BAB 3

1.3K 35 4
                                    

** BAB 3 **

SELESAI acara jamuan makan malam, maka lengkaplah majlis gilang-gemilang bagi Tengku Ismail dan Tengku Badariah sekeluarga. Kebanyakan tetamu dan jemputan sudah pulang. Cuma tinggal saudara mara dan kenalan terdekat.

Zahlia leka berbual dengan beberapa orang saudara-mara Tengku Syahran. Kelihatan begitu mesra sekali. Tiba-tiba Tengku Syahran duduk di sisinya sebelum mencapai tangannya.

Zahlia terkejut. Hendak ditepis, nanti apa pula kata saudara-mara di hadapannya. Mahu tidak mahu, perbuatan Tengku Syahran terpaksa dibiarkan.

"Alia, kita jumpa ayah sekejap. Ada hal abang nak bincang tentang cadangan Alia tadi."

Bergetar gegendang telinga Zahlia mendengar ucapan itu. Dia tidak sangka Tengku Syahran boleh berkata begitu.

'Eeeii... bahasakan dirinya abang! Yearkk... geli-geleman tekak aku.'

"Sekarang ke?"

"Yalah. Nak tunggu bila lagi?" jawab Tengku Syahran sambil melirikkan mata ke arah sepupu di hadapannya yang sejak tadi tersengih penuh makna.

"Jomlah." Tengku Syahran menarik tangan Zahlia dan sama-sama melangkah mendapatkan Tengku Ismail.

Mereka bertiga duduk di taman mini yang agak terpencil sebagai tempat perbincangan. Jauh daripada keluarga dan saudara-mara.

"Betul ke ini rancangan kamu? Nanti apa pulak kata mak kamu?" soal Tengku Ismail. Dia terkejut dengan rancangan drastik yang diutarakan oleh Tengku Syahran.

Zahlia membisu. Tersentuh hatinya melihat keresahan yang terpancar di raut muka ayah mentuanya.

"Kalau ikut Syah, memang Syah tak kisah tinggal sini, ayah. Tapi Alia yang beria-ia nak pindah. Katanya senang nak ke tempat kerja." Selamba ayat itu diucapkan oleh Tengku Syahran.

Zahlia terkedu mendengarnya. Kurang ajar betul dia ni! Nak beritahu ayah dia tentang cadangan aku pun, janganlah depan-depan aku, rungut hati kecilnya.

"Alia, betul ke apa yang Syah cakap? Kenapa tak nak tunggu dua, tiga bulan lagi? Ini belum pun sampai satu hari kamu berdua jadi suami isteri, dah nak pindah," rayu Tengku Ismail.

Zahlia tidak berani memandang wajah ayah mentuanya. Wajah lelaki yang berusia separuh abad itu benar-benar mencucuk nalurinya. Terasa sayang pula Zahlia kepada ayah mentuanya walaupun baru beberapa kali mereka berjumpa sebelum hari perkahwinannya.

"Kalau mak kamu tahu bagaimana? Kecil hati dia nanti," ujar Tengku Ismail lagi.

"Sebenarnya ayah, Alia pun tak kisah tinggal sini. Tapi, macam yang abang cakap, Alia nak ke tempat kerja senang. Tu yang Alia ingat nak cari rumah dekat-dekat situ aje. Lagipun tempat kerja abang tak jauh dari tempat Alia. Kan, abang?" Panjang lebar Zahlia bercakap. Kata-kata itu tidak pernah terlintas di benaknya sebelum ini.

Tengku Syahran mengangguk tetapi dalam diam dia geli hati. Lucu dengan jawapan yang baru diluah oleh Zahlia. Nama tempat Zahlia bekerja pun dia tidak tahu!

"Kalau kamu tinggal di sini, tu Pakcik Osman kamu ada. Dia boleh hantarkan kamu. Tak pun suruh aje Syah hantar-kan. Dia kan, dah jadi suami kamu. Ataupun susah-payah sangat, Alia berhenti ajelah. Kerja dengan ayah."

Zahlia terkesima dengan jawapan ayah mentuanya. Terus dia tunduk merenung meja kayu yang seni rekanya begitu unik. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja yang rata dan licin itu. Tengku Syahran di sisi hanya membisu. Tiada tanda-tanda hendak membantunya yang kehilangan hujah.

Padan muka! Biar dia tahu, bukan senang nak pujuk Tengku Ismail. Apa, dia ingat dia seorang aje boleh besar kepala? Mentang-mentang kemukakan banyak syarat, ingat aku takut agaknya? Elehh... aku pun boleh tolak kalau nak! Cuma cara aku halus sikit. Reverse psychology! Bisik Tengku Syahran di dalam hati.

BICARA HATIWhere stories live. Discover now