** BAB 10 **
SUDAH sebulan Zahlia tinggal di Vila Sakura. Hari ini, hari Ahad. Dia tidak bekerja. Selepas solat Subuh, dia turun ke tingkat bawah. Niat di hati hendak terus melangkah ke dapur tetapi tidak jadi apabila Tengku Hafizah memanggilnya ke ruang tamu.
"Kenapa Fiza?" tanya Zahlia lalu duduk di kerusi bertentangan dengan adik iparnya yang sedang bersila menghadap meja. Buku-buku pelajaran gadis itu bersepah di sana dan sini.
"Akak pernah belajar subjek accounting tak? Fiza tak fahamlah."
Zahlia terdiam. Sejak bekerja di Sinar Iram, dia tidak pernah memikirkan ijazah yang ada dalam simpanannya. Semua itu demi kasih sayangnya kepada anak-anak yatim. Dia sanggup melupakan ijazah perakaunan yang dimilikinya demi membantu rumah kebajikan yang pernah menjadi tempat tinggalnya suatu ketika dahulu.
"Fiza tak faham pasal belanja angkutan ni. Apa beza angkutan masuk dan angkutan keluar? Bukan ke kedua- duanya satu belanja?" Tengku Hafizah bersuara.
Zahlia turun ke ambal dan bersimpuh bersebelahan Tengku Hafizah. Dia mula menerangkan satu per satu kepada gadis itu. Tidak disangka ilmu itu masih melekat di kepalanya.
Tengku Syahran yang baru sampai di anak tangga pertama menghentikan langkah. Dia memasang telinga dengan setiap penerangan Zahlia yang tidak langsung menyedari kehadirannya di situ.
"Wah, nampak macam senang aje lepas dengar Kak Alia terangkan. Fiza dah faham sekarang. Thanks." Tengku Hafizah menyambung tugasannya.
Zahlia tersenyum dan bangun untuk duduk semula di atas kerusi.
"Dulu akak belajar kat mana?" tanya Tengku Hafizah sambil meneruskan kerjanya.
"Kat UKM. Bachelor of Accounting," jawab Zahlia.
Tengku Syahran terkejut saat mendengarnya. Selama ini dia tidak pernah tahu Zahlia mempunyai segulung ijazah. Dia hanya fikir gadis itu bekerja di rumah kebajikan anak-anak yatim kerana tiada kelulusan. Malah nama tempat kerja gadis itu juga tidak pernah diketahui sehingga ke hari ini.
"Wow, angah tak pernah cerita langsung tentang tu. Maknanya akak dah lama graduate?"
"Adalah dalam tiga tahun."
Tengku Hafizah memandang Zahlia. Ketika itulah dia tersedar kewujudan Tengku Syahran di situ.
"Eh, angah! Marilah duduk sini. Kita sembang- sembang," gamit Tengku Hafizah.
Zahlia berpaling. Tengku Syahran sedang tercegat sambil memandangnya. Mungkin menanti dia pula yang memanggil. Terus dia mengetap bibir.
Sejak peristiwa di rumah Adli dahulu, dia sudah jarang bersuara dengan suaminya itu. Bercakap hanya pada waktu tertentu sahaja.
"Sinilah, abang. Nak sarapan pun, tak siap lagi." Zahlia bersuara lembut. Dia terpaksa berlakon.
Tengku Syahran melangkah dan duduk di sisi Zahlia. Setiap hari, dia tetap cuba mendekati gadis itu atas dorongan Adli. Tetapi hari semakin hari Zahlia menjauhkan diri. Dia tidak tahu mengapa.
Tengku Hafizah sudah menumpukan perhatian kepada tugasan. Zahlia pula membisu. Sesekali matanya perasan Tengku Syahran menjeling ke wajahnya. Namun dia cuba kelihatan tenang.
YOU ARE READING
BICARA HATI
RomanceBICARA HATI adalah karya pertama Damya Hanna yang telah diberi nafas baharu. Novel ini pernah diterbitkan pada tahun 2003 oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. dan mempunyai sekuel yang berjudul Bicara Hati 2. __________ SINOPSIS DALAM satu kemalangan...