DIBANTU ORANG MALAYSIA: KISAH DI DUBAI

671 13 1
                                    



Setelah 8 jam perjalanan menuju ke Dubai dari Manila, aku selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. Tidakku sangka mampu berkunjung ke negara yang kaya ini. Ikutkan daripada segi bajet normal untuk kembara di sini, sudah pasti memakan jumlah yang sangat besar. Namun disebabkan kos pengangkutan penerbangan yang aku dapat untuk ke sini, sangat murah maka sekaligus dapat berjimat dari segi pengangkutan.

Untuk penginapan juga, aku telah mendapat rezeki untuk menginap di rumah salah seorang kenalan baru bernama Muadz. Dia mnerupakan rakyat Malaysia yang bekerja di sini. Aku mengenalinya sewaktu dia membuat tawaran umum dalam group Backpackers Buddies Malaysia (BBM) kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke Dubai, katanya boleh menginap di rumahnya. Kebetulan ketika itu aku sudah membeli tiket untuk ke Dubai, aku terus menghubunginya melalui Facebook untuk bertanyakan mengenai tawaran tersebut.

Bayangkan, sepatutnya pada tarikh ketibaanku di Dubai, Muadz berada di Malaysia untuk cuti hari raya Aidilfitri. Namun dia memaklumkan kepadaku untuk ambil kunci rumah pada rakannya yang juga warga Malaysia. Sangat mengejutkan, kepercayaan 100% diberikan kepadaku yang baru dikenali dan tidak pernah bersua. Luar biasa. Selesai passportku dicop masuk, aku terus bergerak menuju ke kaunter Dubai Metro untuk mendapatkan tiket menuju ke stesen bernama stadium. Aku hanya menurut cara dan arah yang diberitahu oleh Muadz untuk tiba di rumahnya. Selang beberapa minit, aku selamat tiba di stesen tersebut. Waktu sudah malam.

Sebaik keluar daripada stesen Metro Stadium, cuaca panas mula dirasai walaupun di waktu malam. Memang musim panas waktu itu dan suhunya lebih 30 darjah celcius. Rasakan pengalaman musim panas di Jazirah Arab ini. Aku terus menuju ke arah teksi dan memaklumkan kepadanya lokasi yang ingin dituju. Kadar caj permulaan teksi AED12 (dalam RM12.50). Jarak perjalanan tidaklah terlalu jauh kurang lima minit sebelum aku berhenti di sebuah stesen bas. Mengikut kepada gambaran peta yang dilakar Muadz yang ada dalam whatsapp, aku perlu melintas jalan tersebut sebelum masuk ke bangunan (Bulding Tiger) yang menempatkan rumahnya di tingkat 32. Sebelum itu, aku perlu mengambil kunci di rumah rakannya yang terletak di tingkat 21. Syukur, setelah menepati arahan diberi, aku selamat tiba di rumah yang dituju. Baruku tahu yang jalan ku lintas tadi memisahkan dua wilayah yang berbeza dalam UAE iaitu Dubai dan Sharjah.

Penat juga perjalananku hari itu. Setelah memperkenalkan diri, aku dijemput masuk ke dalam rumah oleh rakan Muadz dipanggil Botak atau Sapix dan diberikan air terlebih dahulu sebelum kami keluar makan. Selesai makan dan berbual panjang, Sapix menghantarku ke rumah Muadz dan menjemputku untuk datang ke rumahnya esok untuk sarapan pagi. Sungguh baik hati. Keesokan paginya seperti dijanji, aku turun ke rumah Sapix untu sarapan, disediakan oleh isterinya yang tinggal bersama. Sempat juga aku bermain dengan anaknya yang comel bernama Daris dan menggunakan perkhidmatan wifi yang ada di rumahnya. Ketika melayari facebook, aku terbaca satu komen daripada seseorang yang bernama "Pengembara Saku Nipis", katanya dia mahu berjumpa denganku kerana aku maklumkan di FB yang aku berada di Sharjah. Terkejut juga aku kerana aku tiada kenalan di sini. Aku bertanya kepada Sapix nama tersebut dan dia mengenali pemilik nama itu, orang panggil dia Black. Kawan dia juga rupanya. Komuniti rakyat Malaysia di Dubai tidaklah terlalu ramai dan mereka kenal antara satu sama lain. Mereka juga ramai yang bekerja di syarikat penerbangan Emirates yang berpangkalan di Dubai. Terus Black diajak untuk datang ke rumah Sapix untuk bersarapan sekali.

Sebaik Black tiba, di tangannya kelihatan buku Travelog Mr Traveller. Barulahku tahu yang dia merupakan pembaca bukuku. Tak sangka, buku sampai dulu ke Dubai daripada tuannya sendiri. Terharu. "Meor, saya bawa buku ini nak minta tandatangan boleh?" Black memintaku untuk tandatangan buku tersebut. Baru mahal katanya. Aku tertawa. Segan.

Kami berbual bersama dan dia bertanya mengenai perancanganku di Dubai. Mahu melawat ke sana dan sebagainya. Sejujurnya aku teringin sangat melihat sendiri dan menaiki menara tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa.

Travelog Mr TravellerWhere stories live. Discover now