Part 20

98 1 0
                                    

Johan terpaku di tempat dia berdiri. Seperti mahu menangis pun ada rasanya. Namun tangisannya tidak akan membaikkan ayahnya yang sedang bergelut dengan sakitnya . Perlahan-lahan dia duduk semula di tempatnya. Dia sedar isterinya ada di situ bersama kak longnya. Namun dia sudah tiada daya lagi untuk bergaduh dengan wanita itu biarpun dia sedar punca pergaduhannya dengan ayahnya tiada lain melainkan perempuan itu.

Tidak lama kemudian seorang doktor keluar dari bilik rawatan kecemasan. Lelaki itu terus sahaja menghampiri Johan yang duduk paling dekat dengan pintu itu.

"Anak Tan Sri Muzhaffar ke?" soal lelaki pertengahan usia yang berpakaian serba biru dan memakai penutup rambut kepada Johan.

"Saya!" Spontan Johan mengakui sambil berdiri pantas.

Adrean, Lyn dan Mukhriz segera mendekati untuk mengetahui keadaan Tan Sri Muzhaffar.

"Saya Doktor Badrul. Sebelum itu saya nak tanya. Tan Sri Muzhaffar memang ada penyakit jantung ke?" soal doktor itu sambil memandang kesemua yang sedang mengelilinginya.

"Ya. Ayah saya ada sakit jantung dan pernah terkena minor strok." Johan menjawab seperti apa yang dia tahu.

"Hospital mana sebelum ni?"

"Emm...." Johan memandang kakaknya. Itu dia tidak pula tahu kerana sewaktu ayahnya menjalani pembedahan untuk membuang darah beku dahulu dia berada di Oklahoma. Masih dalam pengajian. Dia hanya mendengar khabar ayahnya dari jauh.

"Sebelum ni ayah saya pernah disahkan menghidap angina dan ditahan di IJN. Di sana juga ayah saya pernah jalani pembedahan." Adrean menjawab apabila Johan terdiam.

"Jadi Tan Sri pernah buat coronary artery bypass ke sebelum ni?" tanya Doktor Badrul lagi kepada Adrean.

"Angioplasty surgery. Itu kira-kira lapan tahun yang lepas," jawab Adrean lagi.

"Daripada simptom yang ada dan X-ray dada yang kami lakukan tadi, saya jangkakan mungkin masalah angina tu berulang semula atau mungkin ada masalah lain. Sakit jantung ni bukan hanya tertumpu kepada satu jenis itu sahaja. Mungkin juga masalah serangan jantung ni diakibatkan oleh penyakit yang dahulu yang berlarutan dalam tempoh yang lama. Selalunya angina ni apabila pesakit itu lambat membuat pembedahan, dia akan mula menghidap penyakit jantung jenis lain iaitu mycordial infarction. Penyakit ini selalunya diakibatkan masalah angina yang mengakibatkan dinding sel jantung rosak akibat kekurangan darah. Tetapi itu cuma jangkaan awal sahaja.

"Buat masa ini saya tak boleh mengesahkan apa-apa sehinggalah kita dapatkan pandangan pakar cardiac untuk masalah ayah awak ni. Untuk masa terdekat ini saya akan dapatkan rekod kesihatan dia untuk saya buat rujukan tentang penyakit sebelum ini dan kami sedang menunggu laporan ujian darah yang baru dibuat tadi. Selepas semua itu barulah kita akan dapatkan laporan penyakitnya yang sebenar. Buat masa ni keadaan dia stabil kerana kita sudah memasukkan ubat bagi mengawal keperluan darah pada jantung. Tapi buat masa ini kita terpaksa tahan dia di wad untuk pemantauan. Sekejap lagi kita akan pindahkan dia ke wad untuk tindakan selanjutnya. Saya minta semua orang beri kerjasama. Jangan banyak bercakap dengan dia kerana dia perlukan rehat," kata Doktor Badrul tenang.

Penerangan doktor itu membuatkan Johan kesedihan. Dia tahu semuanya kerana dia. Tetapi dia tidak berniat seperti itu sebenarnya. Dia bukannya anak yang kejam untuk membuat orang tuanya menderita kerananya.

"Jangan risau. Memang penyakit jantung ini boleh berulang pada bila-bila masa, tetapi buat masa ini keadaan masih stabil dan kita masih ada jalan untuk menyelamatkan pesakit. Cuma kita perlukan pandangan pakar untuk menentukan jenis rawatan yang bersesuaian dengan pesakit ini. Itu sahaja," kata Doktor Badrul lagi.

Lyn hanya diam mendengar itu semua. Dia tiada kata mahu diucap. Lebih baik diam saja daripada memberi komen yang akan memburukkan lagi keadaan walaupun seluruh hatinya mahu mengutuk suami yang memulakan sengketa dengan ayahnya sendiri hingga terjadi perkara sebegini.

Travelog Mr TravellerWhere stories live. Discover now