Burger

92 12 24
                                    

ZAKWAN membuka kertas bungkusan burger ayam yang baru dia beli tadi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

ZAKWAN membuka kertas bungkusan burger ayam yang baru dia beli tadi. Matanya membulat, bersinar tatkala disajikan dengan tekstur lembut roti bun burgernya itu. Pasangan roti bun itu pula mengapit sepotong isi ayam yang digoreng garing sehingga bersinar keemasan. Ia diadunkan pula dengan sos merah yang meleleh keluar bersama cairan keju yang masih hangat. Potongan-potongan kecil sayur hijau segar menjongol keluar, menambahkan kepaduan warna pada burger ayam itu.

Zakwan dengan cermatnya menggumpalkan kertas bungkusan bercetakkan teks repetitif 'Ramly' sebelum melemparkannya ke dalam tong sampah kecil di hadapannya.

Lemparannya masuk.

Suasana di taman itu tenang. Mendamaikan. Orang ramai datang berkunjung ke taman rekreasi ini dengan pelbagai tujuan. Ada yang berjoging, ada yang berbasikal. Tidak kurang juga yang datang sekadar untuk membuang masa, melepak dengan kawan atau pasangan kekasih.

Zakwan tidak.

Dia datang dengan tujuan yang kukuh. Dia mahu memerhati manusia, dan dia mahu menghabiskan burgernya juga.

Mulut lelaki itu terbuka, sebelum dia menyuapkan burger ayam dalam tangannya ke dalam lohong mulutnya. Gigi kacip dirapatkan, memotong sebahagian dari lapisan-lapisan burger ayam itu. Ada sayur hijau yang tertolak keluar dari apitan roti. Ada juga sos merah yang mencalit bibir Zakwan. Lelaki itu menyuakan tangan, menyeka bibir dengan belakang tangan.

Dia mengunyah potongan burger ayam penuh cermat. Matanya dipejam rapat.

Lazat, fikirnya.

Zakwan membuka mata. Dia melirik ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain anak patung. Seorang budak perempuan kecil yang tersisih daripada teman-temannya mencuri tumpuan Zakwan.

Kening Zakwan terjongket sedikit. Dia mengalihkan pandangannya ke arah burgernya sebelum menoleh ke arah kumpulan kanak-kanak itu semula.

Dia tersenyum kecil.

Zakwan bangun dari duduknya. Burger yang baru dijamah sedikit terus dia campakkan ke dalam tong sampah.

Ada yang lebih menarik hatinya.

Tangan Zakwan dibawa ke belakang lalu kocek seluarnya diseluk. Dia mengeluarkan sesuatu.

Sebatang lolipop berperisa strawberi. Kegemaran semua.

Zakwan menghampiri budak perempuan yang duduk sedikit terbelakang daripada teman-temannya itu.

Lelaki itu duduk mencangkung separa di hadapan budak itu. Mata mereka bertembung pada aras yang sama. Zakwan tersenyum mesra menampakkan deretan giginya yang putih bersinar.

Zakwan menghulurkan lolipop.

"Mahu jadi burger?"

====

CERPEN: Nyawa dan HatiWhere stories live. Discover now