SEMBILAN

10 0 0
                                    

Nadya hanya kembali ke dunia nyata apabila dia merasakan air membasahi tangan hingga ke lengannya. Dia dapat melihat tangan Syukri sedang menggenggam erat tangannya di dalam air di dalam tab mandi itu. Mungkin risau andai dia meronta dan cuba melarikan diri sekali lagi. Wajah Syukri ditelitinya. Mata lelaki itu sedang merenung ke arah tangannya di dalam air sambil mengetap giginya. Reaksi yang sama ditunjukkan lelaki itu persis di saat dia meminta lelaki itu untuk tidak lagi menjemputnya dari pusat tuisyen ketika kali pertama dia terkena hujan dahulu. Lelaki itu sedang menahan kemarahannya.

  Ya, sudah pastilah lelaki itu marah. Sudah pastilah lelaki itu bencikannya. Dia telah merampas nyawa lelaki itu. Dia yang telah merampas peluang lelaki itu untuk terus berada di atas muka bumi itu apabila orang yang patut mati bukanlah Syukri. Orang yang sepatutnya mati adalah dia sendiri. Kerana samada dia hidup ataupun tidak, wujud ataupun tidak di atas muka bumi ini, tiada perbezaannya sama sekali.

  Matanya mulai meliar menuruni bahagian wajah lelaki itu. Melalui bahagian leher lelaki itu sehingga matanya tertancap pada tompokan air yang berada di baju tidur di bahagian dada lelaki itu. Ingatannya mula mengenangkan kembali betapa dia meronta dan melawan untuk melepaskan diri bersama mug berisi kopi panas di tangannya tadi. Matanya memandang semula ke arah tangannya dan tangan Syukri yang bersatu di dalam air dan kembali ke dada lelaki itu. Matanya mula membulat. Dadanya mulai berombak.

  "Ri, tanggalkan baju. Nanti dada Ri melecur." Nadya bersuara bersama sebelah tangannya yang tidak berada di dalam air cuba menanggalkan baju tidur yang dipakai lelaki itu namun selamber saja lelaki itu menepis tangannya tanpa sedikitpun memandang wajahnya ataupun menghiraukan katanya.

  "Ri, please."rayu Nadya, masih berusaha untuk menanggalkan baju yang dipakai lelaki itu namun lelaki itu sekadar menangkap tangannya dan menenggelamkannya di dalam tab mandi bersama tangannya yang satu lagi. Betapa hebat pun Nadya meronta, lelaki itu masih lagi tidak melepaskannya.

  "Ri, please." Nadya masih lagi cuba merayu. Air matanya mulai jatuh. Di saat ini, dia sudah tidak lagi peduli hakikat bahawa lelaki itu sudah mati. Dia sudah tidak lagi menghiraukan kemungkinan bahawa lelaki di hadapannya sekadar satu halusinasi ataupun hantu yang cuba menuntut bela atas kematiannya. Yang dia tahu, dia tidak mahu apa-apa pun terjadi pada lelaki itu. Dia tidak rela melihat lelaki itu tercedera. Biarpun hanya dalam illusi mahupun mimpinya.

  Nadya dapat merasakan genggaman di tangannya semakin longgar dan hanya beberapa saat, tangan Syukri sudahpun meninggalkan tangannya. Lelaki itu menanggalkan baju yang dipakainya dan melemparkannya ke satu sudut di dalam kamar mandi itu. Nadya dapat melihat tompok-tompok merah yang mulai terbentuk pada dada lelaki itu. Tangisannya makin menjadi.

  Satu keluhan dilepaskan Syukri sebelum lelaki itu bergerak ke arah shower dan memulas tombolnya. Membiarkan air mengalir jatuh melalui juraian rambutnya dan terus ke dadanya. Dia sedikitpun tidak memperdulikan hakikat bahawa seluar tidurnya juga basah ketika ini. Matanya tertancap pada wajah ayu isterinya yang sedang dicacatkan dengan juraian air mata. Biarpun air mata itu mungkin mengkaburkan sedikit pandangan wanita itu, namun matanya masih tidak lepas dari memandang ke dadanya. Sekali lagi dia mengeluh.

