EMPAT BELAS

5 0 0
                                    

Nadya dapat melihat ada air mata yang menitis dari mata lembaga itu. Mungkin tidak menyangka bahawa akan sampai satu masa Nadya akan mengakui identitinya. Nadya tidak sempat mengerdipkan matanya apabila tangannya disambut dan lembaga itu sudahpun duduk di sisi katilnya. Mutiara yang tadinya mengalir keluar dari matanya tadi dikesat oleh tangan lembaga itu yang tidak memegang tangannya. Tangan yang openuh dengan luka. Yang kulitnya tertanggal dari dagingnya. Nadya memejamkan matanya. Air liurnya ditelan. Dia cuba.. dia benar-benar telah cuba untuk memberanikan diri namun hatinya tidak sekuat mana. Dia masih lagi takut.

Tangan yang mengesat air matanya tiba-tiba saja meninggalkan wajahnya. Tangan yang memegang tangannya kini cuba meninggalkannya membuatkan Nadya membuka kembali matanya. Memandang wajah kecewa lembaga itu. Sekali lagi dia menyakiti lelaki itu. Dia segera menangkap tangan lembaga itu sebelum lelaki itu berjaya meninggalkannya. Dia memandang ke dalam mata lembaga itu yang putih sepenuhnya. Nadya menggelengkan kepalanya. Kekecewaan yang tergambar pada wajah lembaga itu menyakitinya lebih banyak dari fizikal lembaga itu menakutkannya.

“Nadya tak takut dengan Ri.” Jujur dia tidak pasti samada dia cuba untuk mengurangkan kesakitan yang telah dia lemparkan kepada lelaki itu atau dia sedang cuba meyakinkan dirinya sendiri. Air mata lembaga itu cuba dikesat menggunakan jemarinya namun sebaliknya yang berlaku. Kulit pada daging pipi lelaki itu yang dipenuhi batu-batu kecil dan luka itu tertanggal dan darah menyembur keluar darinya.

Nadya benar-benar rasa seperti ingin menjerit. Apa yang dilihatnya kali ini benar-benar membuatkan tekaknya terasa loya. Terasa seperti ingin memuntahkan semua isi perutnya. Dia segera memejamkan matanya. Dia takut. Dia dapat merasakan jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya sedikit menggeletar.

Nadya dapat merasakan lembaga itu sedang menjauhkan tangan Nadya dari wajahnya. Nadya seolah-olah dapat melihat kekecewaan pada wajah lelaki itu walaupun matanya masih dipejamkan membuatkannya segera memeluk tubuh lelaki itu.

“Nadya minta maaf. Jangan benci Nadya. Jangan tinggalkan Nadya. Nadya minta maaf.” Nadya bersuara bersama tangisannya. Dia dapat merasakan tangan lembaga itu mula melingkari tubuhnya. Ada kekecewaan. Ada kepiluan dan ada kerinduan dalam pelukan itu.

“Nadya sayang Ri. Jangan tinggalkan Nadya. Jangan benci Nadya. Nadya tak boleh hidup kalau Ri takde.”rayunya lagi. Jujur hatinya tidak akan tenang andainya dia dibenci oleh orang yang dia sayang. Andainya lelaki yang dianggap sebagai dunianya berpaling darinya, di mana lagi dia harus tinggal?

“Sayang?” Nadya dapat mendengar namanya diseru membuatkan matanya dibuka semula. Namun suara yang memanggilnya bukan datang dari lembaga yang berada dalam pelukannya sebaliknya datang dari Syukri Ellias yang sedang memandangnya dengan penuh kerisauan dari ambang pintu tempat lembaga itu berdiri tadi. Syukri segera mengatur langkah mendekati isterinya sebelum berdiri di sisi isterinya. Dia memandang wanita itu dengan penuh kehairanan.

“Sayang buat apa ni?”soal Syukri. Soalan lelaki itu dibiarkan tidak bersambut. Hanya wajahnya saja yang mengikuti gerak langkah lelaki itu namun tangannya masih lagi erat memeluk lembaga itu. Syukri segera melabuhkan punggungnya di sisi isterinya. Air mata yang membasahi wajah wanita itu dikesatnya. Dia mula menarik perlahan lengan baju wanita itu seolah cuba untuk meleraikan pelukan wanita itu dari lembaga di hadapannya namun wanita itu segera mengeratkan pelukannya.

“Sayang, Ri kat sini.”lembut Syukri bersuara. “Takde siapa pun kat situ, sayang. Ri tak pasti apa yang sayang nampak tapi tu khayalan sayang jer. Ri ada kat sini.”

Nadya tidak pasti andai lelaki itu hanyalah khayalan yang menuturkan kata yang diperlukannya atau kata-kata lelaki itu adalah realitinya. Mata Nadya segera memandang ke arah lembaga di dalam pelukannya apabila mendengar kata-kata Syukri. Lembaga itu tidak sedikitpun terganggu dengan kehadiran Syukri seolah-olah mereka tidak dapat melihat satu sama lain.

“Ri kat sini.” Syukri di sisinya bersuara sebelum memeluknya dari tepi.

Siapa illusi? Siapa yang nyata? Atau kedua-duanya hanyalah khayalan saja? Nadya benar-benar tiada jawapannya.

JANJIWhere stories live. Discover now