BAB 12

238 8 0
                                    

ZAHLIA meletakkan buku-buku latihan di atas meja. Dia baru lepas mengajar subjek Matematik di kelas sebentar tadi. Kini, dia sedang membuat semakan ke atas buku latihan anak-anak yatim yang telah diberi semalam. Bibirnya menguntum senyuman kerana anak-anak muridnya semakin mahir dalam subjek itu.

Mata Zahlia mula meliar ke sekeliling ruang. Ramai teman seperguruan tiada di situ. Mungkin sedang mengajar. Patutlah sunyi! Sejenak, matanya terpaku ke arah pintu bilik Hajah Rashidah, Pengurus Sinar Iram yang tertutup rapat. Dia berfikir seketika. Biasanya pintu bilik Hajah Rashidah selalu terbuka. Pintu itu hanya akan tertutup jika ada tetamu yang hadir.

Pandangan Zahlia pantas menembak ke raut Fatimah yang begitu leka menghadap tugasan.

"Imah! Siapa datang jumpa Hajah Rashidah?" tanya Zahlia.

Fatimah mendongak sebelum melirikkan matanya ke arah pintu bilik Hajah Rashidah. Dahinya berkerut. Kemudian matanya tertuju pada Zahlia.

"Entah. Ada orang nak ambil anak angkat kut," jawabnya dengan menjongket bahu.

Zahlia terangguk-angguk. Tekaan itu tidak mustahil.

"Kenapa kau tanya?"

"Tak ada apa-apa. Cuma rasa pelik, pagi-pagi dah ada orang datang," balas Zahlia.

Fatimah menyambung kerjanya semula. "Eh, Alia... kau ada melawat Razif tak?" Tak lama

kemudian, dia pula bertanya.

Zahlia memandang Fatimah sebelum menggeleng. "Tak. Tapi Razif dah tahu pasal perkahwinan aku. Dia betul-betul terkejut," luah Zahlia dalam nada sedih.

Fatimah berteleku menatap Zahlia. Dalam sedetik, dia bangun lalu kakinya melangkah ke meja sahabatnya itu.

"Sebenarnya aku yang beritahu Razif pasal perkahwinan kau," kata Fatimah.

Zahlia terpaku.

"Razif dah lama sukakan kau, Alia! Aku terpaksa berterus terang bila dia asyik bertanya pasal kau. Jadi, mestilah dia terkejut."

Zahlia mengetap bibir.

"Baguslah. Aku memang nak beritahu dia. Terima kasih, Imah. Semoga Razif tak terus berharap pada aku."

"Kasihan Razif."

"Aku cuma anggap dia sebagai kawan. Tak lebih daripada tu. Aku tak boleh paksa perasaan aku."

"Sikit peluang pun tak ada untuk dia ke?"

Zahlia terdiam. Tercari-cari jawapan untuk soalan itu.

"Macam mana pula dengan suami kau tu? Kenapa kau boleh buka pintu hati untuk terima dia berbanding Razif, lelaki yang kau dah kenal bertahun-tahun?" soal Fatimah.

"Aku kahwin dengan Syah sebab aku perlukan duit untuk kos pembedahan Razif."

"Tapi kau dah memperbodohkan diri kau. Macam mana kau boleh sanggup jadi isteri kepada seseorang yang kau tak kenal tapi peluang tu kau langsung tak nak bagi kepada Razif? Padahal Razif sayangkan kau lebih daripada dia sayangkan diri sendiri. Kau tak rasa tindakan kau ni kejam ke?"

"Aku sayangkan Razif macam kawan aje. Kalau aku bagi peluang pada dia pun, macam mana pula dengan kos pembedahan dia yang berpuluh ribu tu? Mana kita nak cari?"

"Kita kan, boleh kumpul dana? Cari derma, buat permohonan kat pusat zakat. Mesti akan ada orang yang sudi tolong. Rakyat Malaysia ni pemurah."

"Sementara nak kumpul dana, nyawa Razif dah makin bahaya. Tak apalah, Imah. Aku tak kisah berkorban untuk tolong Razif. Aku buat ni sebab aku sayangkan dia. Kalau perkara ni terjadi kat kau pun, mesti aku tolong sebab aku sayangkan sahabat aku dunia dan akhirat."

BICARA HATIWhere stories live. Discover now