SEMBILAN BELAS

5 0 0
                                    

CAHAYA yang menusuk ke dalam matanya membuatkan Nadya terkeluar dari dunianya. Dia tidak pasti berapa lama dia menghilang sebelum dia akhirnya kembali ke alam realiti.dia tidak lagi berada di tempat dia mula-mula tersedar tadi. Tidak lagi berada di tempat serba putih dengan bau ubat-ubatan. Bukan juga berada di atas keranjang miliknya dan Syukri. Namun, tempat ini masih lagi dikenalinya. Kamar di rumah mertuanya. Pasti mereka terlalu risau setelah apa yang terjadi. Risau kerana tindakan tidak rasional yang diambilnya.. tadi? Semalam? Dia tidak pasti berapa lama dia telah menghilang dari dunia ini. Yang pasti dia berjaya menjemput kerisauan keluarga mertuanya. Tambahan tanpa Syukri di sisinya, pastinya kerisauan mereka akan bertambah berlipat ganda. Andainya mereka tahu bahawa Syukri selalu ada di sisinya biarpun dia tidak kelihatan di mata mereka, akankah mereka berasa lega ataupun kerisauan mereka bakal bertambah?

Nadya dapat merakan tekaknya yang kontang meminta disirami. Dia mula bergerak untuk bangun dari perbaringannya namun ada sesuatu yang menghalang pergerakannya. Tangan yang melingkari pinggangnya entah sejak bila membuatkan dia berpusing ke belakang. Matanya mula menangkap wajah suaminya yang yang sedang tidur berkongsi bantal dengannya. Jarak di antara mereka begitu dekat sehingga dia dapat merasakan hembusan nafas lelaki itu di wajahnya. Rasanya inilah kali pertama Nadya melihat Syukri memejamkan mata hilang dalam lenanya sejak lelaki itu kembali dalam hidupnya. Jelas tertera pada wajahnya raut keletihan namun walau dalam keadaan begitu, Syukri masih lagi lelaki yang paling kacak di matanya. Di saat seperti ini, lelaki itu bukan lagi hantu ataupun manusia di mata Nadya. Lelaki ini hanyalah Syukri Ellias. Lelaki ini hanyalah suaminya. Itu saja.

Andai Nadya mampu menghentikan masa, dia benar-benar ingin masa terhenti di sini. Dia ingin terus hidup begini. Hanya mereka berdua. Di dunia yang hanya ada dia dan suaminya. Ini saja sudah cukup untuknya. Namun, masa untuknya mementingkan harus ditamatkan. Dia harus nekad mengambil keputusan. Penantian keluarga Syukri tidak lagi harus ditangguhkan. Siksaan atas roh Syukri tidak lagi harus dilanjutkan. Syukri Ellias harus dibebaskan.

Nadya dapat melihat bulu mata Syukri bergerak-gerak. Nafas lelaki itu semakin dalam. Dia sedang terjaga dari lenanya. Akhirnya, lelaki itu membuka mata. Biarpun mata mereka bertaut, Nadya tidak lagi melarikan pandangannya. Dia terus saja merenung lelaki itu.

“Morning.” Syukri bersuara dengan suara serak basahnya. Masih lagi sedikit mamai rasanya.

Nadya tidak menjawab sapaan lelaki itu. Sekadar merenung ke wajahnya sahaja. Entah berapa lama lagi waktu yang dia ada sebelum wajah itu bakal menyesatkannya dalam kerinduan yang tidak berpenghujung.

Lingkaran di pinggang Nadya dileraikan. Tangannya segera menggenyeh matanya. Mungkin cuba untuk mencari kewarasannya yang sedang kembali setelah mengembara di alam mimpi. Seolah ada jarum yang menikam tubuhnya, sepantas kilat Syukri bangun dari perbaringannya.

Nadya tidak pasti andai Syukri bakal memarahinya atau lelakin itu tidak akan pedulikannya namun dia masih lagi meniru perbuatan lelaki itu dan bangun dari perbaringannya. Kadangkala lelaki itu ada kebiasaan untuk tidak memperdulikannya ketika marah ataupun risau. Nadya lebih rela lelaki itu meninggikan suara kepadanya berbanding saat lelaki itu dingin kepadanya. Dia benci apabila lelaki itu dekat namun diluar gapaiannya. Syukri yang selalu datang kepadanya. Lelaki itu yang selalu menyapanya. Lelaki itu yang selalu mendekatinya. Lelaki itu yang selalu memanjakannya. Apabila lelaki itu tidak menghiraukannya, dia hanya mampu menanti dalam keresahan sehingga lelaki itu kembali berbicara. Kerana dia tidak akan mampu menjadi orang yang mengambil langkah pertama. Malah hari ini pun, dia masih lagi takut untuk berbicara.

Syukri mula membelakangkan Nadya membuatkan wanita itu merasakan jantungnya bagaikan ingin luruh. Nadya tidak ingin lelaki itu dingin kepadanya. Sekurangnya bukan apabila waktu untuk mereka bersama boleh dihitung dengan saat.

Buat kali pertama, Nadya memulakan langkah pertama. Tangannya sedikit menggeletar ketika dia cuba untuk menyentuh bahu Syukri. Ingin lelaki itu menoleh dan memandangnya namun belum sempat kulit mereka bertemu, lelaki itu sudah kembali memusingkan tubuh ke arahnya bersama jar dan gelas di tangannya. Nadya dapat melihat dulang kosong di atas meja di belakang Syukri. Beerti, lelaki itu sudah menyediakan minuman untuknya sejak awal lagi.

Bunyi air yang dituang ke dalam gelas mengingatkan Nadya betapa keringnya tekak yang sudah dilupakan tadi. Gelas yang dihulurkannya dikosongkan dengan sekali teguk saja mengisi kehausan yang masih lagi belum terpadam.

“Lagi?”soal Syukri.

Nadya sekadar mengangguk menghulurkan gelasnya kepada Syukri meminta diisi. Hanya selepas gelas yang ketiga Nadya menggelengkan kepala setelah ditawarkan minuman oleh Syukri. Lelaki itu meletakkan kembali jar di tangannya ke dalam dulang kosong di sisi katil sebelum mencapai gelas di tangan isterinya dan diletakkan di tempat yang sama.

Nadya masih lagi tidak pasti apa yang harus dilakukannya. Dia sekadar memandang setiap tingkah lelaki sehingga Syukri kembali memandangnya.

Satu keluhan dilepaskan Syukri di saat mata mereka saling bertentangan. Dia membawa rambut Nadya ke belakang telinganya sebelum wanita itu tiba-tiba saja ditarik ke dadanya. Pelukannya dieratkan sehingga Nadya merasakan nafasnya sukar untuk diperoleh. Namun sedikitpun wanita itu tidak meminta dilepaskan sebaliknya tangannya turut melingkari tubuh lelaki itu. Dia tidak kisah andai nafasnya menghilang di dalam dakapan lelaki itu. Andai lelaki itu berada di sisinya, segala yang lain tidak lagi bermakna kepadanya. Di saat ini, hanya ada satu saja persoalan yang bermain di mindanya. Bagaimana Nadya Elliani akan mampu untuk menjalani hidupnya tanpa Syukri Ellias?

JANJIWhere stories live. Discover now