Part 26

64 2 0
                                    

Tan Sri Muzhaffar hanya terdaya memandang Johan tanpa segera menjawab soalan anaknya itu. Bukannya dia tidak ingin menjawabnya. Pertama, kerana dia tidak berdaya untuk bercakap terlalu banyak. Nafasnya akan sesak sekiranya dia banyak bercakap. Dia tidak boleh keletihan. Kedua, kerana dia dan Duan sudah berjanji mahu merahsiakannya. Hanya memberitahu apabila perlu sahaja. Apakah ini menandakan yang Johan perlu tahu?

"Daddy, cakaplah hal yang sebenarnya. Johan nak tahu apa sebenarnya semua ni," rayu Johan kepada ayahnya itu. Lengan ayahnya dipegangnya lembut.

"Daddy sakit, Johan!" Puan Sri Sakinah tegas mengingatkan. Keras nadanya. Agar tidak terulang lagi perbuatan Johan sebelum ini.

"Johan tahu, mummy. Tapi Johan....."

"Apa lagi yang tak jelas? Apa lagi yang Johan mahu mummy dengan daddy buat untuk memuaskan hati Johan? Selama ni kami tak pernah berlaku adil kepada Johan ke sampai Johan perlu bersoal jawab dengan kami untuk setiap apa yang kami lakukan?" ujar Puan Sri Sakinah masih dengan nada yang sama. Muak dengan perangai anak lelakinya itu.

Johan terdiam. Dia tidak jadi meneruskan sesi soal jawab itu. Dia tahu kemarahan ibunya masih belum memudar lagi. Namun matanya kembali terarah kepada Tan Sri Muzhaffar apabila merasakan lengan ayahnya yang sedang dipegang ditarik perlahan. Seketika kemudian Tan Sri Muzhaffar pula yang menyentuh lengannya.

"Semua ni ada alasannya. Satu hari nanti kau akan tahu juga. Jaga Lyn baik-baik. Dia amanah untuk kita. Daddy berhutang sesuatu kepada keluarga dia," tutur Tan Sri Muzhaffar lambat-lambat.

Johan cuba mendengar dengan teliti apa yang ayahnya sedang sampaikan. Suara ayahnya serak dan terlalu perlahan. Dia mendekatkan telinganya kepada Tan Sri Muzhaffar yang sedang terbaring lesu.

"Daddy tak mahu kau sakitkan hatinya. Dia sememangnya untuk kau. Jangan sia-siakan dia. Dia isteri kau..... sampai bila-bila. Kau tak...." Tan Sri Muzhaffar terdiam seketika untuk meredakan sesak nafasnya.

"Kau.... kau tak boleh ceraikan dia, Johan." Begitu payah sekali Tan Sri Muzhaffar mahu mengucapkannya. Namun, biar sepayah mana sekalipun, dia tetap mahu mengucapkannya kerana bimbang tidak berkesempatan lagi untuk mengatakannya selepas ini.

Johan mengangguk perlahan. Dia masih tidak berpuas hati, tetapi tidak sampai hati Johan untuk menyusahkan ayahnya lagi. "Rehatlah, daddy. Jangan cakap apa-apa lagi."

Namun Tan Sri Muzhaffar menggeleng perlahan. Lelaki itu memegang tangan Johan erat, bagaikan mahu membuat Johan sedar betapa seriusnya dia saat ini. Dia mahu Johan tahu bahawasanya harapannya lebih tinggi daripada langit.

"Jangan kau sia-siakan dia, Johan. Berjanjilah.... kau akan terus menjaga dia sampai bila-bila. Berjanjilah...."

"Johan janji," balas Johan segera. Jawapan yang ikhlas daripada hatinya. Dalam masa yang sama tangisan sayu isterinya itu sebentar tadi kembali terimbas di kotak pemikirannya.

Dia akur kalau ini mampu membahagiakan kedua-dua orang tuanya. Tetapi bagaimana dengan Lyn? Mahukah menerimanya? Relakah isterinya itu menerimanya setelah berkali-kali dia merobek sekeping hati itu? Entahlah Johan tiada jawapannya.

"Dia perempuan yang baik. Kau pasti akan bahagia dengan dia. Daddy mahu dia lahirkan zuriat untuk keluarga kita, Johan. Dia juga anak yang baik untuk orang tuanya. Pasti dia juga akan jadi ibu yang baik untuk anak-anak kau." Biarpun kepayahan, Tan Sri Muzhaffar tetap mahu mengucapkannya. Dia mahu Johan mengerti harapannya.

Zuriat? Johan menatap sayu wajah ayahnya. Mahukah Lyn melahirkan zuriat untuknya? Setakat ini mereka memang tidak ngam bersama biarpun dia sudah mencubanya. Mungkin dia yang bersalah kerana terlalu mengikut kata hati. Terkenang lagi tangisan dan rintihan yang kedengaran amat pilu di telinganya siang tadi. Serta-merta rasa bersalah mengongsi hatinya.

Johan akhirnya hanya mampu melepaskan sebuah keluhan.

Travelog Mr TravellerWhere stories live. Discover now