"RI janji Ri takkan tinggalkan Nadya. Ri akan selalu jaga Nadya. Ri takkan biarkan apa-apa pun jadi pada Nadya.”dia ingin menjerit. Dia benar-benar ingin menjerit. Janji itu benar-benar menyakitinya. Dia tidak pernah meminta tapi lelaki itu sendiri yang berjanji untuk sentiasa ada tapi di mana dia sekarang? 3 hari. Hanya itu saja tempoh lelaki itu mampu berjauhan darinya. Tapi 5 hari telah berlalu. Di mana dia sekarang? Mengapa dia masih belum kembali?
“Sayang!”dia masih lagi tercari-cari pemilik suara itu sejak dia terjaga. Dia merindukan suara itu. Suara yang menghilang darinya tanpa sebarang khabar. Dia memeluk katil bahagian yang selalu menjadi tempat tidur Syukri. Tanpa lelaki itu katil ini terasa terlalu luas dan terlalu dingin. Bantal yang menjadi tempat tidur lelaki itu dibawa ke dalam pelukannya. Air matanya mula mengalir. Dadanya mula berombak. Nafasnya tersekat.
“Ri, Nadya sakit.”rintihnya. Berharap agar suaminya mampu mendengarnya. Berharap agar suaminya akan kembali kepadanya. Secepatnya kerana dia umpama telah terlupa cara untuk bernafas tanpa lelaki itu. Kerana sejak zaman kanak-kanaknya lagi, dunianya bermula dan berakhir dengan lelaki itu saja. Orang yang mengajarnya cara menyiapkan kerja sekolahnya. Orang yang mengangkatnya tika dia jatuh. Orang yang mengeringkan air matanya sebelum dia menangis. Orang yang melindunginya. Selalu. Sentiasa. Orang yang mematahkan hatinya. Orang yang menampalkan semula serpihan hatinya yang telah berkecai. Dia sudah lupa bagaimana dunianya sebelum lelaki itu. Dia benar-benar memerlukan lelaki itu.
Rintik hujan semakin mengganas di luar. Kilat terus menyambar. Bunyi guruh terus berdentum kuat. Angin semakin mengganas. Namun ia masih lagi belum cukup untuk mengalihkan perhatian Nadya dari memikirkan Syukri. Segala-galanya hanya membuatkannya semakin memikirkan lelaki itu.
Dia menghulurkan tangannya. Membiarkan air hujan menyentuhnya. Biasanya dia tidak akan bermain dengan hujan. Dia akan selalu dilindungi dengan bumbung di atas kepalanya. Ini kali pertama dia berada di luar bangunan. Itu juga tanpa berteman begini. Mungkin aktiviti kelab Syukri habis lambat, jadi lelaki itu masih lagi belum menjemputnya. Mungkin dia tidak perlu menunggu dan menyusahkan lelaki itu. Lelaki itu pastinya sudah penat dengan aktiviti di sekolahnya. Untuk menjemputnya dari pusat tuisyen lagi pasti membebankannya.
Dia menghulurkan kakinya kanannya. Memulakan langkah pertamanya di dalam hujan. Seterusnya kaki kirinya. Kali ini dia benar-benar sedang berdiri di dalam hujan. Dia mendongak ke langit. Matanya dipejamkan. Membiarkan titisan hujan membasahi wajahnya. Aneh. ia hanya titisan air dari awan tapi ia seolah mampu menyentuh hingga ke dasar hatinya. Menyelami dan memahami jiwanya. Sebelum dia tersedar, dia sudah menari di dalam hujan. Menikmati erti kebebasan sehinggalah tiba-tiba saja titisan itu terhenti dari menyentuhnya. Dia membuka matanya. Ada fabrik yang sedang menghadang kepalanya dari titisan hujan.
“Nadya kenapa tak tunggu Ri? Tengok dah basah macamni, nanti Nadya sakit.” Syukri bersuara lembut sambil memegang tangannya, membawanya kembali ke bawah bumbung tempat dia berada tadi. Dia berkata begitu namun dia sendiri juga basah di dalam hujan.
“Kita tunggu sini sampai hujan berhenti?”soal Syukri sambil memandang ke langit.
“Achoo.” Nadya memeluk tubuhnya. Dia baru sedar tubuhnya sedang menggigil. Kesejukan itu baru terasa sehingga ke tulangnya.
Syukri memandang baju sekolahnya yang digunakan untuk memayungi Nadya tadi telahpun basah lencun. Dia mengeluh sebelum memeluk bahu Nadya. Dia tidak pasti apa gunanya apabila dia sendiri juga basah begini tapi dia tidak dapat menahan apabila melihat Nadya kesejukan begitu.
“Ri..” Nadya bersuara perlahan sehingga Syukri menyangka bahawa dia salah dengar.
“Hmm?” Syukri memandang ke arah wanita itu. Menunggu bicaranya yang seterusnya.
“Ri tak payah jemput Nadya esok pun takpe.” Nadya bersuara perlahan sambil menundukkan kepalanya. Dia dapat merasakan Syukri tiba-tiba saja menggenggam bahunya. Tubuh Syukri yang tadinya terasa dingin tiba-tiba saja berbahang. Dia dapat mendengar bunyi Syukri mengetap giginya. Lelaki itu marah?
YOU ARE READING
JANJI
RomanceKEMALANGAN! Itu kata mereka. Pembunuhan! Itu kata mindanya. Kehilangan Syukri tepat dari hadapan Nadya memberi kesan yang mendalam. 5 hari dia menanti tanpa berita. Dan Syukri tiba-tiba saja ada di sisinya ketika dia membuka mata? "Polis belum jumpa...