  "Jangan menangis." dia cuba untuk memujuk isterinya namun suaranya keluar sedikit keras dari yang dirancangnya.

  Air mata Nadya, kelemahan Syukri. Nadya tahu itu namun dia tidak mampu berhenti menangis. Dia sayangkan lelaki itu. Syukri adalah dunianya. Jadi mengapa dia tidak mampu berhenti untuk menyakiti lelaki itu? Dia menyebabkan lelaki itu tercedera biarpun lelaki itu telahpun meninggalkannya.

  "Sayang, sini." Syukri bersuara sambil membuka lengannya. Suaranya sudah tidak lagi sekeras tadi. Air mukanya juga sudah berubah lembut.

  Nadya mengeluarkan kedua-dua tangannya dari tab mandi itu sebelum bergerak menyambut seruan lelaki itu. Bergerak terus ke dalam pelukannya. Air matanya mulai membasahi dada lelaki itu. Bercampur dengan air hujan buatan manusia  yang kini membasahi mereka berdua. Dia dapat merasakan dagu suaminya berlabuh di atas kepalanya sambil sebelah tangan lelaki itu memeluk pinggangnya rapat ke tubuh lelaki itu dan sebelah lagi tangannya sedang membelai rambut Nadya.

  "Ri okey. Tak sakit pun. Sayang jangan menangis macamni. Ri tak tahan tengok air mata sayang. Hmm."pujuk Syukri namun tangisan isterinya masih lagi belum terhenti.

  "Nadya minta maaf."dengan segala kepayahan, Nadya akhirnya menuturkan kata itu. Memohon kemaafan kerana telah membunuh lelaki itu. Meminta dimaafkan kerana terus-terusan menyakiti lelaki itu.

  Nadya dapat merasakan Syukri cuba meleraikan pelukannya. Mungkin lelaki itu tidak dapat memaafkannya. Nadya semakin mengeratkan pelukannya. Dia masih tidak rela melepaskan lelaki itu. Mungkin melihat kesungguhannya, Syukri tidak lagi mencuba untuk meleraikan pelukan sebaliknya kembali membelai rambutnya.

  "Ri bukan marah sayang."lembut suara Syukri bersuara membuatkan Nadya mengangkat wajah memandang lelaki itu tanpa menghiraukan air shower yang sedang menghujani wajahnya.

  "Ri marah diri Ri sendiri. Ri biar sayang kena hujan sampai sayang demam macamni. Sayang sampai kena air panas even sayang ada kat depan Ri. Ri marah sebab Ri tak dapat lindung sayang." Syukri menyambung katanya apabila Nadya tidak bersuara.

  "NADYA TUNTUT JANJI RI!! BALIK SINI. KEMBALI PADA NADYA!!” tiba-tiba saja jeritannya di dalam hujan itu kembali bermain di dalam fikirannya. Kerana itukah lelaki ini kembali? Untuk menunaikan janjinya?

  Bagaimana dia boleh takut kepada lelaki itu? Bagaimana dia boleh melarikan diri dari suaminya sendiri apabila yang ada di fikiran lelaki itu hanyalah keselamatannya. Lelaki itu masih lagi kembali untuk menunaikan janji untuk menjaganya biarpun dia sendiri yang merampas nyawa lelaki itu.

  Nadya kembali meletakkan telinganya ke dada lelaki itu. Degup jantung lelaki itu masih lagi tidak didengarinya. Mungkin tidak akan pernah didengarinya buat selamanya. Tapi ini adalah lebih baik dari lelaki itu tiada langsung dalam hidupnya.

Dunia tanpa Syukri Ellias, tak mungkin Nadya Elliani mampu tinggal di dalamnya.

JANJIWhere stories live. Discover now