TENGKU SYAHRAN dan Adli baru selesai bermesyuarat dengan pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek penting yang dikendalikan oleh syarikat. Kini mereka tinggal berdua di bilik itu setelah para pekerja berlalu keluar untuk menyambung tugas masing-masing.
"Macam mana kau dengan Alia sekarang?" tanya Adli sambil menyusun kertas-kertas yang bersepah di atas meja.
"Macam mana apa?" Tengku Syahran kurang faham.
"Yalah... dah macam pasangan suami isteri sebenar ke?" Adli menjelaskan soalannya.
"Li, kan aku dah beritahu kau. Aku dengan Alia takkan ada apa-apa! Perkahwinan kita orang disebabkan perjanjian aje. Macam mana nak jadi suami isteri sebenar sedangkan aku tak mungkin jatuh cinta pada dia?"
Adli mencemik mendengar kata-kata itu.
"Lagi pun hati aku masih kuat dengan cinta Nazirah. Aku dah ikut cakap kau supaya dekati Alia. Tapi tak ada perubahan. Dia gagal curi hati aku. Jiwa aku tak ada rasa apa-apa walaupun sikit bila berdua-duaan dengan dia. Suami isteri sebenar? That's impossible!" ujar Tengku Syahran lagi.
"Syah, takkan selamanya kau nak biarkan Nazirah ada dalam hati kau tu?"
"Apa masalahnya?"
"Masalahnya, Nazirah dah tak ada! Kau kena ingat tu. Alia yang ada dengan kau sekarang ni. Cuba bagi peluang kat diri sendiri untuk mulakan hubungan yang baru. Mungkin kali ini kisah percintaan kau lebih menarik."
"Alia tu tak sesuailah dengan taste aku. Stail pun tak up to date. Nazirah dulu pakai tudung juga tapi tak adalah asyik pakai baju kurung aje." Tengku Syahran bersuara sambil matanya meneliti fail-fail yang terbuka.
"Alahai kau ni, itu pun nak jadi isu. Syah, kau kena faham... Nazirah dan Alia datang daripada dua background famili yang berbeza. Nazirah daripada keluarga senang. Alia pula anak yatim. Mestilah stail dia orang tak sama. Kau nak expect apa?"
Tengku Syahran menghela nafas sambil membiarkan pandangannya terpahat ke wajah Adli. Tahu-tahu sahaja dia menggeleng.
"Aku tak naklah ambil risiko, Li. Macam dapat bayangkan kalau bercinta dengan Alia mesti tak best macam dengan Nazirah. Alia tu nampak macam perempuan kolot."
"Eh, kau ni! Peluang tak grab lagi, lepas tu suka-suka hati nak cakap dia perempuan kolot. Kau tahu tak, Alia tu tak pernah bercinta, maknanya hati dia masih suci daripada mana-mana lelaki. Dia jenis yang jaga batas, perempuan macam tu lah yang kau kena cari!" Adli tidak berputus asa menasihati temannya.
Tengku Syahran terdiam kali ini.
"Fikirkanlah, Syah! Alia tu cantik sebenarnya. Kau aje yang tak perasan. Cantik dia cantik asli. Yang bukan hanya pada rupa, tapi bahasa, sikap dan macam-macam lagi. Kalau tak percaya... balik nanti, cuba kau teliti Alia lama-lama. Perhati setiap gerak-geri dia. Aku yakinlah, sikit aje kau buka pintu hati kau tu... confirm kau boleh tertarik pada dia."
Tengku Syahran masih membeku. Galak memikirkan kata-kata Adli sebentar tadi.
"Ingat, perhati gerak geri dia!" Adli berpesan lagi sambil melangkah ke arah pintu. Tidak lama kemudian dia berlalu keluar.
Tengku Syahran mengeluh. Fikirannya belum menumpu pada kerja-kerja yang terbengkalai. Kata-kata Adli bagaikan menari-nari di ruang mindanya.
"Tak mungkin semudah tu aku boleh tertarik! Aku tak pernah teringatkan dia apatah lagi rindukan dia bila aku bersendirian."
"Ya ke?" Ada satu suara berbisik.
"Ya... aku tak pernah cintakan dia sebab aku masih sayangkan Nazirah."
YOU ARE READING
BICARA HATI
RomanceBICARA HATI adalah karya pertama Damya Hanna yang telah diberi nafas baharu. Novel ini pernah diterbitkan pada tahun 2003 oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. dan mempunyai sekuel yang berjudul Bicara Hati 2. __________ SINOPSIS DALAM satu kemalangan...