“SYUKRI Ellias, Nadya Elliani bebaskan Ri dari dunianya buat selamanya.”bersama kata-kata itu, Nadya dapat melihat penampilan Syukri mulai berubah. Tiada lagi wajah kacak suaminya di hadapannya. Yang ada hanyalah mata suram yang sedang memandangnya. Dengan wajah yang selalu menjadi mimpi ngeri dalam hidupnya. Namun ketakutan itu tiada lagi. Nadya sudah tidak perlu lagi menipu diri sendiri untuk menerima lelaki di hadapannya. Dia benar-benar sudah belajar untuk mencintai lelaki di hadapannya walau bagaimanapun rupanya.
Nadya mengelus lambut pipi lembaga yang tidak sempurna wajahnya yang menggantikan Syukri di hadapannya. Darah dari pipi Syukri yang mengalir keluar membasahi tangannya juga tidak sedikitpun dipedulikannya. Dia memandang ke dalam mata lelaki itu bersama senyuman di bibirnya biarpun kolam matanya sudah mulai bergenang.
“Nadya lepaskan Ri pergi.” Nadya mengulangi katanya dan dia benar-benar maksudkannya.
Syukri menangkap tangan Nadya di pipinya. Belakang tangan wanita itu dibawa ke bibirnya. Kepalanya digelengkan. “Jangan lepaskan Ri.”
“Sini bukan dunia Ri lagi. Ri tak boleh terus ada kat sini. Pulanglah Ri. Tenang di alam sana.” Nadya masih lagi cuba bersuara dengan penuh ketenangan. Dia telah cuba namun air matanya tetap saja ingin mengkhianatinya.
Air matanya segera dikesat oleh jemari kasar lelaki itu. “Kalau sayang nak Ri tenang, sayang jangan menangis.” Itu apa yang Syukri katakan. Namun air mata jantan lelaki itu sendiri sudah bergenang. Namun yang membasahi pipinya bukanlah jernihnya mutiara air mata. Sebaliknya yang mengalir dari mata lelaki itu adalah pekatnya warna darah manusia yang Nadya relakan jemarinya untuk mengeringkan air mata lelaki itu. Nadya mendekatkan wajah mereka.
“Nadya janji.” Nadya bersuara separuh berbisik sebelum dia membiarkan bibir mereka bertaut. Nadya memejamkan matanya. Rasanya umpama karat darah bercampur masinnya air mata.
Matanya kembali dibuka apabila ada bunyi ketukan sebelum pintu kamarnya dibuka secara paksa mendedahkan Syakirin dengan wajah yang dibasahi air mata disebaliknya. Kelibat Syukri yang tadi bersamanya telahpun menghilang seolah lelaki itu tidak pernah wujud sejak mula.
Syakirin masih lagi belum mengungkapkan apa-apa. Bicaranya seolah sudah ditelan dan tidak mampu diluahkan semula. Namun, air mata yang membasahi wajah gadis itu sudah cukup untuk menjelaskan segalanya. Gadis itu tidak perlu bersuara. Hanya dengan memandang adik iparnya yang satu itu, Nadya sudah tahu apa yang gadis itu ingin sampaikan kepadanya.
Nadya tahu apa yang dia telah janjikan kepada suaminya tadi. Dia tidak pernah berniat untuk memungkirinya. Namun hanya untuk hari ini. Untuk sekali ini saja, dia ingin membiarkan air matanya menyirami segala kepedihan di hatinya. Hari ini saja dia ingin membiarkan tangisan menemani tidurnya. Kerana hari ini adalah hari yang tidak akan pernah dilupakannya. Kerana hari ini dia telah kehilangan orang yang paling mencintai dan dicintai olehnya. Hari ini dia telah kehilangan dunianya. Hari ini api yang menerangi kehidupannya telah terpadam. Hari ini dia telah kehilangan SYUKRI ELLIAS. Buat selama-lamanya.
YOU ARE READING
JANJI
RomanceKEMALANGAN! Itu kata mereka. Pembunuhan! Itu kata mindanya. Kehilangan Syukri tepat dari hadapan Nadya memberi kesan yang mendalam. 5 hari dia menanti tanpa berita. Dan Syukri tiba-tiba saja ada di sisinya ketika dia membuka mata? "Polis belum jumpa...