BAB 9

1K 25 13
                                    

** BAB 9 **

ZAHLIA melirik  jam dinding.  Sudah  pukul 5.30 petang. Pagi tadi, Tengku Syahran ada memberitahu tentang pelawaan Adli. Hendak ditolak, dia tak sampai hati apabila terbayangkan Anissa. Wanita berbadan dua itu beria-ia mahu berkenalan rapat dengannya.

Dengan pantas Zahlia mengemas buku-buku latihan yang berselerak di atas meja.

Sebelum berkahwin, dia pernah berjumpa dengan Anissa sewaktu mahu menandatangani surat perjanjian. Selepas itu, semasa hari pernikahannya dan persandingan. Malam ini dia akan bertemu lagi dengan Anissa.

Sebaik sahaja Zahlia habis berkemas, Fatimah masuk ke bilik guru dengan membawa buku-buku latihan kelas. Fatimah memandang Zahlia sebelum mengalihkan pandangan pada jam dinding.

"Eh Alia, nampak tergesa-gesa nampak... nak ke mana?" tegur Fatimah sambil meletakkan buku-buku tadi di atas meja.

Zahlia menyangkut beg tangan ke bahu. Dia bergerak ke meja Fatimah. Gadis itu sudah tahu berkenaan perkahwinannya. Dia sendiri yang berterus-terang.

"Aku ada hal dengan Syah. Dia ajak aku ke rumah kawan dia malam ni," beritahu Zahlia lembut.

Fatimah mengangguk sambil merenung seketika anak mata Zahlia. Dia suka benar anak mata gadis itu yang jarang-jarang dijumpai. Cantik dan menawan hati. Amat sesuai untuk mata bundar beserta alis mata yang terukir indah itu.

"Kenapa pandang aku macam tu?" soal Zahlia.

Fatimah hanya menggeleng.

"Rajin pula kau nak pergi? Kalau aku, dahlah kahwin cara macam tu, tak pernah sayang-menyayangi. Lepas tu nak menghadap muka dia... baik lupakan. Tapi kau tu tak apalah. Nak hadap muka suami kau sepanjang masa pun tak kisah. Sejuk mata turun ke hati."

Kata-kata Fatimah menimbulkan persoalan dalam benak Zahlia. Dia membalas pandangan temannya itu.

"Kenapa kau cakap macam itu? Sejuk mata turun ke hati?" Zahlia menggeleng tanda tak faham.

"Laki kau tu lah... handsome, kacak, tampan, ada darah kerabat pula tu. Apa lagi kau nak? Kalau akulah, tak payah surat perjanjian... kena paksa kahwin pun aku rela."

Zahlia tergelak. Kata-kata Fatimah membuatkan dia geli hati. Tak terfikir langsung dek mindanya selama ini.

Handsome? Kacak? Tampan? Sejujurnya itu bukanlah ciri-ciri yang perlu ada pada calon suami yang dia cari selama ini. Cukuplah yang berpenampilan sederhana dan mampu membahagiakan dirinya.

Lantas Zahlia terbayangkan Tengku Syahran. Malah turut terkenangkan kemalangan kecil yang terjadi sewaktu dia terkocoh-kocoh hendak ke hospital melawat Razif. Tak langsung dia menyangka disebabkan takdir pertemuan itu, dia boleh mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Tengku Syahran.

Kini, tak pasal-pasal dia perlu berdepan dengan sikap lelaki itu yang menyakitkan hati. Kalaulah dia tahu...

"Weh, kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?" Fatimah mengawang-awangkan tangan di hadapan muka Zahlia.

Zahlia tersedar lalu tersenyum. Terlupa yang Fatimah masih berada di situ. Jam tangannya dikerling kali ini.

"Aku nak balik dululah, Imah. Dah dekat pukul 6.00 ni. Takut Syah sampai rumah dulu. Aku nak berebut bilik air!"

"Laa... itu ke sebabnya kau tergesa-gesa?" Zahlia tersengih dan mengangguk.

"Syah kalau mandi mengalahkan orang perempuan. Baik aku masuk bilik air dulu. Asar pun dah nak habis ni. Okeylah ya? Assalamualaikum."

Fatimah menjawab salam Zahlia. Matanya menyorot memandang kelibat gadis itu yang semakin menjauh. Dia mengukir senyuman di cermin tingkap apabila kereta Zahlia bergerak pergi. Zahlia memang sesuai dengan Tengku Syahran, desisnya.

BICARA HATIWhere stories live. Discover now