BAB 11

894 21 8
                                    

BAB 11

ZAHLIA membungkam di dalam bilik. Rancangan mengejut Tengku Syahran membuatkan dia semakin membenci lelaki itu. Berbuku rasa hatinya.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka. Tengku Syahran melangkah masuk. Zahlia terus memandang lelaki itu tanpa berkelip. Tengku Syahran tahu isterinya sedang marah.

"Kenapa awak buat rancangan tak beritahu saya dulu?" bentak Zahlia perlahan.

Tengku Syahran tidak terus bersuara. Mengakui kesilapannya kerana merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Zahlia.

"Saya tak suka cara awak, Syah. Apa yang awak cuba buat sebenarnya ni?"

"Dengar dulu alasan aku. Jangan nak membentak tak tentu pasal." Tengku Syahran membalas dengan nada yang agak mendatar.

"Dengar apa lagi? Dahlah awak tak tunaikan satupun syarat saya. Tiba-tiba awak merancang nak pergi bercuti. Esok, entah apa pula yang awak nak buat. Saya tak suka tahu tak!"

"Alia, tentang pindah rumah bukannya salah aku. Mana aku tahu, ayah tak bagi kita pindah. Kalau aku tahu, mestilah aku dah terus terang kat kau sebelum kita kahwin," ujar Tengku Syahran selamba.

"Yalah tu! Awak ingat saya nak percaya ke? Sebenarnya awak tu penipu! Masa saya tak nak tolong awak, pandai awak merayu. Bila saya dah setuju, lain pula yang awak buat. Awak tahu tak Syah, dalam banyak-banyak hari yang saya lalui selama ni... waktu sekaranglah saya sedar yang rupa-rupanya dalam dunia ni wujud seorang manusia yang tak kenang budi macam awak. Saya tak tahulah kenapa saya boleh bermurah hati nak tolong awak. Saya rasa bodoh dan menyesal sangat dengan apa yang saya dah buat!" Panjang lebar Zahlia menyuarakan kemarahannya. Biar Tengku Syahran tahu betapa kesalnya dia ketika itu.

Tengku Syahran mengeluh. Kata-kata Zahlia membuatkan dia teringat kembali rayuan dan pujukannya tak lama dulu. Sekonyong-konyong, dia mula berfikir. Apakah dia juga kesal dengan apa yang berlaku? Sejujurnya, tidak! Tapi jauh di sudut hati, ada sedikit terbit perasaan bersalah.

Sejak gadis itu sah dinikahi sebagai isteri, memang sesekali Tengku Syahran menyedari dia cuba mengambil kesempatan di atas peluang yang terbentang di depan mata. Pada awalnya, dia ego mahu mengakui tapi setelah berhari-hari berhadapan hakikat yang dia dan Zahlia mempunyai ikatan yang halal, dia tak tahu kuasa apa yang membuatkan dia jadi keliru. Saban hari berdua-duaan dengan Zahlia, ada kalanya dia seperti gagal mengawal diri.

Mungkinkah dia telah termakan nasihat Adli supaya mendekati Zahlia yang berkemungkinan merupakan jodoh yang ditakdirkan untuknya?

Sebelum hari pernikahan, sudah berbaris-baris doa yang dipanjatkan kepada ILAHI agar perasaan lelakinya mampu diatasi namun, entah sejak bila Tengku Syahran mula terasa Zahlia bagai mempunyai aura yang mampu menggoyahkan benteng hatinya. Itupun, selalu dia mengingatkan diri tentang tujuan perkahwinan mereka.

Alhamdulillah setakat ini, dia masih waras untuk menghalang keinginan lelakinya.

Tengku Syahran berteleku. Sudah lama kalimat cinta terpadam daripada kamus hatinya. Kekecewaan cinta pertama membuatkan dia serik untuk bercinta lagi. Tetapi Nazirah hadir melakarkan saat manis yang indah sekali.

Buat kali kedua, Tengku Syahran hanyut dalam nikmat perasaan sayang yang tidak terperi. Kelembutan dalam kelincahan sikap Nazirah, telah mengikat hatinya buat kesekian kali. Dia terus ghairah mengejar rasa cinta yang baginya tiada penghujung.

Tidak terfikir langsung yang kebahagiaannya akan diragut ketika dia hampir sampai ke puncak bahagia yang diimpikan. Tengku Syahran ingat lagi ketika berita menyedihkan itu sampai ke pengetahuannya.

Nazirah sudah tiada! Ayat itu bergema-gema di telinganya sewaktu dia masih terlantar di hospital akibat terlibat dalam kemalangan yang sama. Betapa sedihnya dia. Betapa pilunya rasa hati. Dia menangis teresak-esak selama berhari-hari.

BICARA HATIWhere stories live. Discover now