Part 18

98 1 0
                                    

Johan diam membeku mendengar bebelan ayahnya itu. Namun dalam dada dia memberontak dengan nasihat ayahnya itu. Setiap kali ayahnya menyebut nama Lyn, semakin marak rasa bencinya. Pasti Lyn ada mengadu apa-apa kepada kakaknya dan seterusnya kakaknya mengepohkan hal dia dan Lyn kepada ayahnya.

"Johan kena hargai apa yang dah diberikan kepada Johan ni. Bukannya buat macam ni. Bertanggungjawablah sikit, Johan. Johan dah jadi suami Lyn sekarang. Sampai bila Johan nak tunjuk keras kepala macam ni? Kaishanlah sikit pada Lyn itu. Dia tu isteri Johan," ujar Tan Sri Muzhaffar menegur kelakuan anak lelakinya itu.

Johan mencebik dalam diam. Lagi-lagi Lyn! Balik-balik Lyn! Tiada nama lainkah dalam dunia ini selain daripada nama itu sebagai santapan halwa telinganya ini?

"Dah berbulan Johan kahwin dengan dia. Masih jugak tak ada perubahan. Takkanlah tak ada sikit pun ruang dalam diri Johan tu untuk menerima ini semua?" tambah Tan Sri Muzhaffar lagi.

"Johan memang tak nak kahwin dengan dia, tapi mummy dengan daddy yang paksa Johan. Sekarang daddy nak salahkan Johan pulak?" Lantang suara Johan berlawan cakap dengan Tan Sri Muzhaffar.

Tan Sri Muzhaffar terkesima seketika dengan reaksi Johan yang mendadak itu. Anak lelakinya sudah berani meninggikan suara kepadanya. Selalunya anak lelakinya tidak begini.

"Johan," tegur Adrean tidak senang dengan cara Johan.

"Argh! Kak long pun sama selalu backing dia. Semua yang dia buat betul. Johan semua salah. Apa yang dia ada sampai daddy dewakan dia sangat? Kalau daddy dah suka sangat dengan Lyn tu, kenapa tak daddy aja yang kahwin dengan dia? Hakikatnya Johan benci perempuan tu. Dia pemusnah hidup Johan! Memang patut pun Johan layan dia macam ni. Baru padan dengan muka dia! Semakin lantang suara Johan, tanpa mengira dengan siapa dia bercakap. Teguran Adrean juga tidak dilayan.

Tan Sri Muzhaffar bingkas bangun dari kerusinya. Apa yang kau cakap ni ha?"

Herdikan Tan Sri Muzhaffar bergema di seluruh ruang rumah itu. Matanya terbeliak menatap anak lelaki tunggalnya itu. Sungguh dia tidak menyangka anak lelakinya tergamak berkata seperti itu kepadanya. Turun naik dadanya akibat menahan perasaan. Seketika kemudian Tan Sri Muzhaffar cuma menarik nafasnya, namun dadanya terasa sakit, bagaikan ditikam.

"Sampai sekarang ni pun Johan tak tahu kenapa dia perlu kahwin dengan Johan. Dia kahwin dengan Johan sebab harta, kan? Dia dapat banyak duit selepas dia kahwin dengan Johan. Kenapa daddy sanggup menyenangkan dia dan keluarga dia sampai macam ni sekali? Siapa Johan dalam keluarga ni?" ucap Johan cukup lantang. Dia turut bangun daripada duduknya untuk menyatakan rasa marahnya.

Adrean terkesima dengan kebiadaban Johan. Sepanjang hidupnya selama 30 tahun ini tidak pernah sekali pun dia tergamak menengking ayah atau ibunya seperti itu. Tetapi Johan tergamak sekali.

"Kau nak tahu sangat kenapa, baiklah! Daddy akan cerita semuanya. Lepas ni kau jangan mengadu pada daddy yang kau dah tak ada air muka nak mengadap Lyn tu. Kau jangan cakap apa-apa pun pada daddy!" ujar Tan Sri Muzhaffar masih dengan nada herdikan. Buat pertama kali dia merasakan anak kesayangannya itu sudah mengecewakannya. Sabarnya hilang dalam melihat kebiadaban anak lelakinya ini.

Baru sahaja Tan Sri Muzhaffar mahu menambah, tiba-tiba sahaja lelaki itu memegang dada. Dia tercungap-cungap dengan wajah kemerahan. Matanya terbeliak. "Allah! "Tan Sri Muzhaffar rebah di atas karpet.

"Daddy!" Jeritan Johan serentak bersama Adrean yang turut melihat segala apa yang berlaku di ruang tamu itu. Johan terlebih dahulu menerpa ke arah ayahnya. Sempat dia memeluk ayahnya yang sudah mengeras daripada terus tersembam ke atas karpet tebal itu.

"Daddy, kenapa ni?" pekiknya cemas.

"Mummy!" Spontan Adrean memekik, memanggil ibunya. Dia panik apabila melihat ayahnya telah terkena serangan jantung. Sungguhpun ini bukanlah kali pertama melihat ayahnya begini namun kenyataannya dia teramat takut untuk melihat keadaan ayahnya yang begitu.

"Call ambulans, Johan!" jerit Adrean kepada adiknya itu pula.

Johan terus sahaja mencapai telefon bimbitnya dengan niat untuk memanggil ambulans. Terketar-ketar tangannya memicit nombor pada telefonnya itu. Dia juga panik. Selama ini belum pernah dia melihat ayahnya jadi begini. Inilah kali pertama dan dia cemas.

Travelog Mr TravellerWhere stories live. Discover now