Bab 6

1.6K 226 187
                                    

"Eh, boleh pula orang tua ni tidur dekat sini," tegur Adwan sambil menggeleng kepala.

Kaysa dan Awraq, kedua-duanya saling berpandangan sesama sendiri lalu masing-masing tersengih. Adwan Haffaz ini memanglah mulutnya tidak sempat membeli insuran barangkali, sesuka hatinya saja melabel orang dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

"Kaysa, balik nanti aku ada hal nak cakap dengan kau. Awraq pula, aku tahu kau anak buah The King lagi sekarang ini. Tapi, Mejar Farid dah inform aku katanya mulai hari ini kau di bawah aku," ujar Adwan kepada dua beradik itu silih berganti.

Kaysa dan Awraq, kedua-duanya hanya bereaksi tenang setenang air di kali. Angguk tidak, menggeleng pun tidak. Haih, suka hati kau oranglah budak, apa yang penting ialah kenapa dia berasa panas sahaja di dalam mall ini? Tadi elok je aircond mall berasa di kulitnya. Namun, rasa panas itu tidak diendahkannya apabila salah seorang pegawai polis berjalan menuju ke arahnya.

"Encik Zafran ya? Boleh ikut kami ke balai untuk diambil keterangan?" soal pegawai polis itu sambil tersenyum.

Sejujurnya, dia kagum dengan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh lelaki yang dikenali sebagai Zafran, iaitu cucu kepada Toh Puan Zainab dan adiknya Carl dalam menumpaskan musuh. Penuh strategi kemas bertindak, itu yang dideduksi daripada perwatakan lelaki itu.

"Abang Zaf, jomlah kita pergi sekarang," ajak Waiz kepada Adwan.

Kali ini, Waiz pula mengambil peranan apabila melihat Adwan seperti berada di awang-awangan. Pak Ciknya itu tidak pernah tidak fokus apabila bercakap dengan orang sebelum ini. Peliklah keadaan Adwan sekarang ini.

"Hah? Oh, okey... okey," balas Adwan seraya mengetuk kepalanya. Aish, kenapalah dia hari ini menjadi bengong pula selepas berlawan?

Setelah urusan dengan pihak polis di balai polis selesai dan Toh Puan Zainab juga sudah dihantar balik ke rumah agamnya, mereka semua anggota team Satria Hitam Senior Unit Perisikan dan Operasi turut kembali ke markas utama mereka iaitu klinik veterinar milik Adwan. Malakat dan Erina sudah terlebih dahulu pulang ke klinik disebabkan Guna menelefon mereka, katanya ada anjing cedera dilanggar oleh basikal.

Dalam perjalanan pulang itu, masing-masing diam tidak berkutik. Adwan memandu kereta dengan Kaysa di sebelahnya, manakala Waiz pula elok bersandar di kerusi belakang. Turut menuruti kereta mereka dari arah belakang ialah Awraq yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dari jenama Kawasaki sama seperti Kacak milik Kaysa.

Apa yang pasti, perasaan mereka semua libang-libu sekarang ini, tambah-tambah lagi Adwan. Mereka pelik akan serangan yang berlaku kepada Toh Puan Zainab tadi. Semuanya nampak kabur dan berpecah-pecah fragmennya, susah untuk dicantumkan perkaitan antara kumpulan penyerang pertama dengan kumpulan pengganas kedua. Mereka semua daripada kumpulan yang sama atau berlainan? Apa yang pasti, wanita tua itu ialah target mereka.

Dalam keheningan pemanduan, sesekali fokus Adwan terganggu. Fikirannya fokus kepada pemanduan, tetapi sebelah lagi otaknya teringatkan pula pada pertemuan dengan si ayah tempoh hari. Pertemuan yang seperti biasa akan benar-benar menggugah keamanan hidupnya. Adwan dan ayahnya memang jarang sependapat kalau melibatkan hal kerja.

Ada ke patut Mejar Farid memintanya menerima seorang lagi doktor veterinar di kliniknya? Tidak cukupkah dirinya seorang saja sebagai doktor di situ? Alahai Mejar Farid, kalau setakat misi yang diberikan itu, dia seorang sahaja boleh handle la. As simple as kacang, itu pegangannya selama ini.

"Adwan, aku akan hantar seorang lagi doktor veterinar kat klinik kau. Kau, fokus pada misi kali ini," ujar Mejar Farid dengan nada serius.

"Tapi Tuan..." bantah Adwan.

"Spade bukan calang-calang manusia Adwan..." cantas Mejar Farid sambil memicit pelipis.

HEY, YOU MR. VET!Where stories live. Discover now