PEMUDA itu menggalas beg yang berisi bekalan makanan dan alatan-alatan penting untuk menjalankan misinya. Dia sedang berdiri di hadapan pintu gerbang besi Hemisforma. Pemuda itu menoleh ke belakang. Tiga lelaki dan seorang perempuan sedang berdiri di situ, untuk menghantarnya keluar bagi melaksanakan misi rahsia tersebut.
Memburu Alfa.
Yang paling kanan, seorang lelaki dengan rambut diikat tocang dan berkulit kuning langsat. Dia merupakan orang kanan Sahan merangkap Jeneral II Pejuang. Namanya, Akshan.
Di sisinya, seorang lelaki botak dan berkulit gelap. Dia merupakan pakar strategis Pejuang. Namanya Toba.
Di sebelah kiri Toba, seorang gadis genit berambut emas dengan kulit putih melepak. Ketua Pejuang wanita, namanya Euna.
Hujung sebelah kiri, lelaki berwajah serius dengan rambut berwarna perang. Rakaie si ketua pengawal pusat saringan kemasukan.
Seorang lelaki tua kemudian berjalan mendekati kumpulan itu. Lelaki berumur lebih separuh abad itu ialah ketua penyelidikan. Kiwusa.
Hanya mereka sahaja yang mengetahui perihal misi rahsia yang akan dilaksanakan oleh Sahan secara solo. Itu pun belum mereka relakan dengan sepenuh hati. Sahan yang meminta agar mereka merahsiakannya untuk mengelakkan Pejuang lain berkeras bagi menemaninya.
Dia tahu misi ini sukar, bahkan hampir mustahil.
Sahan tidak ingin mengorbankan orang lain hanya bagi memburu golongan Infeksis dominan yang mungkin hanya sekadar teori khayalan.
Malam itu begitu sunyi. Mereka berenam tidak membuka bibir masing-masing. Hanya memerhatikan Sahan yang sedang bersiap dengan kelengkapannya. Lelaki itu berpakaian menutup hampir keseluruhan tubuhnya melainkan bahagian kepala.
"Kau yakin dengan keputusan kau ini?" soal Euna memecahkan keheningan. Sahan tersengih sebelah.
"Mengapa?" soal Sahan sambil mengikat tali pada butnya.
"Aku merisaukan kau, merisaukan masa depan organisasi Pejuang. Kau ketua kami. Kau yang paling berpengalaman antara kami walaupun Toba lebih tua berbanding engkau! Manakan aku tidak risau? Jikalau engkau tewas, siapa yang akan menggantikan kau?" soal gadis itu jujur.
Sahan mengeluh kasar dan memandang ke arah Euna.
"Empat belas hari. Sekiranya aku masih tidak pulang, anggap sahaja aku sudah mencapai puncak perjuanganku. Ketika itu, Akshan akan menggantikan tempatku secara rasmi dan aku melantik engkau sebagai ketua kanan, Euna."
Euna segera menunduk.
"Buka pintu itu, Rakaei," arah Sahan. Rakaei segera bergerak mendekati tuas besi pada pagar besi itu.
Eeeekkk! Pintu besi itu terbuka. Sahan memusingkan tubuhnya dan menarik nafas dalam-dalam.
Misinya baru sahaja bermula!
YOU ARE READING
CERPEN: Nyawa dan Hati
Cerita Pendek[Kompilasi Cerpen Tema Rawak] NYAWA DAN HATI: Di era kegilaan dunia, untuk hidup pun manusia sanggup mensia-siakannya. Sahan, sebagai seorang Pejuang bertugas untuk mengetuai misi-misi memburu sampel makhluk ganas bergelar Infeksis. Namun ada sesuat...