VI
BILAH Pedang Lohong Lingkar terus menari-nari di udara, cuba mengucup mangsanya yang sungguh tangkas mengelak dan menangkis setiap libasannya.
"Marilah bertarung dengan benar dan adil, Pendekar Sepi! Usah hanya mengelak sahaja, libaskan Tombak Rimau-mu itu!" cabar Arémé. Sepanjang pertarungan ini, hanya dia sahaja yang selalu bersuara. Qay'ru pula hanya bertahan dan menangkis. Jarang sekali dia melibaskan Tombak Rimaunya untuk menyerang pemuda itu.
Arémé merengus kasar. Dia memutarkan Pedang Lohong Lingkar dan memecut ke arah Qay'ru. Pedangnya dilibas ke hadapan. Qay'ru memutarkan batang tombaknya dan melibasnya secara menegak, menolak pedang Arémé ke atas.
Kesempatan itu dimanfaatkan dengan menujah perut Arémé menggunakan kaki kanannya.
Pemuda itu terpelanting ke belakang. Mulutnya menyembur darah pekat sebelum dia jatuh berguling-guling di atas pasir. Arémé menyeka darah pada bibirnya dan meraung penuh geram.
Dia bangkit seraya memecut laju ke arah Qay'ru. Pedang Lohong Lingkar dilibas ke hadapan.
Bilah pedang itu bernyala keemasan.
====
III
"MEMINTA maaf tak akan mengembalikan nyawa keluarga aku!" tempik Qay'ru penuh amarah. Gejolak dendam dalam sanubarinya mula membara.
"Adakah membalas dendam mampu mengembalikannya?" soal Jiharqa halus. Qay'ru tersentak. Dia mengetap bibir. Matanya terjegil penuh geram.
"Usah berdalih lagi, sialan! Marilah berbicara dengan mata tombak aku!" teriak Qay'ru seraya memecut ke arah raja Empayar Tenggara itu. Tombak Rimau diputar laju.
Jiharqa menghunuskan pedangnya yang masih bersarung. Dia menunggu kemaraan Qay'ru dengan penuh siaga.
Tangg! Batang Tombak Rimau berlaga dengan sarung Pedang Lohong Lingkar. Qay'ru mengetap giginya penuh geram. Dia menekan tombak itu sekuat yang mungkin, sebelum kakinya diluruskan ke hadapan dan menghentam tubuh Jiharqa.
Jiharqa terundur ke belakang.
"Tuanku!" tempik Karma, merisaukan rajanya. Dia mahu bangun dan mendapatkan Jiharqa.
"Usah bimbangkan beta, Karma. Biar beta sendiri yang selesaikan urusan beta dengan pendekar ini." Jiharqa menghalang langkah Karma. Hulubalang itu akur dan mendiamkan diri.
"Engkau hanya bertindak sebegitu untuk menuruti nafsu amarahmu, Qay'ru! Membalas dendam tak akan mengubah apa-apa, hanya akan mengeruhkan keadaan sahaja," ucap Jiharqa sambil bangkit dan menghunus pedangnya kembali.
"Ah! Aku peduli apa! Hutang nyawa dibalas nyawa!" Tombak Rimau dilibas ke arah Jiharqa. Lelaki separuh abad itu pantas mengangkat pedangnya untuk menahan libasan itu, sehingga tubuhnya menyendeng sedikit, dek kekuatan libasan Qay'ru.
YOU ARE READING
CERPEN: Nyawa dan Hati
Short Story[Kompilasi Cerpen Tema Rawak] NYAWA DAN HATI: Di era kegilaan dunia, untuk hidup pun manusia sanggup mensia-siakannya. Sahan, sebagai seorang Pejuang bertugas untuk mengetuai misi-misi memburu sampel makhluk ganas bergelar Infeksis. Namun ada sesuat...