** BAB 6 **
TENGKU SYAHRAN terjaga daripada tidur. Gelak ketawa Zahlia kedengaran sehingga ke biliknya. Dia bingkas bangun lalu mengintai di sebalik langsir. Dapat dilihat wajah Zahlia begitu ceria.
Tengku Hakimi yang berada di meja sama sedang rancak bercerita.
Tengku Syahran mengetap bibir. Cemburu juga dia melihat kemesraan itu. Zahlia nampaknya lebih senang beramah-mesra dengan Tengku Hakimi tapi tidak dengannya.
Sejak dia mengusulkan cadangan untuk memperisterikan Zahlia dengan cara yang tak masuk dek akal, dia dapat melihat air muka gadis itu tidak lagi seperti kali pertama mereka bersua semasa kemalangan.
Tetapi hari ini Zahlia ketawa begitu gembira. Sakit jugalah rasa hatinya. Tapi untuk apa dia merasa begitu? Zahlia bukan haknya yang mutlak! Mereka hanya sah sebagai suami isteri di dalam sijil nikah dan surat perjanjian. Bukankah mereka telah bersetuju untuk mencipta jurang hubungan?
Tengku Syahran mengeluh. Lantas menuju ke sofa yang menjadi tempat tidurnya malam tadi.
Sejujurnya, dia bersimpati pada Zahlia. Tak semena-mena terlibat sama dalam kemelut hidupnya. Dahlah tu, boleh pula dia menggunakan bahasa kasar dan bertindak keterlaluan semalam? Baru sehari aku dah tunjuk belang padahal Alia sudi tolong aku lepaskan diri daripada paksaan mak!
Entah kenapa, dia terbayang-bayang wajah Zahlia yang begitu muram malam tadi. Teresak-esak gadis itu menangis di tepi dinding. Tak tahu pukul berapa isterinya itu terlelap.
Namun ketika terjaga lewat pukul 4.00 pagi, dia terpanggil untuk mengamati keadaan Zahlia. Gadis itu dilihat terbaring lesu di atas ambal tanpa bantal dan selimut.
Dia terkejut. Ingin sahaja diangkat tubuh gadis itu dan dibawa berbaring di katil tapi saat teringatkan syarat-syarat perjanjian mereka, terpaksalah dia mematikan niatnya.
_____
PINTU bilik kedengaran diketuk. Tengku Syahran mendongak. Wajah adik bongsunya, Tengku Farhana terjengul saat daun pintu ditolak daripada luar.
"Angah, mak suruh turun. Breakfast," ucap gadis berumur 17 tahun itu.
"Yelah. Angah nak mandi dulu. Nanti angah turun."
Sepuluh minit kemudian, Tengku Syahran tiba di meja makan. Ahli-ahli keluarga yang lain sedang berbual-bual. Mata Tengku Syahran mencari kelibat Zahlia. Serentak, gadis itu muncul dari dapur membawa seteko air minuman.
"Maaf, Tengku Syahran. Saya nak buat semua kerja, tapi Puan Zahlia yang beria-ia nak tolong," ucap Salmah takut-takut apabila menyedari pandangan lelaki itu terpaku ke arah Zahlia.
Tengku Syahran tersedar. Segera dia mengangguk.
"Alia, duduk sini sebelah abang," gamit Tengku Syahran sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya.
Zahlia menoleh. Lambat-lambat dia melangkah menuju ke kerusi itu. Tiba-tiba dia rasa pelik. Apa kena pula dengan dia ni? Bukan main romantik panggil aku dengan suara lembut macam tu? gerutunya.
Keluarga Tengku Ismail bersarapan dengan penuh meriah. Makanan yang terhidang begitu membuka selera. Sambil mengisi perut, mereka bersembang-sembang. Adakalanya mereka ketawa apabila masing-masing menyakat sesama sendiri. Lumrah hidup berkeluarga, sesuatu yang Zahlia tak pernah rasai selama ini!
Zahlia berlagak gembira pagi itu. Banyak kisah silam Tengku Syahran sampai ke pengetahuannya. Tengku Badariah ligat bercerita tentang kisah yang sudah lama jadi sejarah. Pada awalnya Zahlia tidak berminat untuk mendengar namun bila mengetahui yang sewaktu kecil, Tengku Syahran pernah dijodohkan dengan dua pupu lelaki itu yang kini hilang menyebabkan dia ralit memasang telinga. Keluarga ini memang gemar memasangkan jodoh untuk anak-anak dengan kenalan rapat agaknya!
YOU ARE READING
BICARA HATI
RomanceBICARA HATI adalah karya pertama Damya Hanna yang telah diberi nafas baharu. Novel ini pernah diterbitkan pada tahun 2003 oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. dan mempunyai sekuel yang berjudul Bicara Hati 2. __________ SINOPSIS DALAM satu kemalangan...