badan Adwan menahan tawa melihatkan wajah paksa rela Kaysa.
"Tapi, kenapa?" Semakin murung, Kaysa menayangkan muka kasihan.
Melihatkan wajah Kaysa, automatik Adwan melepaskan tawanya yang ditahan sejak tadi. Beria-ria dia mentertawakan Kaysa yang kini berkerut hebat pula mukanya dalam memandang kelakuannya. Serius, wajah pelik gadis separa Itali itu membuatkan hatinya tercuit.
"Aku gurau jelah, anak cheetah. Kau tak kena jadi tea lady pun," ujar Adwan seraya mengulum tawa. Aduh, sumpah dia suka melihat wajah blur Kaysa.
"Tapi, memang kita kena pindah Melaka," sambungnya pula.
Betullah, mereka semua akan berpindah ke Melaka juga nanti. Tadi pun semasa dia berpamitan dengan Toh Puan Zainab, sempat orang tua itu berpesan kepadanya supaya berhati-hati di syarikat di Merlimau aana. Katanya, di situ ada banyak tikus berkepala hitam.
Tikus berdecit, kucing mengiau. Jadi, cucunya mesti membawa seramai mungkin pembantu. Senang kata, dia mesti membawa orang bawahannya sendiri untuk menguruskan cawangan tersebut. Maklumlah, pekerja di sana sudah lama makan gaji buta.
Kalaulah tiba-tiba Zafran turun padang dan mengambil alih sistem operasi syarikat yang memang sudah suam-suam kuku menanti jatuh itu dengan mengejut, terjadi kejutan budaya pula. Nanti, tidak fasal-fasal dia dikejar dengan mesingan.
"Aku tak fahamlah." Kaysa mengerutkan muka seraya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Memang benar, dia tidak faham dengan kata-kata Adwan. Apa fasal macam berbelit-belit macam cacing pita pula kata-kata doktor itu petang ini? Tadi kata dia kena jadi tea lady, lepas tu tiba-tiba tak jadi. Kemudian, ketuanya itu mengatakan bahawa mereka kena pindah ke Melaka pula.
Ah, dia peninglah! Boleh tolong lukis tak? Mahu saja dia menarik-narik rambutnya dan menghembusnya kasar lagi kuat sampai menggerbang macam hantu Kak Limah, barulah dia puas hati. Stres betul dia dengan penjelasan berbelit daripada Dr. Adwan Haffaz!
Melihatkan ulah Kaysa, sekali lagi Adwan tertawa perlahan. Aduhai, Kaysa Bussaina. Otaknya sudah jadi miring ke selepas dipaksa mencuci sangkar kucing oleh Erina tadi? Rasanya, ya. Tengoklah, sudah tidak betul perangainya. Duduk pun, sudah macam cacing kepanasan.
YOU ARE READING
HEY, YOU MR. VET!
RomancePertemuan mereka bukanlah indah seperti dalam drama tetapi bukanlah tidak manis seperti dalam cerita dongeng. Adwan Haffaz dan Kaysa Bussaina, kedua-dua manusia itu dipertemukan atas dasar tugas sulit bertanda '00-X'. Dalam meniti tugasan yang penuh...