Ralat.

17 6 9
                                    

ROBOT cumalah mesin buatan manusia. Canggih setara mana pun, robot cumalah 'alatan'. Kau tahu apa yang jadi bila tikus kecil cuba untuk melahirkan seekor singa?

Ralat.

Manusia tak sempurna. Begitu juga ciptaannya. Dari sekecil nanorobot yang membaiki tisu tubuh badan semasa proses pembedahan sehinggalah robot gergasi eskavator yang cuba menggali rahsia bumi. Semuanya ada kelemahan sendiri. Tertukar beberapa kod dalam aturcara, atau tersalah pasang beberapa wayar, atau tersalah beri arahan dalam sistem, rosaklah ia.

Dan itulah tugas aku. Membaiki robot.

Kota Gahadu yang serba canggih ni memang lubuk rezeki untuk orang-orang macam aku. Hampir keseluruhan komponen bandar ini menggunakan khidmat robot untuk berfungsi secara teratur.

Populasi di Kota Gahadu menyesakkan. Kota yang serba maju memang akan menarik minat pemburu rezeki macam aku. Disebabkan itulah, masalah di kota ni bukan sedikit. Hari-hari ada aja berita-berita aneh di tabloid digital atau kaca mata pintar aku. Berita-berita pembunuhan dan orang hilang dah terlalu kerap, sampai aku boleh umpamakan macam menikmati kopi di pagi hari. Betullah kata orang, kemajuan makin memuncak tapi moral manusia makin meruntuh. Robot sudah bersepah, tapi manusia masih sampah.

Tapi, aku kena kuatkan diri. Keluarga aku di—

"Oi, budak! Kau mengelamun apa lagi tu?" perempuan berambut pendek sikat belah tepi itu memekak. Tak guna. Aku belum habis lagi cerita tentang asal-usul aku.

Perempuan lantang itu, Emilia namanya. Tapi kami panggilnya Amin sahaja. Dia rakan sekerja aku selama tiga tahun aku di sini.

"Dia fikir fasal robot cinta dialah tu," lelaki bertubuh gempal menyampuk. Rush, namanya. Nama penuh dia, aku pun tak ingat.

"Haruka bukan robot cinta. Dia ada 'jiwa' dia sendiri," aku membalas. Sesuka hati sahaja menggelarkan kecerdasan buatan atau AI yang sedang aku usahakan sendirian dengan istilah 'robot cinta'.

Amin menyambut jenaka Rush dengan ketawa istimewanya. Sebiji macam bunyi anak itik dapat dedak. Hezril atau gelarannya, Kapten menggelengkan kepala.

Nasib baik, masih ada orang yang berotak waras dalam kumpulan kami. Kalau tak, memang dah lama aku minta berhenti kerja. Lebih baik aku kerja kutip duit syiling tepi jalan dari melayan puaka berdua itu.

"Mana si tuan rumahnya?" gerutu Rush. Betul juga. Sudah hampir setengah jam kami tercegat di meja tetamu, menunggu klien terbaru kami.

Mujurlah orang gaji upahan tadi dah sediakan snek-snek ringan dan minuman untuk kami. Kalau tidak, dah lama aku berambus dari rumah agam gergasi ini. Kerja aku sepatutnya tak lama. Dapat panggilan, datang membaiki, dan bergegas pulang.

Semudah itu.

Aku melilaukan mata. Memandang ruang di sekeliling rumah agam ini. Dekorasi rumah ini memang ada sentuhan klasikal. Ala-ala retro. Mungkin tuan pemiliknya orang berusia.

Kesunyian memenuhi suasana. Lokasi rumah agam ini yang terletak di hujung kota menyembunyikan rumah gergasi ini dari kesibukan manusia. Nyaman. Kalau aku ada banyak duit, sudah tentu beginilah kehidupan yang aku akan pilih.

Tenang.

"Maaf membuatkan kamu semua menunggu," ucap seorang lelaki berumur 60-an sambil diiringi seorang wanita tua berumur kira-kira 40-an. Mereka berdua menarik kerusi yang bertentangan dengan tempat duduk kami berempat.

Kami bertiga dengan serentak meluruskan badan dan berdiri tegak, memberikan tanda hormat buat pelanggan kami— kecuali Rush.

"Bangunlah!" bisik Amin separa mengancam. Mata perempuan itu macam hendak membunuh orang. Rush segera berdiri tegak. Tahu pun takut.

CERPEN: Nyawa dan HatiWhere stories live. Discover now