KETAWA. Dia sedang ketawa tapi dia sudah lupa kenapa dan mengapa. Dia tidak tahu dia di mana atau bagaimana segalanya bermula. Tetapi dia sedang ketawa. Ada sesuatu yang menggeletek hatinya. Sesuatu yang lucu. Yang mengembirakannya namun dia tidak pasti apa. Dia sedang duduk di lantai di dalam sebuah ruangan gelap yang kosong. BERSENDIRIAN! Kepalanya penuh dengan tanda tanya. Namun dia masih juga tidak mampu berhenti ketawa. Seolah dia sedang terpenjara di dalam jasad yang tidak mampu dikawal olehnya.
“Sayang?”dia mendengar lemah suara lelaki itu memanggilnya.
Matanya mula melorot ke bawah. Ada sesuatu di ribanya. Dia dapat melihat lelaki itu sedang terbaring di ribanya dengan mata lelaki itu memandang tepat ke dalam matanya. Namun cahaya di dalam mata lelaki itu kelihatan sirna seolah lelaki itu sedang kehilangan nyawanya. Mungkin juga dia benar-benar sedang kehilangan nyawanya. Mungkin rohnya benar-benar sedang meninggalkan jasadnya. Kerana lelaki itu sedang berbaring di dalam kolam darahnya sendiri.
Hatinya berdegup laju. Dia ingin menjerit. Dia ingin menangis. Dia ingin meraung. Dia ingin membantu lelaki itu bangun. Dia ingin melakukan sesuatu untuk lelaki itu. Dia ingin menyelamatkan lelaki itu. Dia tidak boleh membiarkan lelaki itu meninggalkannya. Tapi apa yang dilakukannya adalah bertentangan dengan kemahuannya. Apa yang dilakukannya bertentangan dengan jeritan di dalam hatinya. Dia masih lagi ketawa. Ketawa sekuat hatinya bersama lelaki yang semakin bermandi darah itu masih lagi di ribanya.
“Tolong Riii.”rayu lelaki itu lemah. Nafas lelaki itu bagaikan tersekat di kerongkong menunggu ajal. Lelaki itu cuba mengangkat tangannya perlahan, menyentuh pipi gadis yang telah terhenti tawanya.
Dia benar-benar ingin membantu lelaki itu. Dia ingin menyambut tangan lelaki itu di pipinya. Air matanya bagaikan ingin jatuh namun tiada satu pun yang berlaku mengikut kemahuannya. Matanya memandang ke dalam mata lelaki itu tanpa sebarang air mata yang bertakung dalam matanya apatah lagi menitis. Tangan lelaki itu di wajahnya dicapai namun bukan untuk di sambut lembut sebaliknya untuk ditepis jauh dari wajahnya.
Dia mendekatkan wajahnya ke wajah lelaki itu. Matanya dipejamkan. Menikmati nafas lelaki itu yang semakin lemah di wajahnya. Matanya dibuka kembali bersama senyuman yang melebar di bibirnya apabila dia merasakan sesuatu sedang berdegup dalam tangannya. Tangannya dibawa ke hadapan di antara wajahnya dan wajah lelaki itu.
Nadya bagaikan ingin meraung apabila melihat sesuatu yang berada di dalam tangannya. Dia tidak pernah ingin melihat lelaki itu tercedera. Apatah lagi untuk menjadi orang yang menyakiti lelaki itu. Tapi di dalam tangannya kini terdapat jantung manusia yang masih lagi berdegup. Melihat keadaan sekarang, pastinya jantung itu milik Syukri.
Syukri memandangnya dengan pandangan sayu.
Tak mahu. Dia tidak ingin melakukan semua ini. Dia mengumpulkan tenaganya untuk melawan. Dia ingin mengawalnya namun dia tidak mampu. Dia hanya mampu melihat apabila genggamannya semakin kuat. Kukunya semakin mencengkam jantung di dalam tangannya yang degupannya sudah semakin perlahan.
“Riii.”hatinya menangis namun perbuatannya masih belum terhenti.
Genggamannya semakin kuat. Akhirnya jantung itu berkecai di dalam genggamannya. Darah memercik mengenai wajahnya memaksanya memejamkan mata. Dan apabila dia membuka matanya, wajah Syukri yang turut dibasahi darah itu sudah tidak memberikan sebarang reaksi. Cahaya dalam matanya telah sirna dan terpadam selamanya.
“Riiiiiiii!!!!!!” Nadya menjerit sekuat hatinya ketika wajah lelaki itu dipegang dalam kedua tangannya. Air matanya mengalir keluar. Dia telah mendapat kawalan ke atas tubuhnya kembali namun segalanya telah terlambat. Syukri Ellias telah pergi meninggalkannya. Dia telah membunuh lelaki itu dengan tangannya sendiri.
“Sayang. Bangun. Sayang.”dia dapat merasakan bahunya digoncang perlahan.
Nadya membuka matanya. Kerisauan pada wajah Syukri membuatkan dia segera meluru membawa tubuh lelaki itu ke dalam pelukannya. Segala yang berlaku tadi hanyalah sekadar mimpi buruknya. Lelaki itu masih di sini. Masih berada dalam pelukannya.
Ya, segala yang berlaku tadi hanyalah sekadar mimpi. Tapi siapa kata bahawa lelaki di dalam pelukannya kini benar-benar Syukri dan bukannya khayalannya. Kerana ketika ini juga dia masih mampu melihat lelaki itu. Lelaki yang separuh wajahnya kemek dan dihiasi batu-batu kecil melekat pada kesan lukanya bersama otak yang kelihatan dari kepalanya yang terbuka. Lelaki yang kolam matanya hitam sepenuhnya tanpa warna putih. Lelaki yang sedang berdiri di pintu memerhatinya memeluk Syukri kini.
Dia memejamkan matanya. Khayalan ataupun tidak, hanya untuk ketika ini.. Tidak. Untuk selamanya dia tidak akan pernah melepaskan lelaki ini.
Dia tidak akan pernah melepaskan dunianya. Dia tidak akan pernah melepaskan kebahagiaannya. Dia tidak akan pernah melepaskan suaminya. Dia tidak akan pernah melepaskan Syukri Ellias buat selamanya biarpun dia harus membayar dengan kewarasannya.
YOU ARE READING
JANJI
RomanceKEMALANGAN! Itu kata mereka. Pembunuhan! Itu kata mindanya. Kehilangan Syukri tepat dari hadapan Nadya memberi kesan yang mendalam. 5 hari dia menanti tanpa berita. Dan Syukri tiba-tiba saja ada di sisinya ketika dia membuka mata? "Polis belum jumpa...