** BAB 4 **
ZAHLIA sedang membaca novel Adam dan Hawa karya Aisya Sofea sambil berbaring ketika Tengku Syahran masuk ke bilik lewat malam itu. Segera dia bingkas bangun bila terlihat wajah lelaki itu di muka pintu. Hatinya semerta dipalu resah.
Tengku Syahran hanya melirik sekilas ke arah Zahlia sebelum melabuhkan punggung di sofa panjang yang terdapat di hujung katil. Suasana hening kini menemani mereka. Zahlia kaku. Tengku Syahran membisu. Yang kedengaran hanya bunyi desiran angin yang bertiup melalui lubang tingkap yang terbuka luas.
"Kau betul-betul maksudkan kata-kata kau pada mak dan ayah tadi ke?" soal Tengku Syahran memecah kesunyian antara mereka. Bahasanya masih kasar seperti petang tadi.
Zahlia menutup novel yang dibacanya itu dan memandang Tengku Syahran dengan pandangan tak puas hati. Sebenarnya dia gementar. Sikap Tengku Syahran berubah sama-sekali. Mana perginya bahasa dan tutur kata lelaki itu yang lembut memujuk? Dulu bukan main lagi bersaya-awak masa merayu-rayu aku suruh tolong dia. Penipu!
"Aku tanya kau ni! Boleh termenung pulak."
"Kenapa? Awak percaya ke?" Tanpa menjawab soalan Tengku Syahran, Zahlia melempar soalannya sendiri.
"Tengok cara kau cakap depan mak ayah tadi nampak macam real. So, aku percayalah! Kau betul-betul nak ke? Aku tak kisah! Sekarang jugak kau boleh dapat," ucap Tengku Syahran bersahaja.
Lantas dia bangun dan mengunci pintu. Zahlia terkesima. Berdegup laju jantungnya melihat reaksi spontan lelaki itu. Apatah lagi bila Tengku Syahran berpaling dan dilihat tersenyum. Makin melemahkan urat-urat sendi Zahlia hingga dia tak senang duduk.
"Gila! Awak dah lupa syarat ketiga saya ke? Walaupun hubungan kita halal, awak tak dibenarkan menyentuh saya." Zahlia segera mengingatkan.
"Itu kita boleh tolak tepi. Yang penting malam ni kita happy!" ucap Tengku Syahran yang semakin mendekati Zahlia.
"Syah! Ingat sikit, saya dah tolong awak! Awak pernah kata awak takkan usik hak privasi saya." Zahlia mengingatkan lagi.
Tengku Syahran tergelak. "Tahu takut!" ejeknya.
Zahlia jadi geram. "Main-mainlah awak ni!"
Gelak Tengku Syahran bersambung. Sebenarnya dia masih ingat syarat-syarat Zahlia tetapi dia sengaja mahu menyakat. Kekagetan gadis itu amat mencuit hatinya. Akhirnya dia kembali melangkah ke arah sofa.
"Itulah, siapa suruh kau bagi mak dan ayah harapan? Lepas ni kalau mereka tanya lagi, kau jawablah sendiri."
"Habis tu, awak nak suruh saya jawab apa masa mereka tanya? Tolak terang-terang? Beritahu mereka yang kita kahwin ni sebab awak tak nak kahwin dengan Linda?
Fikirlah sikit, Syah!" Zahlia berhujah.
Tengku Syahran merengus.
"Kau tahu tak, lepas kau masuk tadi... dia orang sibuk cari nama cucu lelaki yang kau janjikan tu," adunya.
"Biarlah. Setakat cari nama, bukan masalah besar pun! Tak payah nak risau lebih-lebih," jawab Zahlia selamba.
"Tapi, aku tak suka cara yang kau gunakan tadi. Kau dah bagi mak dan ayah harapan palsu yang boleh hampakan dia orang. Ingat, aku tak pernah cintakan kau! Kalau kita berpisah, jangan harap satu sen pun harta keluarga aku akan jatuh kat tangan kau. Lagipun aku tak inginlah sentuh kau. Sikitpun aku tak pernah terfikir. Sebab... kau bukan perempuan yang layak mengandungkan anak aku. Kau dah dapat upah. Ikatan kita cuma setakat tu."
Zahlia terpana dengan kata-kata Tengku Syahran. Hati-nya terguris. Begitu payah dia membuat keputusan untuk membantu, rupa-rupanya pengorbanannya langsung tak dihargai!
YOU ARE READING
BICARA HATI
RomanceBICARA HATI adalah karya pertama Damya Hanna yang telah diberi nafas baharu. Novel ini pernah diterbitkan pada tahun 2003 oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. dan mempunyai sekuel yang berjudul Bicara Hati 2. __________ SINOPSIS DALAM satu kemalangan...